Gennaro Gattuso Mangsa Gurauan Gila Andrea Pirlo

Bekas pemain AC Milan, Gennaro Gattuso berkata Andrea Pirlo gemar melakukan gurauan gila terhadapanya ketika kedua-dua mereka menjadi rakan sepasukan di peringkat kelab ataupun antarabangsa.

Tentu peminat tidak menyangka dari raut wajah Pirlo yang cool, tersimpan sifat menarik yang jarang ditonjolkan beliau di depan khalayak ramai.

Pirlo dan Gattuso adalah rakan baik dalam dan luar padang, selepas hampir 20 tahun bermain bersama sejak peringkat remaja lagi.

Andrea Pirlo baru sahaja mengumumkan persaraan beliau dari bolasepak selepas melakukan penampilan terakhirnya bersama New York City FC hujung minggu lalu.

Pirlo masuk sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan ketika pasukannya tewas kepada Columbus Crew dalam saingan MLS.

Pemain yang paling cool

Kini sudah berusia 38 tahun, Pirlo dikenali seluruh peminat bolasepak sebagai seorang pemain tengah yang elegen dan mempunyai kelas tersendiri.

Beliau akan diingati atas pencapaiannya ketika bermain bersama AC Milan dan Juventus, dimana beliau berjaya merangkul 6 kejuaraan Serie A, dan 2 kali menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam peringkat antabangsa pula, Pirlo telah diangkat sebagai legenda Itali selepas membantu negaranya memenangi Piala Dunia pada edisi 2006 selepas menewaskan Perancis yang diketuai Zinedane Zidane melalui sepakan penalti.

Beliau telah berjaya mengumpul 116 penampilan bersama Itali sepanjang karier bolasepaknya.

Berbalik kepada kisah Pirlo dan Gattuso, Gattuso berkata Pirlo adalah seorang yang suka menyakat rakan sepasukannya. Dan pemain yang selalu menjadi mangsa adalah Gattuso sendiri.

Dalam satu temubual kepada stesen televisyen CheTempoCheFa beberapa tahun lepas, Gattuso telah dipetik berkata:

“Peminat melihat Pirlo sebagai seorang yang baik kerana mukanya seperti malaikat. Tetapi beliau sebenarnya seorang ‘anak haram’. Pirlo suka membuat jenaka dan menceriakan suasana.”

“Suatu hari ketika saya menikmati makanan di Milanello, saya melakukan satu perkara yang tidak patut saya lakukan iaitu meninggalkan telefon bimbit di atas meja makan. Pirlo mengambilnya dan menghantar mesej kepada Galliani [Presiden AC Milan] dan Ariedo Braida [pengurus hal ehwal sukan] menawarkan adik perempuan saya kepada mereka.”

Pirlo mengesahkan kejadian tersebut dalam buku autobiografinya yang bertajuk ‘I Think Therefore I Play’.

“Saya mewakili Gattuso untuk membincangkan kontrak beliau bersama AC Milan melalui satu mesej ringkas. ‘Dear Ariedo, jika kamu penuhi segala permintaan saya, saya akan menawarkan adik perempuan saya kepada kamu’. Gattuso mengetahui perbuatan tersebut dan memarahi saya sebelum menelefon Ariedo untuk menerangkan segalanya. Gattuso berkata, itu semua lawak bodoh Pirlo.”

Too Much Class In 1 Picture!

Walaupun sering menyakat satu sama lain, Pirlo dan Gattuso sebenarnya adalah rakan yang baik. Kedua-dua pemain ini telah membentuk gandingan tengah yang cemerlang dalam generasi mereka.

Mereka menjadi tunjang utama kepada pasukan AC Milan yang begitu berjaya sekitar awal hingga pertengahan 2000, termasuk skuad Azzurri yang memenangi Piala Dunia 2006 di Jerman.

Gattuso lebih dikenali sebagai seorang pemain yang melakukan kerja kotor dan Pirlo pula lebih kepada pemain yang kreatif dan mengatur segala gerakan.

Gattuso turut berkata beliau akan mencari Pirlo apabila beliau tidak mempunyai idea apa untuk dibuat di atas padang.

“Saya telah bermain bersamanya hampir 20 tahun jika anda mengambil kira waktu kami bermain di peringkat remaja kebangsaan. Ketika waktu sukar, saya hanya perlu memberikan bola kepada beliau. Saya amat yakin apabila bermain disisinya. Saya mengerti apa yang perlu dilakukan dan beliau akan melakukan perkara selebihnya. Beliau banyak membantu saya lebih dari apa yang saya mampu bantu beliau.”

Legend

Terdapat juga komen dari peminat yang beranggapan Gattuso adalah pemain yang bertanggungjawab membantu Pirlo menghasilkan permainan cemerlang bersama kelab dan negara.

“Jangan cakap mengarut. Tolong jangan tertukar nutella dan sampah. Apabila saya melihat Pirlo bermain, ia membuat saya terfikir untuk mencari pekerjaan lain. Tiada siapa yang lebih kenal permainan beliau lebih dari saya kerana saya bermain bersama Pirlo sejak skuad Itali Bawah 15 tahun lagi. “

BACA:  Secara Rasminya Andrea Pirlo Dipecat