Everton Mahu Melantik Pirlo Sebagai Pengurus Baru Kelab

Everton telah memulakan rundingan sensasi dengan bekas pengurus Juventus, Andrea Pirlo untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Carlo Ancelloti.

Carlo Ancelloti mencurangi Everton selepas beliau rujuk semula dengan jandanya, Real Madrid untuk menggantikan bekas pembantunya, Zinedine Zidane.

Sebaik berita pemergiannya tular, nama Ancelloti hangat dikaitkan dengan kepulangan semula ke Santiago Bernaneu, dan tidak lama selepas itu beliau disahkan telah dilantik sebagai pengurus baharu Real Madrid.

Hal itu menyebabkan segala perancangan Everton untuk menghadapi musim baharu musnah dan memaksa The Toffees untuk mencari pengurus baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Namun terdapat laporan terbaru dari Itali yang menyatakan bahawa Everton sudah memulakan rundingan dengan legenda midfield Itali, Andrea Pirlo.

Menurut Calcio Mercato, rundingan antara kedua-dua belah pihak sedang berlangsung dan mungkin keputusannya akan diketahui beberapa hari sahaja lagi dari sekarang.

Legenda berusia 42 tahun itu meninggalkan Juventus selepas beliau gagal membantu The Old Lady untuk mempertahankan mahkota kejuaraan Serie A yang didominasi oleh mereka selama sembilan musim berturut-turut.

Selain gagal untuk mempertahankan kejuaraan liga, mereka juga sekadar bernasib baik dapat slot khas ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan dengan mengakhiri musim ini di kedudukan keempat.

Walaupun tersingkir di peringkat pusingan 16 dalam aksi saingan Champions League, Pirlo tetap berjaya membantu Juventus untuk memenangi kejuaraan Coppa Italia.

Apa yang pasti, kejatuhan Juventus pada musim ini bukanlah sepenuhnya kesalahan Pirlo, sebaliknya The Old Lady sememangnya perlu melakukan rombakan besar-besaran untuk persiapan menghadapi musim baharu nanti.

Dengan berbekalkan setahun pengalaman sebagai pengurus skuad utama, dan tidak mempunyai pengalaman dalam aksi saingan Premier League, mungkin calon yang sedikit berisiko untuk dipilih oleh Everton.

Walaupun beliau merupakan pengurus yang boleh dianggap berprofil tinggi dan mampu untuk menarik minat pemain datang ke Goodison Park, namun ia tetap masih berisiko.

Andrea Pirlo bukanlah satu-satunya pengurus yang dirisik oleh Everton ketika ini, dengan pimpinan kelab juga sudah mula merisik Nuno Espirito Santos untuk ditandatangani.

Nuno Espirito Santos telah meninggalkan Wolves pada penghujung musim lalu dan beliau sehingga kini masih belum dikaitkan dengan mana-mana pasukan lain lagi.

Kepulangan semula David Moyes ke kelab yang mana beliau mula mencipta nama juga mungkin akan berlaku dek kerana Everton turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, West Ham mungkin tidak akan benarkan ia berlaku selepas Moyes berjaya membawa The Hammers untuk beraksi dalam saingan Europa League musim hadapan.

Pengurus legenda Bournemouth, Eddie Howe, bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez dan pengurus Rangers, Steven Gerrard turut dikaitkan sebagai calon pengganti Carlo Ancelloti untuk mengurus Everton.

Walau bagaimanapun, nama yang hampir pasti untuk bergelar pengurus Everton selepas ini adalah Andrea Pirlo dengan rundingan antara kedua-dua pihak berlangsung dengan lancar ketika ini.

Pirlo menegaskan beliau mahu segera kembali mengurus pasukan selepas dilepaskan oleh Juventus, dengan Sassuolo dan Verona juga menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

Tentunya menarik untuk melihat Andrea Pirlo membawa DNA bola sepak Itali ke dalam saingan Premier League dengan mengurus Everton.

Adakah Pirlo calon paling sesuai untuk mengurus Everton selepas ini? Bincangkan di ruangan komen.

BACA:  Manchester United Terciduk Lagi Dan Laluan Ke Champions League Makin Sukar