Gattuso Tinggalkan Fiorentina Tiga Minggu Selepas Beliau Dilantik Sebagai Pengurus

Gennaro Gattuso telah sah meninggalkan Fiorentina selepas hanya tiga minggu beliau dilantik menjadi pengurus pasukan.

Hal ini berlaku kerana tercetusnya perbezaan pendapat dan masalah berkait perpindahan pemain yang melibatkan ejennya sendiri, Jorge Mendes.

Gattuso pada musim lalu bertugas sebagai pengurus Napoli, namun beliau telah dipecat kerana gagal membawa kelab untuk mara ke saingan Champions League musim hadapan.

Napoli awalnya berada dalam kedudukan yang bakal melayakkan mereka ke saingan Champions League, namun kerana mencatatkan keputusan seri pada hari terakhir saingan liga bertemu Verona.

Keputusan seri itu menyebabkan Napoli membuka ruang untuk Juventus memintas mereka seterusnya melayakkan The Old Lady ke saingan Champions League musim hadapan.

Tidak lama selepas dipecat, Gattuso telah menerima tawaran untuk kembali ke dunia pengurusan, dengan beliau telah dinamakan sebagai pengurus Fiorentina pada 25 Mei lalu.

Beliau hanya akan diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Fiorentina pada 1 Julai nanti, walau bagaimanapun hal itu tidak akan berlaku kerana Gattuso sudah mengundurkan diri dari jawatan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Khamis lalu, Fiorentina telah mengesahkan yang kedua-dua pihak memutuskan untuk membuat haluan masing-masing.

“AFC Fiorentina dan Encik Rino Gattuso, dengan persetujuan bersama, telah memutuskan untuk tidak meneruskan perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini dan oleh yang demikian, kami tidak akan memulakan saingan musim hadapan bersama dengannya.”

“Pihak kelab akan segera untuk mengenal pasti siapa yang akan terus membimbing kelab selepas ini ke arah yang selayaknya untuk Fiorentina dan bandar yang indah ini.”

Menurut sumber laporan di Itali, hal ini mula tercetus sejak super ejen, Jorge Mendes mula masuk campur.

Mendes merupakan ejen kepada Gattuso, dan beliau turut menjadi wakil kepada pemain seperti Cristiano Ronaldo, Jose Mourinho dan kebanyakan pemain dalam skuad Wolves.

Ketika bekas pemain AC Milan itu masih belum secara rasminya menggalas tugas sebagai pengurus di Stadio Artemio Franchi, beliau telah memulakan rundingan bersama kelab tentang pemain yang mahu ditandatangani.

Pengurus baru itu bersama ejennya telah mencadangkan bintang Porto, Sergio Oliveira dan penyerang Valencia, Goncalo Guedes, yang mana kedua-dua pemain itu juga merupakan anak buah Mendes.

Walau bagaimanapun, pemilik Fiorentina, Rocco Commisso merasakan yang beliau lebih mahukan pemain yang lebih murah berbanding dua pemain yang dicadangkan oleh Gattuso dan Mendes.

Hal itu menyebabkan hubungan kedua-dua pihak retak dan telah mencetuskan salah faham yang membawa kepada perletakkan jawatan Gattuso.

Penyerang Stuttgart, Nico Gonzalez awalnya turut menjadi pemain sasaran Fiorentina, namun beliau ketika ini sepertinya akan memutuskan untuk menyertai saingan premier league bersama Brighton.

Walaupun Gattuso hanya sempat bergelar pengurus Fiorentina selama 23 hari secara tak rasmi, namun ia sebenarnya tidak seteruk nasib yang diterima oleh Marcelo Bielsa ketika kariernya di Itali.

Pengurus Leeds United itu mungkin terkenal dan disayangi di Yorkshire, namun beliau tidak begitu terkenal di kota Rom, ia kerana beliau hanya sempat menjadi pengurus Lazio selama dua hari sahaja pada tahun 2016 yang lalu.

Tempat Gattuso mungkin akan digantikan oleh bekas rakan sepasukannya sendiri, Andrea Pirlo yang telah dipecat oleh Juventus walaupun berjaya membawa The Old Lady menamatkan saingan Serie A di kedudukan empat teratas.

Pirlo ketika ini merupakan calon kegemaran untuk mengisi jawatan kosong sebagai pengurus pasukan di Fiorentina, namun setakat ini masih belum ada sebarang rundingan yang berlaku antara kedua-dua pihak.

BACA:  Suso: Kejatuhan AC Milan Bukan Salah Gattuso