Ghana Berkesempatan Untuk Membalas Dendam Ke Atas Luis Suarez Di Qatar

“The Hand of God sekarang menjadi milik saya” itulah apa yang dikatakan oleh Luis Suarez selepas kejayaan beliau menggagalkan usaha Ghana memperoleh gol di minit-minit akhir dengan menggunakan tangannya.

Kedua-dua pasukan ketika itu bertemu di peringkat suku akhir dan kerana usaha dari Suarez itu, Uruguay berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2010.

“Saya lakukan aksi penyelamatan terbaik kejohanan.”

Jelas Suarez lagi.

“Kadang kala ketika sesi latihan, saya bermain sebagai penjaga gol, jadi ia berbaloi.”

Ketika peringkat suku akhir saingan Piala Dunia 2010, Suarez berjaya menggagalkan usaha Ghana untuk menjadi pasukan Afrika pertama yang layak ke peringkat separuh akhir.

Kejohanan pada ketika itu dilangsungkan di Afrika Selatan dan Ghana merupakan satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang berjaya layak ke peringkat kalah mati.

Mereka menyingkirkan Korea Selatan di pusingan 16 terbaik, seterusnya bertemu Uruguay di peringkat suku akhir dan berkesempatan untuk mencipta sejarah baru.

Jelas sekali seluruh Afrika memberi sokongan penuh kepada Ghana dan mahu melihat mereka mara lebih jauh di kejohanan tersebut.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan 1-1 pada penghujung aksi tambahan masa, dengan gol sepakan percuma Diego Forlan berjaya memadam gol pendahuluan yang dijaringkan oleh Sulley Muntari.

Pengaruh bola Jabulani yang terlalu ringan memainkan peranan penting dalam terhasilnya kedua-dua gol dalam perlawanan tersebut.

Ada satu detik yang mana gawang gol Uruguay sudah terbuka luas dan Ghana berkesempatan untuk meledak gol kemenangan.

Percubaan pertama Ghana berjaya diselamatkan oleh Luis Suarez dengan menggunakan lututnya dengan bola kembali berada dalam kawasan bahaya dan menyebabkan bintang Atletico itu terpaksa melakukan satu lagi aksi penyelamatan.

Jika yang pertama beliau selamatkan keadaan dengan menggunakan lutut, yang kedua pula beliau menyelamatkan keadaan dengan cara yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Dengan tak ada cara lain yang boleh dilakukan, Suarez memilih untuk menyelamatkan keadaan dengan menggunakan tangan seolah-olah beliau beraksi sebagai penjaga gol.

“Ia adalah naluri. Mana-mana pemain akan lakukan hal yang sama, bukan hanya saya.”

Jelas Suarez selepas insiden tersebut.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan Suarez itu tidak salah dan beliau hanya mahu menyelamatkan gawang golnya sahaja.

Namun untuk penyokong Ghana, tindakan Suarez itu merupakan satu hal yang keji dan tak boleh diterima oleh mereka.

Ditambah dengan cara beliau meraikan kegagalan pemain Ghana menyempurnakan sepakan penalti di tepi padang, ia sudah cukup untuk membuatkan seluruh Afrika benci padanya.

Tapi sejujurnya beliau tak sepatutnya untuk dibenci atas kesalahan itu kerana setiap pasukan sebenarnya sudah tentu mahukan pemain seperti Suarez ada dalam skuad mereka.

Seorang pemain yang sanggup menerima layangan kad merah, digantung perlawanan hanya untuk memastikan pasukannya layak ke peringkat seterusnya.

“Ada orang anggap saya tak ada semangat kesukanan.”

Tambah Suarez.

“Tapi saya rasa lebih teruk kalau pemain itu cedera kerana dia dihentikan dengan kekasaran yang keras ketika dia sudah hampir untuk menjaringkan gol.”

Suarez ketika itu dibuang padang, sementara Ghana berkesempatan untuk mencatatkan kemenangan dengan Asamoah Gyan tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Malang untuk Ghana, sepakan beliau terkena palang dan memusnahkan harapan negaranya untuk memperoleh gol kemenangan di minit-minit akhir perlawanan tersebut.

Penyokong masih berdendam dengannya sehingga ke hari ini kerana geram melihat beliau meraikan kegagalan Asamoah Gyan di tepi padang.

Uruguay berjaya menewaskan Ghana menerusi penentuan sepakan penalti dan jelas sekali segala usaha serta pengorbanan Luis Suarez membuahkan hasil.

Terbaru, selepas undian peringkat kumpulan saingan Piala Dunia Qatar dilakukan, Ghana akhirnya berkesempatan untuk membalas dendam mereka yang sudah bertahan selama 12 tahun.

Kedua-dua pasukan diundi berada dalam kumpulan H bersama Portugal dan Korea Selatan, dan kedua-dua mereka akan bertemu dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 2 Disember nanti.

Sangat cerah potensi untuk melihat pemenang dalam perlawanan itu akan mara ke peringkat kalah mati, sementara yang kalah bakal pulang ke negara mereka semula.

BACA:  FIFA Haramkan 4 Pemain Uruguay Yang Mengamuk Di Piala Dunia Termasuk Cavani