Suarez Tidak Akan Minta Maaf Dengan Ghana Dalam Insiden Handball Atas Garisan 2010

Luis Suarez menegaskan dia sesekali tidak akan meminta maaf dengan pasukan Ghana selepas insiden handball atas garisan gol ketika Ghana bertemu Uruguay di Piala Dunia 2010.

Pemain penyerang yang suka menggigit itu telah bertukar menjadi penjaga gol untuk menafikan gol kemenangan Ghana dengan dengan menggunakan tangan.

Suarez dilayangkan kad merah, Uruguay mendapat talian hayat dan penalti digagalkan oleh palang lalu perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Ghana gagal lagi dipenentuan sepakan penalti, aksi keji Suarez diangkat sebagai aksi heroic oleh peminat Uruguay dan Suarez menjadi figura dibenci oleh penyokong Ghana.

Bekas pemain Liverpool itu telah dilabel sebagai keji dan setan namun sejarah telah tercatat bagaimana pelanggaran peraturan permainan yang penuh berisiko membawa kejayaan kepada Uruguay.

Sudah 12 tahun peristiwa itu terjadi, di Piala Dunia 2022, Uruguay telah diundi untuk berada dalam H bersama Ghana, Korea Selatan dan Portugal.

Ghana dan Uruguay bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang menjadi penentu kepada kelayakan ke pusingan seterusnya.

Uruguay memerlukan kemenangan yang sedikit besar untuk mencerahkan peluang kerana hanya mengumpul satu mata sahaja berbanding Ghana tiga.

Inilah peluang Ghana untuk membalas dendam dan dalam satu sidang media menjelang perlawanan, Suarez telah menghangatkan suasana selepas ditanya oleh wartawan Ghana mengenai insiden 2010 itu.

Daripada meminta maaf atas tindakannya, Suarez menyalahkan Asamoah Gyan kerana terlepas sepakan penalti seterusnya dan berkata penyingkiran mereka daripada kejohanan itu bukan salahnya.

Wartawan itu berkata bahawa orang di Ghana menganggapnya sebagai ‘syaitan itu sendiri’ dan mereka tidak sabar untuk membuatkan Suarez bersara.

Suarez membalas komen itu dengan berkata:

“Kali pertama, saya tidak meminta maaf mengenainya. Saya memang memegang bola dengan tangan – tetapi pemain Ghana terlepas penalti, bukan saya.”

Bagi Suarez tiada sebab untuk dia meminta maaf kerana dia bukan mencederakan pemain lain dan dia telah menerima hukuman atas kesalahannya itu dan Ghana juga mendapat kelebihan tapi gagal dimanfaatkan.

“Mungkin saya minta maaf jika saya mencederakan pemain tetapi dalam situasi ini, saya menerima kad merah, ref kata penalti, itu bukan salah saya.”

Semua kenangan pahit dari 12 tahun lalu telah kembali membanjiri hati peminat Ghana kerana mereka akan menghadapi Uruguay di Piala Dunia sekali lagi.

Insiden Suarez Jadi Penjaga Gol 2010

Insiden Luis Suarez bertukar menjadi penjaga gol ini pasti tersemat dalam fikiran ramai dengan perlawanan penuh drama dan emosi dari perbuatan Suarez, plot twist bersepah-sepah.

Yang paling menyakitkan hati peminat Ghana sudah pasti kata-kata angkuh yang dikeluarkan oleh Suarez yang berjaya merubah perlawanan dari ambang kekalahan kepada sebuah kejayaan dalam cara yang tidak mengikut lunas bola sepak yang berpaksikan kepada ‘fair play’.

“The Hand of God sekarang menjadi milik saya.”

Itulah apa yang dikatakan oleh Luis Suarez selepas kejayaan dia menggagalkan usaha Ghana memperoleh gol di minit-minit akhir dengan menggunakan tangannya.

Kedua-dua pasukan ketika itu bertemu di peringkat suku akhir dan kerana usaha dari Suarez itu, Uruguay berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2010.

“Saya lakukan aksi penyelamatan terbaik kejohanan. Kadang kala ketika sesi latihan, saya bermain sebagai penjaga gol, jadi ia berbaloi.”

Ketika peringkat suku akhir saingan Piala Dunia 2010, Suarez berjaya menggagalkan usaha Ghana untuk menjadi pasukan Afrika pertama yang layak ke peringkat separuh akhir.

Kejohanan pada ketika itu dilangsungkan di Afrika Selatan dan Ghana merupakan satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang berjaya layak ke peringkat kalah mati.

Mereka menyingkirkan Korea Selatan di pusingan 16 terbaik, seterusnya bertemu Uruguay di peringkat suku akhir dan berkesempatan untuk mencipta sejarah baru.

Jelas sekali seluruh Afrika memberi sokongan penuh kepada Ghana dan mahu melihat mereka mara lebih jauh di kejohanan tersebut.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan 1-1 pada penghujung aksi tambahan masa, dengan gol sepakan percuma Diego Forlan berjaya memadam gol pendahuluan yang dijaringkan oleh Sulley Muntari.

Pengaruh bola Jabulani yang terlalu ringan dan terlalu liar memainkan peranan penting dalam terhasilnya kedua-dua gol dalam perlawanan tersebut.

Ada satu detik di mana gawang gol Uruguay sudah terbuka luas dan Ghana berkesempatan untuk meledak gol kemenangan dan terus ke separuh akhir.

Percubaan pertama Ghana berjaya diselamatkan oleh Luis Suarez dengan menggunakan lututnya dengan bola kembali berada dalam kawasan bahaya dan menyebabkan bintang Atletico itu terpaksa melakukan satu lagi aksi penyelamatan.

Jika yang pertama dia selamatkan keadaan dengan menggunakan lutut, yang kedua pula Suarez menyelamatkan situasi dengan cara yang sungguh luar biasa lagi menakjubkan.

Dengan tiaada lagi cara lain yang boleh dilakukan, Suarez memilih untuk menyelamatkan keadaan dengan menggunakan tangan seolah-olah dia beraksi sebagai penjaga gol.

“Ia adalah naluri. Mana-mana pemain akan lakukan hal yang sama, bukan hanya saya.” Jelas Suarez selepas insiden tersebut.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan Suarez itu tidak salah dan dia hanya mahu menyelamatkan gawang golnya sahaja. Namun untuk penyokong Ghana, tindakan Suarez itu merupakan satu hal yang keji dan tak boleh diterima oleh mereka.

Ditambah dengan cara dia meraikan kegagalan pemain Ghana menyempurnakan sepakan penalti di tepi padang, ia sudah cukup untuk membuatkan seluruh Afrika benci padanya.

Tapi sejujurnya Suarez tak sepatutnya untuk dibenci atas kesalahan itu kerana setiap pasukan sebenarnya sudah tentu mahukan pemain seperti Suarez ada dalam skuad mereka.

Seorang pemain yang sanggup menerima layangan kad merah, digantung perlawanan hanya untuk memastikan pasukannya layak ke peringkat seterusnya.

“Ada orang anggap saya tak ada semangat kesukanan.”

“Tapi saya rasa lebih teruk kalau pemain itu cedera kerana dia dihentikan dengan kekasaran yang keras ketika dia sudah hampir untuk menjaringkan gol.”

Suarez ketika itu dibuang padang, sementara Ghana berkesempatan untuk mencatatkan kemenangan dengan Asamoah Gyan tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Malang untuk Ghana, sepakan Gyan terkena palang dan memusnahkan harapan negaranya untuk memperoleh gol kemenangan di minit-minit akhir perlawanan tersebut.

Penyokong masih berdendam dengannya sehingga ke hari ini kerana geram melihat dia meraikan kegagalan Asamoah Gyan di tepi padang sebelum masuk ke bilik persalinan.

Uruguay berjaya menewaskan Ghana menerusi penentuan sepakan penalti dan jelas sekali segala usaha serta pengorbanan Luis Suarez membuahkan hasil.

Peluang untuk Ghana membalas dendam ke atas Suarez yang sudah dipenghujung karier sudah tiba, adakah mereka mampu untum membuat Suarez bersara?

Atau sekali lagi Ghana akan terkena dengan kenakalan Suarez?

BACA:  Melihat Luis Suarez Menangis Teresak-esak, Penyokong Atletico Rasa Terharu