Musim bunga di Hamburg membawa kelegaan kepada semua orang. Salji mula cair, orang ramai menyimpan semula topi dan sarung tangan musim sejuk. Matahari kembali bersinar di pelabuhan.
Namun, bagi kelab bola sepak terbesar di bandar itu, Hamburger SV (HSV), musim bunga sering menjadi petanda buruk. Ketika itulah prestasi mereka merosot dan impian untuk kembali ke Bundesliga sekali lagi berkecai.
Tujuh tahun terakhir penuh dengan detik-detik memalukan. HSV bukan kelab biasa-biasa. Kelab itu pernah menjuarai Bundesliga 6 kali, memenangi Piala Eropah pada tahun 1983 dan mempunyai ramai penyokong setia yang memenuhi stadium berkapasiti 57,000 setiap minggu.
Namun, sejak tersingkir ke Bundesliga 2 pada 2018, mereka gagal dalam 6 percubaan untuk kembali ke divisyen utama. 2 kali mereka menamatkan musim di tempat ke-3 tetapi tewas dalam play-off. 4 kali mereka menamatkan musim di tangga ke-4.
Setiap tahun, mereka memulakan kempen dengan baik pada musim luruh dan musim sejuk tetapi apabila musim bunga tiba, harapan mereka runtuh seperti bongkah ais yang cair di bawah matahari.
Mereka bukan sahaja sering bermain buruk ketika detik penentuan tiba, malah kegagalan mereka kadangkala berlaku dalam keadaan yang penuh dengan unsur komedi tragis.
Pada tahun 2023, mereka hampir pasti kembali ke Bundesliga sebelum Heidenheim menjaringkan 2 gol dalam masa tambahan 11 minit. Ia menutup pintu peluang mereka.
Tahun sebelumnya, mereka menewaskan Hertha Berlin 1-0 dalam perlawanan pertama play-off, kemudian kalah 2-0 di laman sendiri. Ia satu pperlawanan yang menyakitkan apabila melihat pasukan lawan dikendalikan oleh Felix Magath, bekas pemain HSV yang menjaringkan gol kemenangan dalam final Piala Eropah 1983.
Pada musim lalu keadaan lebih menyakitkan apabila St. Pauli, kelab jiran yang lebih kecil dengan bajet jauh lebih rendah berjaya naik ke Bundesliga sebagai juara Bundesliga 2. Seolah-olah takdir sedang mengejek HSV.
Tahun 2025 mungkin menjadi titik perubahan. Pada malam Sabtu lalu, HSV menewaskan Fortuna Dusseldorf 4-1 di Volksparkstadion, satu destinasi bersejarah dalam bola sepak Jerman.
Ia adalah satu malam yang gemilang penuh dengan permainan menyerang yang menarik dan atmosfera stadium yang menggegarkan. Dengan kemenangan itu, HSV kekal di puncak liga dengan kelebihan 1 mata dalam perebutan promosi yang sangat sengit.
Dengan baki 9 perlawanan lagi, impian untuk HSV kembali Bundesliga kini kelihatan semakin hampir.
Watak-Watak Tidak Dijangka Yang Mengubah HSV
Apa yang lebih menarik ialah kebangkitan HSV musim ini dipimpin oleh individu yang tidak dijangka. Mereka ialah seorang penyerang yang pernah dianggap gagal dan seorang jurulatih muda tanpa pengalaman sebagai ketua jurulatih.
Sejak tersingkir dari Bundesliga, HSV telah mencuba pelbagai jenis jurulatih, daripada idealis hingga pragmatis, daripada teknokrat kepada tradisionalis, tetapi tiada siapa pun yang berjaya membawa mereka kembali ke Bundesliga.
Namun, selepas Steffen Baumgart dipecat pada November 2024, HSV memilih untuk melantik Merlin Polzin sebagai jurulatih sementara.
Polzin lahir di Hamburg dan merupakan peminat HSV sejak kecil. Dia bukan nama besar dalam dunia kejurulatihan dan tidak pernah dianggap sebagai calon penyelamat kelab ini.
Malah, sebelum perlawanan menentang Fortuna Dusseldorf, dia berhadapan dengan jurulatih lawan, Daniel Thioune – bekas jurulatih HSV yang juga merupakan individu yang pernah membawa Polzin ke dalam dunia kejurulatihan.
Dengan wajah yang kelihatan lebih muda daripada usianya dan misai nipis ala aristokrat 1920-an, Polzin bukan seorang jurulatih yang pernah dianggap sebagai prodigi atau calon utama.
Apabila dia dilantik sebagai jurulatih interim selepas pemecatan Tim Walter pada Februari 2024, tiada siapa yang meramalkan dia akan mengubah hala tuju pasukan.
Namun, keputusan telah menunjukkan sebaliknya. Ketika Polzin mengambil alih, HSV berada di tangga ke-7 liga dengan hanya 20 mata daripada 13 perlawanan dan tanpa kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir. Kini, mereka hanya tewas 1 kali dalam tempoh 4 bulan.
Jean-Luc Dompe, pemain sayap Perancis yang berbakat tetapi tidak konsisten, kini menjadi ancaman utama di bahagian serangan. Ludovit Reis, yang sebelum ini sering dilanda kecederaan, kembali bermain seperti pemain yang berpotensi beraksi di Bundesliga. HSV kini lebih seimbang dengan bola dan lebih tersusun dalam bertahan.
Davie Selke: Dari Pemain Gagal ke Wira Hamburg
Kisah lain yang luar biasa dalam kebangkitan HSV ialah Davie Selke. Penyerang berusia 30 tahun ini menyertai HSV secara percuma selepas melalui perjalanan yang penuh dengan kekecewaan.
Dia pernah beraksi lebih 200 kali di Bundesliga bersama Werder Bremen, RB Leipzig, Hertha Berlin dan Koln tetapi tidak pernah menjaringkan lebih daripada 10 gol dalam satu musim liga.
Ketika dia tiba di Hamburg, dia hanya dianggap sebagai pemain simpanan kepada Robert Glatzel, penjaring utama pasukan. Namun pada Oktober 2024, apabila Glatzel mengalami kecederaan tendon, semua orang menjangkakan HSV akan menghadapi musim yang sukar. Tetapi sebaliknya berlaku, Selke melangkah ke hadapan dan menjadi wira tidak dijangka.
Sejak itu, Selke telah menjaringkan 14 gol daripada 17 perlawanan termasuk gol kemenangan dramatik pada minit terakhir ketika menentang Prussen Munster dan 2 gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Kaiserslautern.
Apa yang lebih mengagumkan, pada Januari lalu, Selke mengalami patah tulang pipi tetapi tetap bermain dengan memakai topeng pelindung. Ia tidak menjejaskan permainannya, malah dia menjadi lebih menggerunkan kepada pertahanan lawan. Dia lebih agresif, lebih dominan di udara dan lebih bersemangat.
Mampukah HSV Bertahan?
Walaupun HSV berada di landasan yang betul, tiada siapa di Hamburg yang berani bercakap tentang Bundesliga. Luka kegagalan sebelum ini masih segar dan kebimbangan bahawa sekadar menyebut promosi boleh membawa bencana masih kuat dalam kalangan penyokong.
Namun, perbezaan utama musim ini ialah mentaliti pasukan. Tahun-tahun kegagalan telah mencipta banyak kenangan pahit dan ramai pemain dalam skuad itu pernah mengalami trauma musim-musim lalu. Tetapi kali ini, ada sesuatu yang berbeza.
Selke telah menjadi tonggak kebangkitan ini, bukan hanya kerana jaringannya tetapi juga kerana semangat juangnya. Dia adalah pemain yang sentiasa berusaha, sentiasa menuntut lebih daripada rakan sepasukan dan kini menjadi simbol kebangkitan HSV.
Ketika dia menjaringkan gol pada Sabtu lalu dan melutut untuk meraikan jaringan itu, nama “Selke” bergema di seluruh stadium.
Dengan 9 perlawanan lagi, apa sahaja masih boleh berlaku. Tetapi buat pertama kali sejak beberapa tahun, HSV tidak runtuh menjelang musim bunga.
Matahari bersinar, salji telah cair dan harapan masih menyala di Hamburg. Mungkinkah tahun ini akhirnya menjadi tahun kebangkitan mereka?