Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain merasakan dirinya telah ‘ditendang’ keluar dari Juventus berikutan kemasukan Cristiano Ronaldo pada pintu perpindahan musim panas lalu.
Penyerang antarabangsa Argentina itu mengakui beliau tidak meminta untuk berpindah keluar dari Juventus dan juara Serie A terpaksa mencari jalan penyelesaian terbaik untuknya selepas Ronaldo menyertai kelab tersebut.
Higuain yang beraksi secara pinjaman untuk AC Milan musim ini berpindah ke Juventus dari Napoli pada tahun 2016 dalam perjanjian bernilai €90 juta. Sepanjang dua musim beraksi di Turin, beliau berjaya menjaringkan 40 gol dari 73 penampilan namun gagal membantu Juventus memenangi Liga Juara-Juara Eropah.
Disebabkan kegagalan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Juventus beralih arah dengan membawa masuk Ronaldo dari Real Madrid dalam perjanjian bernilai €100 juta walaupun kapten Portugal itu telah mencecah usia 33 tahun.
Kemasukan Ronaldo menyebabkan ada pemain yang terpaksa dilepaskan bagi memberi ruang kepada Ronaldo. Juventus merasakan Higuain merupakan pemain lebihan dalam skuad mereka musim ini dan tanpa berselindung memberitahu pemain tersebut yang beliau tidak mempunyai masa depan lagi di Juventus.
Juventus berusaha sedaya upaya untuk mencari kelab yang sesuai dan mampu membayar gaji Higuain yang tinggi, dan akhirnya AC Milan muncul sebagai penyelamat. Higuain menyertai Milan tidak lama selepas Ronaldo menyertai Juventus dan perjanjian pinjaman itu boleh bertukar menjadi tetap jika Milan bersetuju membayar yuran perpindahanseperti yang telah dipersetujui pada penghujung musim nanti.
Walaupun Higuain tidak pernah berniat untuk meninggalkan Juventus, beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Juventus dan faham dengan situasi yang dihadapi kelab tersebut.
“Tidak sama sekali. Saya berasa sayang terhadap Juventus kerana layanan baik mereka terhadap saya. Rakan sepasukan dan peminat Juventus juga melayan saya dengan baik.” Ujar Higuain kepada Gazzetta dello Sport.
“Tetapi saya tidak meminta untuk berpindah keluar dari Juventus. Secara asasnya, seperti semua sedia maklum, saya telah ditendang keluar. Mujur lah sebaik sahaja saya tiba di Milan, mereka menerima saya dengan penuh sayang dan ia telah meyakinkan saya terhadap kelab tersebut.”
“Saya tahu ada perkara yang telah retak di Juventus, sebab itulah mereka membawa masuk Ronaldo. Keputusan untuk meninggalkan Juventus bukanlah keputusan saya.”
“Saya memberikan segala-galanya untuk Juventus dan saya berjaya memenangi beberapa trofi. Selepas Ronaldo tiba, Juventus perlu melakukan sesuatu dan mereka memberitahu saya tidak boleh lagi berada di kelab tersebut dan mereka sedang mencari jalan penyelesaian terbaik. Jalan terbaik adalah AC Milan.”
Menjelang pertemuan penting menentang Inter Milan hujung minggu ini, Higuain turut meluahkan perasaan kecewanya kerana gagal membantu Milan meraih kedudukan lebih tinggi di Serie A. Higuain juga kagum dengan corak kepimpinan dimiliki jurulatih Milan, Gennaro Ivan Gattuson.