“Jangan Percaya”- Ten Hag Sebenarnya Menipu Ketika Bercakap Tentang Ronaldo

Komen Erik Ten Hag tentang masa depan Cristiano Ronaldo sebenarnya langsung tak boleh dipercayai dan semua itu hanyalah dusta semata-mata.

Itulah apa yang didedahkan oleh bekas chairman Crystal Palace, Simon Jordan yang menegaskan bahawa komen dari Ten Hag itu tak boleh dipercayai.

Sejak mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan kelab pada awal bulan lalu, nama Cristiano Ronaldo sepertinya tak henti-henti menjadi topik sensasi pelbagai media.

Ketika artikel ini ditulis, hal berkait masa depan Ronaldo sepertinya masih belum selesai dengan beliau masih lagi belum kembali sertai kem Man Utd.

Pemain berusia 37 tahun itu bahkan turut tidak menyertai skuad Manchester United ke Thailand untuk aksi pra musim mereka bertemu Liverpool.

Alasan mengapa beliau tidak ke Thailand dikatakan kerana beliau mempunyai masalah peribadi/keluarga.

Pengurus pasukan, Erik Ten Hag menyatakan ketika sesi sidang media yang diadakan di Bangkok semalam bahawa, Ronaldo sebenarnya masih ada dalam perancangan beliau.

Pengurus dari Belanda itu mendedahkan bahawa:

“Cristiano Ronaldo bukan untuk dijual, dia ada dalam perancangan kami, dia tak ada bersama kami kerana dia ada masalah peribadi. Kita ada perancangan tersendiri dengan Cristiano Ronaldo pada musim ini.”

Jordan walau bagaimanapun tak percaya dengan komen dari Ten Hag dan menganggap pengurus dari Belanda itu sekadar menipu.

Bercakap kepada talkSPORT, beliau mendedahkan bahawa:

“Saya boleh bayangkan yang Ten Hag tak sabar mahu menyingkirkan Ronaldo tapi dia masih berlapik untuk mengelak kontroversi.”

“Dia sebenarnya perlu katakan sesuatu perkara untuk memastikan ada pelbagai perspektif dari apa dia katakan, jadi dia boleh kawal situasi semampu mereka.”

“Agak mengarut yang dia tak ikuti sesi jelajah atas alasan peribadi. Dia tak ikut sebab dia memang tak mahu berada di Manchester lagi.”

Jordan kemudiannya menyatakan yang Ten Hag tak boleh membina semula skuad baru seandainya Ronaldo masih ada bersama kelab.

“Ten Hag tak mahu dia ada, dia tak boleh lakukan revolusi dengan orang yang tak mahu, terutama orang yang akan cetus banyak sensasi yang dia tak perlukan.”

“Dia perlu bina kelab bola sepak dan dia perlu semua orang untuk teguh bersama, bukan sibuk menguruskan seseorang yang datang untuk mengakhiri kariernya.”

“Dia (Ronaldo) mungkin boleh jaringkan gol, tapi kelab perlu berkorban dan bermain seperti yang Ronaldo mahukan.”

Selain dari Ronaldo, Ten Hag bersama anak-anak buahnya sedang gigih menjalani latihan pra musim di Bangkok dan akan turun beraksi bertemu Liverpool.

Para peminat merasa begitu teruja melihat cara Erik Ten Hag mengendalikan para pemainnya ketika sesi latihan di Bangkok.

Peminat Teruja Melihat Ketegasan Ten Hag Ketika Sesi Latihan Bersama Skuad United

Para pemain Manchester United dipaksa untuk melakukan press-up seandainya mereka bolos ketika sesi latihan dan hal itu mencuri perhatian peminat.

Skuad kendalian Erik Ten Hag itu pada ketika ini sedang berada di Bangkok untuk jalani aksi pra-musim dan mereka semalam telah mengadakan sesi latihan terbuka di hadapan peminat.

Media dibenarkan untuk berada di padang latihan, dan tular satu video yang dikongsikan oleh Simon Stone dari BBC yang menunjukkan bagaimana cara Ten Hag mendisiplinkan pemain Man Utd.

Ten Hag menyediakan satu skuad untuk menyerang dan satu skuad untuk bertahan di hadapan 10,000 penyokong yang tak henti-henti memberi sorakan padu kepada pasukan.

Laurie Whitwell dari The Athletic menggambarkan yang pengurus berusia 52 tahun itu sangat tegas dan menetapkan peraturan yang sangat jelas.

Setiap kali ada bolos, para pemain di minta untuk melakukan press-ups dan hal itu berulang-ulang sehingga sesi latihan tamat.

Para pemain akur dan menurut sahaja kehendak Ten Hag dengan penyokong bersorak riang setiap kali melihat pemain melakukan press-up.

Para penyokong merasakan yang pemain-pemain semakin berdedikasi dan bersedia untuk memberi segalanya kepada skuad.

Video tersebut tular di media sosial dengan para penyokong sangat tertarik untuk membincangkan hal tersebut.

“Saya dulu pernah buat benda ni ketika di sekolah, pemain semua terus berdisiplin selepas itu. Saya rasa ini permulaan yang baik untuk Man Utd.”

“Ini next level berbanding Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick. Saya dah nampak yang skuad kita akan lebih teratur selepas ini.”

“Adakah mereka akan lakukan ini dalam perlawanan sebenar? Maaf saya cuma bertanya sebab tak pernah nampak mereka begini sebelum ini.”

“Saya sangat-sangat gembira melihat ini, ini adalah permulaan untuk melihat skuad kita semakin bagus.”

“Perkara asas sebenar dalam kehidupan adalah disiplin dan Ten Hag sepertinya sedang membentuk skuadnya untuk menjadi skuad yang lebih berdisiplin.”

Perlawanan pertama Manchester United adalah beraksi bertemu seteru utama mereka, Liverpool dengan mereka selepas itu akan ke Australia untuk beraksi bertemu Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa.

Tyrell Malacia kekal sebagai satu-satunya pembelian United pada musim panas ini dengan pihak kelab masih gigih berusaha mendapatkan khidmat Frenkie de Jong dan Lisandro Martinez.

Christian Eriksen turut sudah bersetuju untuk sertai Manchester United menerusi perjanjian selama tiga tahun dan beliau pada ketika ini sedang melakukan ujian kesihatan berkait serangan cardiac arrest yang menimpa beliau ketika Euro 2020 tahun lalu.

Enam pemain dari skuad utama telah meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim lalu dengan Ten Hag kini sedang menguruskan skuad yang lebih kecil berbanding skuad asal setan merah.

Dua pemain harapan United, Paul Pogba dan Nemanja Matic turut sudah meninggalkan kelab dan kini setan merah terpaksa bergantung harap kepada gandingan Fred dan Scott McTominay.

Pemain kebangsaan Brazil itu memuji kehebatan Ten Hag ketika bercakap dalam satu temu bual baru-baru ini bersama Manchester Evening News.

“Kita sudah tidak sabar untuk beraksi pada musim baru ini.”

Jelas Fred.

“Kita ada pengurus baru, Erik dan saya yakin kami akan capai pelbagai kejayaan yang hebat. Itu lah apa yang kami mahu capai. Saya harap kami akan dapat capai sasaran kami pada penghujung musim nanti.”

“Dia seorang pengurus yang hebat, sesi latihan sangat hebat, keras. Kami sasarkan untuk ikut segala kemahuan dia dalam sesi latihan harian kami.”

“Saya harap kami boleh menang di masa hadapan. Jelas sekali ia bukan mudah, ia tak akan berlaku segera. Kami semua akan lakukan yang terbaik.”

“Adalah sangat penting untuk kami ada jurulatih yang hebat. Ia beri kami jaminan dan ia banyak membantu kami. Dia sangat teliti dalam kerja dia. Ia sangat hebat untuk kami memiliki dia.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Allegri: Beri Ronaldo Masa Untuk Menyesuaikan Diri Dengan Serie A