Man Utd Hubungi Kelab Arab Saudi Untuk Lelong Sancho Dan Antony

Manchester United dilaporkan telah menawarkan Jadon Sancho dan Antony kepada kelab-kelab Saudi Pro League untuk mendapatkan kembali sebahagian daripada pelaburan yang dikeluarkan untuk kedua-dua pemain sebelum ini.

United membelanjakan £197 juta untuk kedua-dua pemain sayap. Malang sekali nilai tersebut tidak setimpal dengan prestasi di atas padang.

Sancho telah disingkirkan daripada skuad utama selepas lantang mengkritik Erik ten Hag secara terbuka berkaitan komitmen ketika latihan, sebelum dipinjamkan ke Borussia Dortmund pada jendela perpindahan Januari ini.

Antony pula pada musim ini masih gagal menghasilkan sebarang gol atau assist daripada 22 penampilan, dan kini mulai terasing daripada kesebelasan utama pasukan.

Kecewa dengan prestasi kedua-dua pemain, United kini dilaporkan bersedia untuk menunjukkan pintu keluar buart Sancho dan Antony, sekali gus mendapatkan dana untuk dilaburkan semula untuk pemain baharu.

Evening Standard melalui laporannya mendedahkan United telah menghubungi beberapa kelab di Saudi yang sanggup melabur besar untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi.

Kelab-kelab Saudi Pro League sebelum ini telah berbelanja besar memancing pemain-pemain ternama dari Eropah namun tidak bersedia untuk mendapatkan pemain dengan harga mahal pada Januari ini.

United dilaporkan berharap untuk mendapatkan sekurang-kurangnya £50 juta pulangan untuk setiap pemain pada musim panas akan datang.

Kelab Saudi Pro League dilaporkan hanya bersedia untuk mendapatkan pemain berprofil tinggi pada jendela perpindahan musim panas, namun setakat ini hanya nama-nama seperti Mohamed Salah, Kevin de Bruyne, dan Son Heung-min menjadi sasaran utama.

Dua lagi bintang United, Casemiro dan Raphael Varane turut dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi. Sancho pada mulanya dikatakan akan menyertai Al Ettifaq pada Januari ini, namun kelab kendalian Steven Gerrard itu tdak sanggup memenuhi permintaan £50 juta yang dipinta United.

Pada masa ini United berharap Sancho mampu mengembalikan prestasinya ke tahap terbaik bersama Dortmung untuk menarik bidaan tertinggi pada musim panas akan datang.

Begitu juga dengan Antony di Old Trafford. Ini bermakna bintang Brazil itu akan tetap diturunkan dalam perlawanan membabitkan United untuk membuktikan kemampuan dirinya.

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 1-1 Southampton