Setahun Cinta Terhalang, Akhirnya Manchester United dan Jadon Sancho Disatukan

Setahun sudah kita dengar kisah antara kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang menagih khidmat pemain Borussia Dortmund, Jadon Sancho. Sejak tahun lepas lagi kita dah berkali-kali dengar kisah tempoh 48 jam, 48 jam, 48 jam.

Namun kisah gembira yang dinantikan, tidak kunjung tiba.

Walaubagaimanapun, kisah tragis ini akhirnya dikhabarkan menemukan episod gembira di mana ada sumber rapat The Sukan di England mengatakan bahawa United sudahpun bersetuju dengan nilai hantaran yang ditetapkan oleh Dortmund untuk khidmat Sancho.

Sancho, yang kini sedang bersama pasukan England di Kejohanan Eropah 2020, diletakkan harga sebanyak Β£72.9 juta oleh kelabnya, dan nilai tersebut dipersetujui oleh pihak United. Dikhabarkan juga, tiada syarat-syarat lauk tambah bagi harga tersebut.

Sumber tersebut juga mengatakan bahawa bekas kelab Sancho yang juga seteru tempatan United, Manchester City bakal menerima sebanyak 15 peratus daripada jumlah yuran perpindahan tersebut – kira-kira Β£7.9 juta.

Perbincangan dengan wakil Sancho telah bermula sejak musim panas tahun lalu dan segalanya telah berjalan lancar. Pemain yang berusia 21 tahun tersebut bakal menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menurunkan sebarang tanda tangan dan kontrak ditawarkan dikhabarkan selama lima tahun, sehingga 2026.

Setakat ini, ejen The Sukan di England mengatakan bahawa kedua-dua pihak, United dan Sancho, telah mempersetujui terma dan syarat seperti gaji, elaun dan KWSP, namun Dortmund mahukan duit deposit yang tinggi dibayar United, memandangkan mereka mahu membayar jumlah keseluruhan yuran perpindahan ini secara ansuran.

United walaubagaimanapun tidak akan mengumumkan penyatuan dua hati ini dalam masa terdekat dan akan menunggu sehingga kempen Kejohanan Eropah England tamat nanti. Lagi pula, terdapat beberapa isu berkenaan kuarantin berkenaan Sancho yang menyebabkannya meninggalkan kem latihan England sebelum kembali turun ke padang bertemu rakan sepasukan.

Sancho dijangka bakal memperkuatkan barisan pemain pimpinan Ole Gunanr Solskjaer tepat pada masanya dengan jadual Liga Perdana Inggeris akan bermula pada 14 Ogos 2021.

Berita gembira ini dengan rasminya menutup kisah percintaan terhalang yang telah berlangsung selama lebih 18 bulan. Sancho merupakan pilihan pembelian utama Solskjaer pada tahun lalu dan walaupun pemain ini telah meluahkan hasrat untuk berpindah, United gagal mencapai kata sepakat dengan Dortmund.

Selepas perpindahannya ke United pada musim panas lalu gagal, prestasi Sancho didakwa agak menurun.Β Tambahan pula, pada bulan Mac, kecederaan di peha menyebabkannya terpaksa berehat selama tujuh minggu.

Ketika ketiadaannya, Dortmund agak tidak stabil dan kehilangan tempat di dalam empat teratas liga dan ditendang keluar daripada UCL oleh Manchester City.

Kembali dari kecederaan, Sancho bergading bahu dengan Haaland untuk membantu Dortmund memenangi kesemua baki tujuh perlawanan liga, menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir DFB Pokal ketika membelasah RB Leipzig, dan juga membantu kelabnya layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Prestasi menurun apa nya lagu tu? Tam faham amkum.

Akan tetapi pada tahun ini, perbincangan antara kedua-dua belah pihak berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sancho telah bermain di Jerman selama empat tahun selepas tiba dari Manchester City pada tahun 2017. Sepanjang berada di sana, dia telahΒ  menjaringkan 50 gol dalam 137 perlawanan dan dinamakan dalam pasukan terbaik Bundesliga sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Walaupun muncul dari akademi Manchester City, dia masih belum melakukan sebarang penampilan dalam Liga Perdana Inggeris buat kelab tersebut.

Dalam kempen Kejohanan Eropah tahun ini bersama England, Sancho tampil cemerlang dalam membantu England layak ke pusingan suku akhir menentang Ukraine. Tapi dia cemerlang dari bangku simpanan je lah setakat ni.

Mungkin pengurus England, Gareth Southgate sengaja rehatkan Sancho sebab nak bagi peluang kepada pemain ini selesaikan urusan perpindahannya ke United. Entah-entah Southgate pun penyokong United, tak?

sumber : ESPN

BACA:Β  Apa Yang Membuatkan Jadon Sancho Istimewa