Apa Yang Membuatkan Jadon Sancho Istimewa

Manchester United mengumumkan secara rasmi telah menemui kata sepakat dengan Borussia Dortmund bagi mendapatkan Jadon Sancho pada harga £73 juta.

Kedua-dua kelab tersebut telah mengesahkan perkara tersebut. Ketika ini Sancho sedang bersama skuad England yang bermain di Piala Eropah yang menyaksikan pasukan itu mara ke suku akhir.

Dortmund telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perpindahan Sancho ke Manchester United.

“Kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat. Manchester United akan membayar yuran perpindahan sebanyak EUR 85 juta.”

Apa yang membuatkan Sancho sangat Istimewa

Sancho mula bermain bola sepak bersama Watford dan Manchester City namun Dortmund mengangkat namanya sehingga digelar sebagai salah seorang pemain remaja paling berbakat di eropah.

Selama 3 musim setengah disana Sancho telah meletakkan namanya sebagai pemain sayap berkelas dunia apabila merekodkan 50 gol dan 64 bantuan dalam 108 perlawanan semua pertandingan.

Dia juga meraih DFB Cup, DFL Supercup dan meraih 20 penampilan bersama England.

Sancho dilahirkan di Selatan London, Camberwell dan membesar bersama pemain remaja Arsenal, Reiss Nelson. Nelson juga mengikut jejaknya ke Jerman selepas menyertai Hoffenheim secara pinjaman setahun selepas Sancho ke sana.

Sebelum itu nasib Sancho lebih malang berbanding Nelson, Sancho tidak pernah berpeluang bermain di peringkat tertinggi kerana persaingan kuat di Manchester City.

Keakraban dan bakat 2 pemain ini dilihat oleh cikgu sekolah merangkap jurulatihnya ketika remaja.

“Apabila saya melihat Jadon dan Reiss, saya rasa diaorang ni gila. Jadon suka membuatkan orang lain nampak bodoh dengan aksi nut meg dan kemahirannya.” kata bekas cikgu Jadon kepada Daily Mail

Kawalan dan kelajuan

Kawalan terhadap bola yang kemas dari Sancho menjadi aspek utama para peminat suka melihat aksinya.

Ramai pemain handalan dunia mempunyai kemahiran tinggi yang tersendiri untuk mengalahkan pihak lawan. Pemain nombor 10 seperti Zinedine Zidane atau Juan Roman Riquilme mempunyai otak yang genius.

Sancho juga unik kerana dia memiliki kelajuan dan teknik yang mengagumkan. Xavi pernah berkata Barcelona kekurangan pemain seperti Sancho.

Di Bundesliga, Serge Gnabry dan Christopher Nkunku antara pemain terpantas dengan rekod larian 33.6 km/jam namun Sancho mengatasi kedua-dua pemain itu dengan catatan 34.6 km/jam.

Kemampuan menjaringkan gol dan bantuan gol seimbang

Sancho membuktikan keputusannya menyertai Dortmund adalah tepat.

Rakan sepelatihnya di Manchester City, Phil Foden telah membuat penampilan sebanyak 69 kali di Liga Perdana Inggeris sementara Sancho telah tampil sebanyak 104 kali bersama Dortmund.

Kedua-dua pemain ini berusia 21 tahun.

Sejak menyertai Bundesliga hanya Thomas Muller yang mengatasi catatan bantuan gol yang dihasilkan Sancho. Muller merekod 67 bantuan dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun majoriti bantuan gol Muller banyak kepada Robert Lewandowski. Sancho lebih unik kerana 64 bantuan gol yang diciptanya untuk 11 pemain berbeza.

Sancho mudah untuk serasi dengan mana-mana pemain seperti Paco Alcacer, Marco Reus, Thorgan Hazard, Nico Schulz, Julian Brandt, Erling Haaland, Raphael Guerreiro, Axel Witsel, Mat Hummels dan Dan-Axel Zagadou.

Mengikut rekod yang dicatat terdapat 9 hantaran dari Sancho yang sepatutnya boleh diterjemahkan kepada gol gagal disempurnakan.

Sancho menjadi lebih unik kerana dia juga mempunyai kemampuan menjaringkan gol. Tidak ramai pemain yang mahir mencipta jaringan mampu menjaringkan gol sama banyak dengan bantuan.

Sancho pernah berkata ‘Saya mahu manjaringkan gol, itu salah satu perkara penting bagi saya’ kepada bundesliga.com

Sancho juga pernah mendedikasikan jaringannya kepada mendiang neneknya ketika Dortmund menewaskan Schalke 2-1, pertemuan derby pada hujung tahun 2018.

“Jaringan adalah segala-galanya bagi keluarga saya. sayangnya, nenek saya sudah meninggal dunia. Jaringan itu untuknya.”

Kadar keberjayaan Sancho menjaringkan gol agak baik. Sancho hanya memerlukan 3 percubaan tepat untuk menghasilkan 1 gol.

Pada kebiasaanya Sancho akan melepaskan percubaan lebih awal ketika penjaga gol lawan terkeluar dari posisi sebenarnya. Jika dia tidak mempunyai ruang melepaskan percubaan dia akan mencipta bantuan gol.

Dengan kehadiran Sancho di Old Trafford, kelab tersebut telah mengatasi masalah yang dialami sekian lama terutamanya di sebelah kanan.

BACA:  FA Cup Suku Akhir: Leicester City 3-1 Manchester United