Man Utd Sedia Payung Gaji Sancho Asalkan Pemain Itu Berambus Dari Old Trafford

Jadon Sancho dilaporkan semakin hampir kembali menyertai Borussia Dortmund secara pinjaman dan Manchester United turut menyatakan komitmen untuk menyalurkan subsidi bagi menampung kos gaji pemain itu.

Sancho menjadi pemain di dalam buangan di United selepas pertelingkahan dengan Erik ten Hag mengenai disiplin ketika latihan selepas kekalahan 3-1 kepada Arsenal pada September lalu.

Sejak daripada itu pemain antarabansa England itu tidak terlibat dengan semua aktiviti skuad utama United setelah Sancho turut terus berdegil untuk memohon maaf.

Perpindahan ke Arab Saudi turut tidak menjadi kenyataan dan Sancho dikatakan memilih untuk kembali ke Dortmund untuk menyelamatkan kariernya.

Menurut Fabrizio Romano Sancho melihat Dortmund sebagai kelab paling ideal untuk membenarkannya bangkit kembali selepas apa yang dilaluinya di Old Trafford.

Wartawan The Athletic Laurie Whitwell mendedahkan Manchester United bersedia untuk memberikan komitmen kewangan untuk menampung gaji tinggi yang diterima Sancho demi memastikan perpindahan tersebut menjadi kenyataan di jendela perpindahan Januari ini.

Sancho adalah antara pemain yang menerima gaji paling tinggi di dalam skuad United dengan pendapatan mencecah £200,000 seminggu.

United dilaporkan sanggup meminjamkan Sancho dan berharap pemain itu mampu membuktikan kemampuan dirinya untuk mengelakkan nilai pemain itu jatuh menjunam sebelum menjualnya pada musim panas nanti.

United membayar Dortmund £73 juta untuk mendatangkan Sancho pada 2021 dan sejak daripada itu pemain tersebut hanya menyumbangkan 12 gol daripada 82 penampilan.

Tidak dinafikan prestasi Sancho jauh berbeza dengan apa yang pernah ditampilkannya ketika masih bersama Dortmung sebelum ini di mana dia menjaringkan 19 gol daripada 26 penampilan pada musim 2020/21.

Pada ketika itu Sancho memenangi DFB Pokal bersama Dortmund sebelum dia menyertai United.

Sancho memastikan dirinya terus berada di Carrington namun sekadar menjalani latihan bersama skuad akademi.

Ten Hag ketika bercakap mengenai situasi Sancho pada bulan lalu berkata: “Ia adalah mengenai budaya dan setiap pemain wajib memenuhi standard dan memahami intipatinya.”

“Apa yang berlaku sekarang, dia tahu apa yang perlu dilakukannya untuk kembali dan segalanya terserah kepadanya. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Terpulanglah kepadanya.

“Kita akan lihat perkara seterysnya. Ini prihal dalaman, kita tunggu dan lihat.”

BACA:  EPL: Dua Gol McTominay Bantu Man Utd Tewaskan Chelsea Di Old Trafford