Sancho Dakwa Ten Hag Pilih Kasih Kerana Beri Keistimewaan Kepada Antony

Seperti dilaporkan sebelum ini Manchester United dilaporkan sedang berusaha untuk mencari kelab yang berminat untuk mendapatkan Jadon Sancho selepas hubungan keruh pemain itu dengan pengurus pasukan Erik ten Hag.

Salah satu sebab utama keretakan hubungan di antara Jadon Sancho dan Erik ten Hag telah didedahkan.

Pada masa ini Sancho kekal diasingkan daripada skuad utama United selepas perselisihan faham dengan pengurus dari Belanda itu – yang meletus selepas Sancho tidak berada di dalam skuad hari perlawanan menentang Arsenal pada 3 September lalu.

Ten Hag menuduh Sancho tidak menunjukkan kesungguhan ketika latihan. Kenyataan itu dibidas oleh Sancho di media sosial dan menganggap kenyataan daripada Tan Hag sebagai tidak benar.

Beberapa laporan berasingan sebelum ini mendedahkan Sancho cuma akan kembali menyarung jersi United sekiranya sanggup melepaskan egonya dan memohon maaf kepada Ten Hag. Namun sehingga kini situasi tersebut seakan-akan tidak berlaku.,

Laporan terbaru daripada Football Transfer mendedahkan mengapa Sancho begitu tidak berpuas hati dengan Ten Hag.

Portal tersebut mendedahkan bagaimana Sancho berpendapat Ten Hag mengamalkan sikap pilih kasih apabila sentiasa memberi keutamaan kepada Antony.

Pemain sayap Brazil itu tiba dari Ajax dengan nilai £82 juta pada 2022, dan seperti Sancho dianggap antara bintang mahal United yang gagal menyerlah seperti yang diharapkan.

Walaupun demikian Antony tetap mendapat tempat di dalam kesebelasan utama United setiap kali pemain itu cergas untuk beraksi.

50 penampilan Antony bersama Setan Merah menyaksikan pemain itu menghasilkan lapan gol dan tiga assist.

Sebagai perbandingan Sancho menjaringkan 12 gol dan menghasilkan 6 assist daripada 82 perlawanan untuk United.

Perbezaannya Sancho sentiasa menjadi bahan kritikan kerana prestasi tersebut, tetapi Antony kekal mendapat kepercayaan daripada Ten Hag.

Perkara itu menyebabkan Sancho tidak berpuas hati selepas Antony tetap mendapat peluang untuk bermain walau bertapa buruknya penampilan dan kesilapan yang dilakukan pemain itu.

Situasi tersebut menyebabkan Sancho menggelar Antony sebagai anak emas Ten Hag.

BACA:  Depay: Tinggalkan Manchester United Jadikan Saya Pemain Yang Lebih Baik