Indonesia Pasukan Paling Malang Dalam Sejarah Piala AFF

Timnas ‘Garuda’ Indonesia yang tidak pernah kalah di media massa boleh dianggap sebagai pasukan paling malang dalam sejarah Piala AFF Suzuki sejak dipertandingkan pada tahun 1996 untuk edisi pertama.

Piala AFF pada awal dilangsungkan dikenali sebagai Piala Tiger yang merupakan kejohanan utama untuk saingan bola sepak Asia Tenggara bagi merebut kejuaraan yang paling logik untuk dimenangi.

Pasukan dari Asia Tenggara agak bergelut untuk meraih kejuaraan di peringkat Asia apatah lagi peringkat dunia, kerana itulah Piala AFF ini menjadi rebutan.

Indonesia merupakan antara pasukan paling kerap layak ke perlawanan akhir, namun mereka tidak pernah sekalipun muncul sebagai Juara saingan Piala AFF.

Negara jiran kita hanya mampu muncul sebagai naib juara sahaja sebanyak lima kali, namun berita gembira untuk mereka, rekod lima kali itu merupakan yang tertinggi berbanding mana-mana pasukan.

Tidak ada pasukan lain yang paling kerap muncul sebagai naib juara dalam pertandingan ini melainkan Indonesia. Lantaran itulah Indonesia dilabel sebagai pasukan paling malang.

Bermula pada tahun 2000 dan 2002 ketika tewas di tangan lawan yang sama iaitu Thailand, Indonesia kemudiannya tewas kepada Singapura pada tahun 2004.

Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada skuad Harimau Malaya pada tahun 2010, sebelum sekali lagi dikecewakan oleh Thailand pada tahun 2016.

Dari kesemua lima aksi perlawanan akhir, Indonesia tidak pernah muncul sebagai Juara walaupun mereka sering menjadi calon kegemaran untuk muncul sebagai Juara.

Prestasi Indonesia di Piala AFF

Indonesia tidak pernah terlepas untuk beraksi di Piala AFF apabila telah beraksi sebanyak 13 kali bermula edisi pertama 1996 sehinggalah edisi terkini untuk tahun 2020.

Selain lima kali muncul naib juara, Indonesia meraih tempat ketiga sebanyak 2 kali dan sekali di tempat keempat serta empat kali terkandas di peringkat kumpulan sahaja.

Indonesia telah beraksi sebanyak 62 perlawanan di Piala AFF dengan mencatatkan 30 kemenangan 13 seri dan 19 kekalahan dengan 150 gol dijaringkan serta 89 kali dibolosi.

Prestasi Indonesia di Piala AFF:

1996: Tempat ke-4

1998: Tempat ke-3

2000: Naib Juara

2002: Naib Juara

2004: Naib Juara

2007: Peringkat Kumpulan

2008: Tempat ke-3

2010: Naib Juara

2012: Peringkat Kumpulan

2014: Peringkat Kumpulan

2016: Naib Juara

2018: Peringkat Kumpulan

2020: Naib Juara

Kurniawan Dwi Yulianto merupakan penjaring terbanyak Indonesia di Piala AFF dengan 13 gol diikuti Bambang Pamungkas yang telah mencetak 12 gol di mana 8 gol telah dijaringkan satu edisi sahaja iaitu pada tahun 2002.

Setakat ini hanya Firman Utina sahaja pemain Indonesia yang telah berjaya menjadi pemain paling bernilai (MVP) di Piala AFF iaitu pada tahun 2010 ketika Indonesia menjadi tuan rumah dan tewas kepada Malaysia di perlawanan akhir.

Thailand Raja Piala AFF

Thailand merupakan gergasi besar dalam saingan Piala AFF dengan mereka pernah muncul Juara sebanyak lima kali sejak dari tahun 1996.

Mereka muncul Juara buat pertama kali ketika edisi pertama kejohanan pada tahun 1996 dengan menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi perlawanan akhir di Singapura.

Pada tahun 1998, Piala AFF menjadi milik Singapura yang berjaya menewaskan Vietnam dengan keputusan 1-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Thailand kemudiannya muncul Juara sebanyak dua kali berturut-turut dengan mereka menewaskan lawan yang sama, Indonesia di aksi perlawanan akhir pada tahun 2000 dan 2002.

Singapura kemudiannya melakukan hal yang sama dengan memenangi dua kejohanan tersebut secara berturut-turut pada tahun 2004 dan 2007 dengan menewaskan Indonesia dan Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

Vietnam pada tahun 2008 berjaya menjadi Juara dalam saingan AFF buat pertama kali dalam sejarah mereka, selepas menewaskan Thailand 3-2 secara aggregate.

Skuad kebangsaan Malaysia berjaya mencipta sejarah muncul Juara saingan Piala AFF buat pertama kalinya pada tahun 2010, selepas cemerlang menundukkan Indonesia 4-2 secara aggregate.

Singapura memenangi gelaran AFF keempat dalam sejarah mereka pada tahun 2012, selepas menewaskan Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

Thailand kemudiannya menunjukkan yang mereka masih kuasa besar di benua Asia Tenggara selepas menjuarai dua edisi Piala AFF pada tahun 2014 dan 2016 selepas menewaskan Malaysia dan Indonesia.

Pada edisi terakhir kejohanan ini dilangsungkan pada 2018, Vietnam berjaya muncul sebagai Juara, selepas kejayaan mereka menewaskan Harimau Malaya dalam aksi perlawanan akhir.

Siapakah yang akan menjadi juara edisi 2020?

Format Piala AFF

Sepanjang Piala AFF dipertandingkan, pihak penganjur telah beberapa kali menukar format pertandingan dengan tiga edisi awal (Piala Tiger) mereka memperkenalkan sistem beraksi di sebuah tempat sahaja.

Sama seperti konsep Piala Dunia, dengan semua perlawanan dari awal hingga akhir akan dilangsungkan di negara tuan rumah sahaja.

Pada edisi tahun 2002, format pertandingan diubah dengan dua negara dipilih menjadi tuan rumah untuk aksi peringkat kumpulan.

Singapura dan Indonesia merupakan dua negara pertama yang dilantik menjadi tuan rumah bersama pada ketika itu.

Pada edisi 2004, pihak penganjur sekali lagi mengubah format pertandingan dengan menggunakan sistem ‘home’ dan ‘away’ untuk aksi peringkat kalah mati.

Format yang sama kekal digunapakai sehingga edisi 2016, namun ada perubahan yang berlaku pada edisi tersebut dengan tiada lagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Piala AFF 2018 merupakan antara yang paling menarik dengan penganjur memperkenalkan aksi home dan away untuk aksi sepanjang pertandingan.

Di peringkat kumpulan, setiap pasukan akan bermain empat perlawanan dengan dua perlawanan di halaman sendiri, dan dua perlawanan lagi akan dimainkan di halaman lawan.

Masuk aksi peringkat kalah mati, format sama masih tetap digunapakai dan ia sebenarnya menarik minat lebih ramai untuk menyaksikan pertandingan tersebut.

BACA:  Park Hang Seo: Malaysia vs Vietnam Adalah Final Awal