Jordan FA Tuduh Penjaga Gol Skuad Wanita Iran Sebenarnya Seorang Lelaki

Penjaga gol skuad bola sepak wanita Iran, Zohreh Koudaei telah dituduh oleh Persatuan Bola Sepak Jordan (Jordan FA) sebenarnya seorang lelaki mungkin kerana kehebatan dan ketangkasannya di gawang.

Pelik bukan tetapi ini adalah kisah benar sedara-sedari sekalian.

Tuduhan berat ini hadir selepas kejayaan Iran menewaskan Jordan pada bulan september lalu ketika kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang akan dilangsungkan di India pada Januari.

Kejayaan Iran diperolehi melalui penentuan sepakan penalti dengan kemenangan 4-2 di mana Zohreh Koudaei telah membuat dua aksi menyelamat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kemenangan ini telah melayakkan skuad bola sepak wanita Iran mendapat tempat ke Piala Asia Wanita 2022 buat pertama kali dalam sejarah negara itu.

Lantaran kegagalan ini, rasa tidak puas hati membuak-buak di hati Persatuan Bola Sepak Jordan yang membuat tuduhan amat berat ini disusuli dengan surat bantahan rasmi kepada Asian Football Confederation (AFC).

Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali Bin Al-Hussein telah memuat naik surat bantahan rasmi kepada Asian Football Confederation (AFC) di akaun Twitter beliau.

Surat itu mendedahkan Persatuan Bola Sepak Jordan meminta “semakan pengesahan jantina” dilakukan ke atas skuad bola sepak wanita Iran dan bukan sahaja Zohreh Koudaei pada bulan September, yang kemudiannya ditolak oleh AFC.

Sebagai tindak balas, Persatuan Bola Sepak Jordan telah menuntut satu siasatan dijalankan oleh “panel pakar perubatan bebas”.

“Kami sememangnya mengiktiraf artikel 47 Peraturan Pertandingan Piala Asia Wanita AFC 2022 India dan memahami bahawa pengesahan jantina tidak wajib untuk pemain yang mengambil bahagian,”

“Bagaimanapun, artikel 47 memberi hak untuk AFC memulakan siasatan yang telus dan jelas oleh panel pakar perubatan bebas untuk menyiasat kelayakan pemain terbabit dan orang lain dalam pasukan.”

Surat itu juga mendakwa Iran mempunyai “sejarah dengan isu jantina dan doping.” Ini berkemungkinan merujuk kepada dakwaan yang dibuat pada 2015 oleh Mojtabi Sharifi, seorang pegawai yang bekerja rapat dengan liga Iran.

Mojtabi Sharifi mendakwa seramai lapan orang pemain pasukan bola sepak wanita Iran sebenarnya lelaki yang menunggu pembedahan bagi menukar jantina, tetapi dakwaan ini tidak pernah terbukti benar.

Selepas menyebarkan surat itu, Putera Ali Bin Al-Hussein yang merupakan bekas naib presiden FIFA, mengulas:

“Ia adalah isu yang sangat serius jika benar.”

“Tolong bangun @theafcdotcom,” tambah Putera Ali Bin Al-Hussein sambil menandai akaun Twitter AFC.

Pegawai daripada skuad bola sepak wanita Iran telah menolak gesaan daripada Persatuan Bola Sepak Jordan supaya jantina Zohreh Koudaei disiasat.

“Kakitangan perubatan telah memeriksa dengan teliti setiap pemain dalam pasukan kebangsaan dari segi hormon untuk mengelakkan sebarang masalah dalam hal ini, jadi saya memberitahu semua peminat supaya tidak bimbang,” kata ketua jurulatih Maryam Irandoost kepada laman web berita sukan Iran Varzesh3.

“Kami akan menyediakan sebarang dokumentasi yang diinginkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia tanpa membuang masa.”

Menurut penyiar Saudi Al Arabiya, Zohreh Koudaei telah dipaksa untuk mempertahankan dirinya daripada soalan mengenai jantinanya beberapa kali pada masa lalu.

Isu jantina Zohreh Koudaei ini bukanlah isu baru dan Persatuan Bola Sepak Iran sedia memberi kerjasama dan dokumen diperlukan jika AFC mahukan bukti.

Namun bantahan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Jordan ini telah ditolak mentah-mentah oleh AFC maka tiada isu lagi yang boleh dimainkan.

Zohreh Koudaei yang kini berusia 32 tahun telah bersama pasukan bola sepak wanita Iran sejak dari tahun 2009 lagi. Dah 12 tahun main kot nak persoal lagi?

BACA:  Apa Yang Terjadi Dengan Karier Bola Sepak Usain Bolt?