Jurgen Klopp Ada Cara Untuk Mencabar Kekuatan Manchester City Dengan Langkah Jimat

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan bahawa ada caranya untuk mengurangkan jurang kekuatan dengan pasukan yang menguasai Liga Perdana Inggeris, Manchester City, tanpa perlu menggunakan duit yang banyak daripada pemilik yang juga merupakan tauke minyak ataupun tauke balak, apatah lagi duit menteri.

Pasukan The Reds kini sedang berusaha keras untuk bersaing dan memberikan tekanan kepada pasukan yang dimiliki oleh billionair dari Abu Dhabi tersebut di kemuncak Liga Perdana, namun pada musim ini mereka sudah sedikit ketinggalan dari segi kutipan mata selepas melalui fasa kecederaan dan kesihatan di kalangan pemainnya sekitar bulan Disember.

Pun begitu, ketibaan pemain baharu, Luis Diaz pada hari terakhir jendela perpindahan Januari dan kembalinya Mo Salah serta Sadio Mane yang sangat cemerlang dalam aksi Piala Negara-Negara Afrika sepanjang Januari, ditambah pula dengan sembuhnya bintang muda Harvey Elliot daripada kecederaan jangka masa panjang – telah menampilkan pasukan ini adalah yang terkuat dalam sejarah kelab ini.

Klopp bercerita bagaimana rahsia di sebalik kejayaannya membentuk pasukan Liverpool yang mantap ini tanpa perlu berbelanja besar seperti pasukan Manchester biru ataupun merah – mencipta suasana yang betul bagi pemain baru terus bermain dengan cemerlang.

“Tak ada rahsia pun sebenarnya, tapi pemain yang kita beli perlu terus menjadi,” ujarnya seperti yang dipetik dari Mirror Football.

“Kita tak mampu nak beli pemain berharga £40 atau £50 juta dan lepas cakap kalau diorang tak main pun tak apa. Macam yang kami sebut di Jerman – kita tak berenang di dalam duit.

“Kelab ni kaya tapi polisi kelab dah jelas : kami belanja daripada hasil yang kami dapat. Kalau kami dapat lebih, boleh belanja lebih dan kalau dapat hasil kurang, kami kurang la berbelanja.

“Jadi, sangat penting untuk kami lakukan semua benda dengan tepat.

“Kami perlu fikir sekali, dua kali, tiga kali, empat kali tentang ini [pembelian pemain], malah kalau kami kena fikir lima kali dan pemain sasaran sudah pergi ke kelab lain, kami tak boleh ubah la yang tu.”

Langkah yang diambil Klopp dan pengurusan pasukan Liverpool ini sangat berbeza dengan kelab seteru utama mereka yang lebih suka membeli pemain pada harga yang tinggi untuk memanaskan bangku simpanan semata-mata.

Hasil kerja Klopp dan kumpulannya dapat dilihat sekali lagi dapat dilihat dengan pembelian Luis Diaz, yang boleh dianggap pembelian yang sangat berbaloi pada harga £37 juta, dengan bekas pemain Liverpool Marko Grujic, rakan sepasukan Diaz di Porto, menjadi tumpuan dan ditanya tentang perangai dan watak pemain tersebut di kelab Portugal itu.

Pada masa yang sama, Diogo Jota juga membuktikan bahawa Liverpool mempunyai kelebihan dalam menilai apa yang kelab lain tidak nampak. Selepas beraksi cemerlang bersama Wolverhampton Wanderers, Jota dinilai pada harga £45 juta oleh Liverpool tanpa dicabar oleh mana-mana kelab besar.

Begitu juga dalam cerita pembelian pemain lain seperti Andy Robertson, Fabinho, Mohamed Salah dan juga Harvery Elliot serta pemain-pemain lain.

Jadi timbul persoalan, bagaimana mereka di Liverpool mampu membeli dengan begitu baik tanpa disedari dan dicabar oleh pasukan besar yang lain?

“Masa [timing],” ujar Klopp.

“Aku yakin 100 peratus yang setahun lepas itu [waktu Diogo Jota dibeli], Diogo Jota akan mendapat tawaran daripada kelab utama yang lain. Begitu juga dalam kes Mo Salah, kalau dia bermain di Roma untuk satu musim sahaja lagi, kelab lain pun akan sama nak beli dia.”

Daripada cerita Klopp ini, dapatlah kita simpulkan bahawa Liverpool kini sedang diuruskan oleh individu dan kumpulan yang tahu peranan dan kerja masing-masing. Mereka juga boleh dikatakan komited dalam bidang masing-masing dan kejayaannya di luar padang berjaya diterjemahkan kepada kejayaan di atas padang.

Klopp boleh diangkat sebagai pengurus antara yang terbaik di Liga Perdana Inggeris dan dalam sejarah Liverpool. Pada tahun 2020, Liverpool berjaya menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang Liga Perdana dan setahun sebelumnya, mereka berjaya membawa pulang Liga Juara-Juara UEFA kembali ke Anfield selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2005.

BACA:  Lovren Setuju Dengan Pendapat Klopp, Dakwa 'Nations League' Kejohanan Mengarut