Juventus, Real Madrid Dan Barcelona Bakal Menghidupkan Cadangan Penubuhan ESL

Real Madrid, Barcelona dan Juventus kini sedang dalam usaha mereka untuk menghidupkan semula European Super League (ESL) dengan satu pengumuman penting akan dibuat selewat-lewatnya minggu hadapan.

The Daily Telegraph mendakwa yang tiga lagi pasukan yang dianggap rebel itu dijangka akan meneruskan usaha mereka untuk bermain di liga sendiri selepas usaha mereka sebelum ini berakhir dengan kegagalan.

Tiga kelab tersebut tidak mahu menguburkan hasrat mereka untuk meneruskan ESL, walaupun sembilan lagi kelab lain (anggota asal) telah menarik diri kerana teruk dihentam oleh peminat.

Gergasi Premier League yang terdiri dari pasukan big six merupakan anggota asal pakatan rebel tersebut, namun mereka menarik diri kerana teruk dihentam oleh pelbagai pihak.

Inter Milan, AC Milan dan Atletico Madrid juga turut menarik diri dari menyertai ESL, dan kini hanya tinggal Juventus, Barcelona dan Real Madrid sahaja tiga dari 12 anggota asal yang masih mahu meneruskan ESL.

Ketiga-tiga kelab itu dilaporkan sedang giat merancang untuk meninggalkan liga sekarang, dan mahu menubuhkan liga sendiri dalam masa terdekat ini.

Menurut laporan, presiden Juventus, Andrea Agneli akan bercakap tentang ESL di Persidangan Kemuncak Industri Sukan pada Khamis akan datang untuk membentangkan perubahan besar yang berlaku dalam kertas projek mereka.

Antaranya ialah, idea asal di mana pasukan pengasas tidak boleh tersingkir daripada liga akan digantikan dengan formati liga seperti biasa di mana beberapa pasukan di kelompok tercorot akan tersingkir.

3 kelab yang masih tinggal dalam ESL sebelum ini telah membawa kes ESL ke Mahkamah Keadilan Eropah untuk mencabar UEFA yang disifatkan mereka sebagai mengamalkan monopoli dan mengugut.

Ini selepas UEFA mengancam untuk mengharamkan kesemua pasukan yang beraksi dalam ESL daripada beraksi dalam UCL dan UEL.

UEFA sudah menganggap ESL sebagai projek yang sudah mati. Namun Florentino Perez menyatakan sebaliknya. Perez memberikan jaminan bahawa kelab yang menyertai ESL tidak akan kehilangan hak mereka untuk beraksi di UCL atau UEL atau liga domestik.

UEFA turut sudah mendenda 9 kelab yang menarik diri dari ESL  €15 juta secara terkumpul kerana menyertai projek tersebut.

Mereka juga setuju akan membayar denda lebih besar sehingga €150 juta jika berpecah ataupun menyertai projek ESL sekali lagi di masa akan datang.

Seterusnya, 6 kelab EPL yang sebelum ini menyertai gagasan ESL setuju membayar denda terkumpul £22 juta.

Setakat ini hanya tiga pasukan ini sahaja yang benar-benar bertekad mahu meneruskan ESL dan semua ahli tetap yang lain masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sepertinya pasukan-pasukan dari Premier League tidak akan menyertai pakatan tersebut kerana mereka sedar para penyokong akan menentang 100% cadangan untuk menyertai ESL.

UEFA sendiri masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang kenyataan dari tiga kelab ini yang masih mahu meneruskan ESL walau mendapat tentangan dari pelbagai pihak.

Tidak pasti juga sejauh mana usaha mereka kali ini kerana UEFA dan FIFA sendiri benar-benar tegas dalam menghalang penubuhan ESL sebelum ini.

Para pemain turut diancam tidak akan dibenarkan beraksi di pentas Piala Dunia seandainya mereka bermain dalam saingan ESL.

Hal itu menyebabkan Florentino Perez mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menubuhkan Piala Dunia sendiri andai pemain-pemain dari ESL tak dibenarkan beraksi di pentas Piala Dunia FIFA.

Adakah usaha mereka kali ini akan membuahkan hasil? Atau akan sekali lagi berakhir dengan kegagalan? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2021/22: Real Madrid 2-3 Chelsea (Agg. 5-4)