Kapten Vietnam Patah Kaki Selepas Terjahan Keras

Ketua pasukan kebangsaan Vietnam, Do Hung Dung yang bermain bersama kelab Hanoi FC telah mengalami kecederaan patah kaki yang mengerikan selepas menerima satu terjahan keras daripada pihak lawan.

Do Hung Dung mendapat kecederaan yang sangat ditakuti oleh pemain bola sepak itu ketika perlawanan Hano FC menentang Ho Chi Minh City di saingan liga Vietnam, V. League 1.

Pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan yang serius pada separuh masa pertama selepas rakan senegaranya, Hoang Tinh melakukan satu terjahan lambat lagi berbahaya.

Permainan serta merta dihentikan oleh kedua-dua pasukan selepas menyedari sesuatu yang teruk lagi dahsyat berlaku dan pasukan perubatan segera masuk ke padang dengan pengusung.

Do Hung Dung menerima rawatan di padang hampir 10 minit sebelum di bawa ke hospital dengan ambulan untuk rawatan susulan.

Hoang Tinh tanpa ragu lagi terus dilayangkan kad merah dan terus menuju ke terowong meninggalkan padang dan sempat meminta maaf ketika Do Hung Dung diusung keluar.

Selepas perlawanan bersambung, Do Duy Manh menjaringkan gol permbukaan buat Hanoi FC melalui satu sepakan percuma.

Hanoi FC berjaya menewaskan Ho Chi Minh City 3-0, selepas Nguyen Van Quyet dan Geovane Magno menambah lagi dua gol pada seperuh masa kedua.

Walaupun menang kecederaan ngeri yang dialami oleh Do Hung Dung pasti akan dirasai oleh kelab dan tidak terkecuali Vietnam.

Secara realitinya Vietnam akan kehilangan ketua pasukan mereka untuk tempoh yang panjang dan akan terlepas beberapa perlawanan antarabangsa.

Vietnam akan bertemu IndonesiA, Malaysia dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 Qater yang akan bersambung pada bulan Jun.

BACA:  10 Pemain Bola Sepak Jatuh Miskin Dan Muflis