Kelayakan Piala Dunia: San Marino 0-10 England

England yang sebelum ini sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2022 Qatar menamatkan pusingan kelayakan di kumpulan I dengan penuh bergaya apabila membelasah San Marino 10 gol tanpa belas.

Selepas 10 perlawanan England mencatatkan rekod tanpa kalah dengan 8 kemenangan dan dua seri. Sebanyak 39 gol telah dijaringkan dan hanya tiga kali sahaja bolos.

Sebanyak 15 gol diraih hanya melalui dua perlawanan menentang San Marino sahaja. Kumpulan I untuk kempen kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 turut dihuni oleh Albania, Andorra, Poland dan Hungary.

England tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila berada didepan pada minit ke-6 lagi melalui jaringan kapten Marvel Manchester United, Harry Maguire.

Harry Maguire sebelum ini juga telah menjaringkan gol ketika England membenam Albania namun teruk dihentam oleh Roy Keane kerana keraiannya. Entah apa kata Keane kali ini.

Pada minit ke-15 kedudukan gol menjadi berganda buat England walaupun tidak menjaringkan gol kerana Filippo Fabbri telah menjaringkan gol sendiri.

England menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 6-0 apabila Harry Kane menggila dengan meledak empat gol dalam tempoh 15 minit sahaja. Makan menda Kane ni?

Gol telah dihasilkan Harry Kane pada minit ke-27, 32, 39 dan 42. Ini merupakan hatrik kedua Harry Kane yang teramat sendu bersama Spurs dalam tempoh empat hari.

England tenang dan bersahaja selepas rehat dan Emile Smith-Rowe menjadikan kedudukan 7-0 selepas bersambung 13 minit babak kedua.

Pada minit ke-68 malang menimpa San Marino apabila pemain pertahanan mereka Dante Carlos Rossi dilayangkan kad kuning kedua dan terpaksa bermain 10 orang sehingga tamat perlawanan.

Tyrone Mings terus menambah jaringan England sebelum gol Jude Bellingham dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) kerana kekasaran dilakukan oleh Tammy Abraham ketika gerakan gol itu.

Tammy Abraham dan Bukayo Saka melengkapkan kemenangan penuh bergaya England dengan jaringan pada minit ke-78 dan 79.

Pemain pertahanan handalan dunia dulu kini dan selamanya, Trent Alexander Arnold telah mencipta 3 bantuan gol dalam perlawawanan ini.

San Marino yang berpopulasi 33,600 penduduk sahaja pada tahun 2019. Untuk rekod Perlis negeri paling kecil di Malaysia mempunyai populasi 254,400 dengan keluasan negeri 819 km persegi berbanding San Marino yang hanya berkeluasan 61.2 km persegi sahaja.

Sepanjang kewujudan pasukan bola sepak San Marino dalam peta bola sepak dunia, San Marino telah bermain 183 perlawanan dengan satu kemenangan (0.55%), 6 seri dan 176 kali tewas.

Dalam tempoh 31 tahun ini San Marino hanya menjaringkan 26 gol sahaja dan bolos 772 gol.

Kemenangan pertama San Marino berjaya diraih selepas 14 tahun bermain bola sepak pada 28 April 2004 ketika menentang Liechtenstein dalam perlawanan persahabatan. Sedih bukan?

Secara ringkas statistik di catatkan oleh San Marino :

Perlawanan : 193
Menang : 1
Seri : 6
Kalah : 176
Gol : 26
Bolos : 772

San Marino: Elia Benedettini, Manuel Battistini, Fabbri, Rossi, Fabio Tomassini, Lunadei, Enrico Golinucci, Mularoni, D’Addario, Nanni, Jose Hirsch.

Subs: David Tomassini, Zonzini, Michael Battistini, Simone Benedettini, Conti, Vitaioli, Ceccaroli, Grandoni, Marconi, Zafferani, Censoni, Alessandro Golinucci.

England: Ramsdale, Coady, Maguire, Mings, Alexander-Arnold, Bellingham, Phillips, Saka, Foden, Kane, Smith-Rowe.

Subs: Stones, Abraham, Chilwell, James, Johnstone, Walker, Pickford, Gallagher.

Referee: Rade Obrenovic (Slovenia).

England 5-0 San Marino

Satu kumpulan mudah buat England yang mungkin hanya dapat ditentang oleh Poland sahaja dan itulah dilakukan England ke atas San Marino.

Mudah England mencatatkan kemenangan lima gol tanpa balas dengan permainan yang agak bersahaja, kalau bersungguh sudah pasti 10 gol dalam tangan.

Sekecil populasi dan keluasan negeri, San Marino hanya menguasai 19 peratus sahaja pengusaan perlawanan dengan England yang bermain santai.

Gareth Southgate tidak menurunkan barisan terkuat dan dapat dilihat Harry Kelihatan menahan nafsu serta terliur untuk berpesta gol dari tepi padang.

Lebih padu San Marino gagal mencatatkan sebarang percubaan dalam tempoh 90 minit permainan berbanding England yang melakukan 27 percubaan dengan 15 percubaan tepat.

Pakar sepakan bola mati, James Ward-Prowse membuka tirai jaringan England pada minit ke-14 bagi memulakan parti Pesta Gol England selepas banyak peluang dibazirkan.

Hantaran Ben Chilwell pantas disambar James Ward-Prowse dengan sepakan ke penjuru gawang dan diraikan dengan aksi bermain golf.

Dominic Calvert-Lewin yang terlepas peluang awal dengan satu miskic menggandakan kedudukan dengan menyundul masuk lambungan Reece James pada minit ke-21.

Sepuluh minit kemudian Raheem Sterling yang dari awal perlawanan mahu menggelecek sehingga ke dalam gawang mencetak nama selaku penjaring.

Hantaran Mason Mount membuatkan Raheem Sterling menari lagi sebelum merembat bola di depan muka penjaga gol Marino.

Pembaziran demi pembaziran dilakukan England hingga tamat separuh masa pertama dan ada bola dihadang Dominic Calvert-Lewin bagi menyelamatkan gawang San Marino.

Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-53 dengan satu tolakan mudah menyudahkan hantaran Jesse Lingard.

Ollie Watkins menyempurnakan debut impian dengan jaringan pada penampilan pertama beliau bersama England dengan satu rembatan leret.

Pemain Aston Villa itu mengikut jejak Jamie Vardy and Callum Wilson yang merupakan pemain dari Non-League (Lebih kurang liga DUN) menjaringkan gol untuk England.

Kalau nak cerita pasukan lama, Ollie Watkins pun kau tak kenal jugak.

England akan bertemu Albania pada 29 Mac dan menentang Poland pada 1 April yang akan menjadi cabaran sebenar buat England.

England: Pope, James, Coady, Stones, Chilwell, Phillips, Ward-Prowse, Lingard, Mount, Sterling, Calvert-Lewin.

Subs: Johnstone, Rice, Mings, Henderson, Kane, Foden, Dier, Shaw, Maguire, Watkins, Trippier, Bellingham.

San Marino: Elia Benedettini, Manuel Battistini, Brolli, Rossi, Grandoni, Lunadei, Golinucci, Jose Hirsch, Berardi, Palazzi, Nicola Nanni.

Subs: Giardi, D’Addario, Ceccaroli, Zonzini, Michael Battistini, Luca Nanni, Simone Benedettini, Conti, Fabbri, Stimac, Mularoni, Zafferani.

Referee: Kirill Levnikov (Russia).

BACA:  Maguire Dan Shaw Ketuai Senarai Panggilan Terbaru Southgate