Kemuliaan Hati Firmino Sanggup Hilang £45k Demi Melihat Mane Meledak Gol

Roberto Firmino pernah mengorbankan £45,000 hanya kerana kemuliaan hatinya mahu membenarkan Sadio Mane menjaringkan gol ketika aksi bertemu Stoke City pada tahun 2017 yang lalu.

Menurut sumber laporan dari Football Leaks: The Dirty Business of Football, pemain kebangsaan Brazil itu menerima gaji pokok bernilai £68,085 seminggu pada ketika itu dan beliau turut ditawarkan bonus berdasarkan jumlah gol yang beliau jaringkan.

Firmino pada ketika itu dilaporkan menerima £25,000 untuk setiap satu gol dari lima gol pertamanya, £45,000 selepas mencapai 10 gol dan £65,000 untuk 11 gol ke atas.

Dan pada ketika itu, dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di bet365 Stadium, Firmino telah disajikan dengan satu peluang keemasan untuk menjaringkan gol dan menambah bonus peribadinya.

17 minit perlawanan berlangsung, Mane bermain membawa bola menuju ke gawang gol lawan dan turut berjaya menewaskan penjaga gol, Lee Grant dengan menyungkit bola menuju ke jaring gawang gol yang sudah terbuka luas.

Bola yang disungkit oleh Sadio Mane itu melantun dan perlahan-lahan bergerak menuju masuk ke gawang gol Stoke sambil Firmino turut berada di situ.

Firmino pada ketika itu berada di kedudukan terbaik untuk melakukan tap in mudah, namun beliau memilih untuk tidak mahu melakukan itu dan beliau sekadar melihat sahaja bola masuk menerjah jaring gawang gol Stoke.

Beliau dengan mudah sahaja sepatutnya boleh mencatat nama sebagai penjaring gol dan menambah bonus peribadinya dengan jaringan itu.

Namun beliau tidak mahu melakukan hal itu, dan sekadar membenarkan rakan sepasukannya untuk menikmati jaringan tersebut.

Firmino sememangnya mempunyai reputasi yang menakjubkan atas kerja keras, kreativiti dan peranan beliau dalam menghubungkan jentera serangan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sepanjang tujuh tahun kariernya di Anfield, pemain berusia 30 tahun itu telah berjaya membuat 327 penampilan dengan menjaringkan 98 gol dan turut mencatatkan 74 assists.

Beliau turut berjaya membantu Liverpool memenangi segala piala yang mampu mereka menangi seperti Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, FA Cup dan Carabao Cup.

Sejak 18 bulan terakhir ini, beliau sepertinya sedikit sukar untuk mendapatkan minit permainan, terutama selepas kehadiran Diogo Jota dan Luis Diaz.

Jurgen Klopp walau bagaimanapun masih memerlukan khidmat Firmino dan beliau turut pernah menjelaskan tentang kepentingan bintang Brazil itu dalam sistemnya.

“Dia penghubung, pemain offensive defender terhebat pernah saya lihat dalam hidup saya. Pemain yang sangat penting untuk kami.”

Jelas Jurgen Klopp Oktober tahun lalu.

“Dia seorang ball-chaser, dia sungguh luar biasa bijak dari segi taktikal dan mampu untuk bermain di zon yang sempit. Dia juga mampu membuat keputusan yang bijak dalam tempoh yang pantas.”

“Dan yang paling penting, dia boleh menjaringkan gol, yang mana itu lah sebabnya mengapa kami sangat gembira ketika dia mengorbankan diri sendiri dari masa ke semasa, seperti hat-trick kami dapat di Watford.”

Sadio Mane dan Mohamed Salah pada ketika ini hangat dilaporkan akan meninggalkan Anfield tidak lama lagi.

Salah masih belum bersetuju untuk menandatangani kontrak baru dan beliau berkemungkinan akan meninggalkan kelab pada musim panas tahun hadapan.

Sadio Mane sementara itu sudah mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan Liverpool pada musim panas ini, dengan beliau berkemungkinan akan menyertai Bayern Munich selepas pergi dari Anfield.

Rakan trio Salah dan Mane, Roberto Firmino sementara itu masih gembira bersama Liverpool dan tak ada tanda-tanda yang beliau mahu meninggalkan kelab kesayangannya itu dalam masa terdekat ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Takut Riak, Mane Akui 'Malu' Berkongsi Cerita Kerja Amalnya