Sadio Mane Sertai Ronaldo, Al Nassr Sambut Dengan Lagu Khas

Bekas pemain Liverpool dan Bayern Munich, Sadio Mane telah menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi karier bola sepak apabila menyertai Cristiano Ronaldo untuk bersama kelab Al Nassr yang beraksi di Saudi Pro League.

Sadio Mane telah diumumkan secara rasmi oleh Al Nassr dan lebih istimewa satu lagu telah divideokan bagi menyambut dan memberi penghormatan kepada pemain Senegal itu.

Pemain berusia 31 tahun itu mengharungi kempen yang kurang memberangsangkan di Bayern musim lalu selepas meninggalkan Liverpool dengan hanya menjaringkan 12 gol dalam 38 perlawanan.

Sememangnya, selain dibayangi kecederaan detik paling diingatinya di Bavaria ialah pertengkaran fizikal dengan Leroy Sane di bilik persalinan Manchester City selepas tewas dalam perlawanan Liga Juara-Juara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Jan-Christian Dreesen berkata, bekas penyerang itu – yang telah menandatangani perjanjian empat tahun dengan Al-Nassr – tidak mempunyai “tahun yang mudah” sejak berpindah dari Anfield.

“Dia tidak mampu menyumbang sebanyak yang kita semua dan dia sendiri pernah berharap.” kata Dreesen.

Telah dilaporkan secara meluas bahawa Bayern Munich telah memperoleh kembali sebahagian besar daripada £35 juta yang mereka bayar kepada Liverpool untuk Mane pada musim panas lalu.

Sementara itu, Mane menjadi bakat terbaharu dari lima liga terbaik Eropah yang telah beralih ke Arab Saudi, di mana dia dilaporkan akan memperoleh pendapatan £34 juta setahun atau £650,000 seminggu serta bebas cukai.

Dan Al Nassr mengumumkan ketibaan bintang Senegal itu dengan video yang telah dianggap sebagai pelik yang memaparkan lagu khas buat Mane.

Lagu itu berbunyi:

Sadioooo.. MANE!!!
Running down the wing. MANE!
Hear Nassrawis sing. MANE!
We’re all bouncing in Riyadh!

Sadioooo.. MANE!!!
Berlari ke bawah sayap. MANE!
Dengar Nassrawis menyanyi. MANE!
Kami semua melenting di Riyadh!

Terdahulu pada hari Selasa, bos Bayern Thomas Tuchel berkata dia dan Mane bersetuju ia adalah penyelesaian terbaik untuk melepaskan dan berpisah.

“Kami berpelukan erat dan kami berdua bersetuju kami tidak menyukai apa yang berlaku sekarang, tetapi kami fikir ia adalah yang terbaik dalam situasi ini.” kata Tuchel.

“Kadang-kadang perkara tidak menjadi seperti yang semua orang mahukan. Saya sentiasa mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya dan ini akan kekal.”

“Saya benar-benar faham dia berasa terluka dan saya juga tidak akan berasa gembira jika perkara seperti ini berlaku.”

“Jelas sekali ia adalah sesuatu yang kami tidak bawa ke potensi penuh, yang merupakan tanggungjawab saya, tetapi dalam situasi tertentu ini ia adalah penyelesaian terbaik untuk melepaskan ikatan.”

Selain Ronaldo dan Mane, Al Nassr juga telah membeli belah sakan di musim panas ini bagi mendapatkan pemain tengah Croatia Marcelo Brozovic, pertahanan Brazil Alex Telles dan pemain tengah Ivory Coast Seko Fofana.

BACA:  Mane Dedah Alasan Beliau Tak Mahu Jalani Kehidupan Seperti Ronaldo