Mane Dedah Alasan Beliau Tak Mahu Jalani Kehidupan Seperti Ronaldo

Sadio Mane menegaskan yang kehidupan bergaya dan mewah seperti Cristiano Ronaldo dan Neymar bukanlah sesuatu yang beliau inginkan.

Beliau mendedahkan hal tersebut dalam satu temu bual dan ia menunjukkan yang Sadio Mane sememangnya seorang pemain yang merendah diri dan berhati mulia.

Mane berbual panjang bersama media Perancis, L’Equipe dengan beliau turut menyentuh beberapa topik dalam temu bual tersebut.

Dari banyak topik yang dibincangkan, Mane turut bercerita tentang perbandingan cara kehidupan beliau berbanding Ronaldo dan Neymar.

Bintang handalan Manchester United itu baru-baru ini menjadi manusia pertama yang memiliki 400 juta pengikut di laman instagram.

Jelas sekali beliau merupakan antara manusia paling berpengaruh di dunia terutama di alam media sosial.

Bintang Liverpool, Sadio Mane sementara itu menegaskan yang beliau langsung tak berminat untuk nikmati kehidupan yang sama seperti bintang handalan Portugal itu.

“Saya tak mahu memberi gambaran sebagai seorang pensyarah.”

Jelas Sadio Mane.

“Tapi memang tak dinafikan ada nilai-nilai tertentu yang beredar dalam dunia bola sepak yang sedikit mengganggu saya berdasarkan pendidikan saya.”

“Tapi, berbanding mengkritik secara terbuka, kadang kala saya lebih memilih untuk menjauhkan diri saya.”

“Perkara terpenting adalah jangan berubah, dan saya percaya saya masih belum berubah.”

“Dan untuk seorang budak yang datang dari pekan kecil di Casamance, ia seolah satu kejayaan besar kerana dapat menentang semua itu.”

Ketika ditanya adakah beliau mampu meniru gaya hidup Ronaldo dan Neymar, beliau menjawab:

“Tak! Saya ikuti mereka di media sosial dan itu sudah cukup untuk saya.”

“Saya suka kehidupan luar biasa mereka, tapi kehidupan itu bukan untuk saya.”

Bintang Senegal itu menegaskan yang cukuplah beliau sekadar mengikuti dua pemain itu di media sosial dan untuk menjadi seperti itu, ia bukanlah sesuatu yang beliau cari dalam kehidupannya.

Sadio Mane merupakan antara pemain penyerang terbaik yang ada dalam saingan Premier League pada ketika ini, dengan beliau telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Beliau berjaya membantu Liverpool untuk menjuarai pelbagai kejuaraan seperti Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League dan terbaru Carabao Cup.

Bintang berusia 29 tahun itu juga turut cemerlang membantu skuad kebangsaan Senegal untuk menjuarai saingan AFCON pada awal tahun baru-baru ini.

Selain sering menunjukkan aksi hebat di atas padang, Sadio Mane sememangnya sangat terkenal sebagai seorang pemain yang merendah diri dan berhati mulia.

Beliau terlalu banyak menyumbang kepada kampung halamannya dengan Mane pernah mendirikan sekolah, hospital dan masjid di Senegal.

Beliau turut pernah dilihat sedang bersama jemaah lain sedang mencuci masjid di kampung halamannya.

Kemuliaan hati Mane memang tak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau ketika baru membantu Senegal menjuarai saingan AFCON, Mane menolak untuk diraikan di Anfield kerana mahu menjaga hati Mohamed Salah.

Beliau menjulang gelaran AFCON selepas menewaskan Mesir dalam perlawanan akhir dan kerana itulah beliau tidak mahu diraikan.

Mane turut menegaskan yang beliau tidak suka meraikan kejayaan di hadapan sahabatnya, Mo Salah dan turut berharap agar bintang Mesir itu akan memenangi sesuatu bersama Egypt di masa hadapan.

Dek kerana kerendahan dan kemuliaan hati yang beliau miliki, Mane merupakan antara pemain paling disenangi oleh para peminat dan pemain lawan.

Sama seperti N’Golo Kante, Sadio Mane juga antara pemain yang susah untuk peminat jumpa pembenci mereka.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Dituduh Bergaduh" - Neymar Dedah Mesej Peribadinya Bersama Donnarumma