Kenapa Piala AFF Tiada Dalam Kalendar FIFA?

Piala AFF merupakan kejohanan teragung di pentas Asia Tenggara dan kejohanan dwi-tahunan itu sentiasa meriah serta menjadi rebutan namun kenapakah Piala AFF tiada dalam kalendar FIFA?

FIFA sebenarnya mewajibkan kelab untuk melepaskan pemain mereka jika mendapat panggilan pasukan kebangsaan, namun kerana Piala AFF tidak masuk kalendar FIFA, kewajipan itu tidak berlaku.

Lantaran kewujudan kejohanan ini tiada dalam kalendar FIFA maka kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain yang dipanggil pasukan kebangsaan ke Piala AFF.

Perkara ini selari dengan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1 yang menyebut:

“Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.”

Piala AFF bukanlah agenda rasmi FIFA walaupun ditaja oleh Suzuki ataupun Mitsubishi kerana badan bola sepak antarabangsa itu hanya mengakui kejohanan yang dianjurkan oleh enam konfederasi bola sepak benua yang diiktiraf sahaja.

FIFA hanya mengakui kejohanan rasmi yang dianjurkan oleh konfederasi bola sepak benua ini sahaja iaitu:

1. Asian Football Confederation (AFC) – Asia
2. Confederation of African Football (CAF) – Afrika
3. The Confederation of North, Central America and Caribbean Association Football (CONCACAF) – Amerika Utara dan Tengah, serta Caribbean
4. The South American Football Confederation (CONMEBOL) – Amerika Selatan
5. Oceania Football Confederation (OFC) – Oceania
6. Union of European Football Associations (UEFA) – Eropah

Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) Football Federation atau Persekutan bola sepak ASEAN atau AFF merupakan penganjur Piala AFF dan bukannya AFC.

Walaupun AFF ini merupakan salah satu cabang yang bernaung di bawah AFC tidak membolehkan FIFA mengiktiraf Piala AFF untuk berada dalam kalendar kejohanan rasminya.

Di mata FIFA, Piala AFF adalah seperti perlawanan persahabatan sahaja namun ia tetap memberi mata kepada kedudukan ranking FIFA dan sejak 2016 FIFA telah mengiktiraf Piala AFF sebagai kejohanan kategori A.

Piala AFF adalah senasib dengan Piala EAFF (Asia Timur), CAFA (Asia Tengah), SAFF (Asia Selatan), dan WAFF (Asia Barat) yang semua ini tiada dalam kalendar FIFA.

Walaupun begitu Piala AFF amat penting untuk bola sepak Asia Tenggara dan menjadi kejohanan paling kompetitif dan setiap negara berusaha menurunkan pemain terbaik walaupun mendapat tentangan kelab.

Ini kerana pentas Piala AFF menjadi medan bagi pemain dari negara-negara Asia Tenggara menjual bakat mereka untuk bermain di liga terbaik seperti Thailand atau mendapat pendapatan mewah di liga Malaysia.

Liga Malaysia kebiasaannya dihadiri oleh pemain Singapura, Indonesia dan Thailand, kini pemain seperti Hein Htet Aung (Myanmar), Chan Vathanaka (Kemboja), Misagh Bahadoran (Filipina) dan Kevin Ray Mendoza (Filipina) sudah pernah mengembangkan karier mereka di sini.

Perpindahan pemain antara negara Asia Tenggara ini mampu menaikkan jumlah peminat liga masing-masing kepada peminat serantau bukan sekadar berkisar kepada peminat tempatan sahaja.

Contoh terbaik pemain tempatan sudah pasti Safee Sali yang cemerlang di Piala AFF 2010 di mana Malaysia menjadi juara dan telah menarik minit Pelita Jaya yang bermain di Liga Super Indonesia.

Safee Sali menjadi pemain pertama Malaysia yang beraksi di Liga Super Indonesia dan telah diangkat menjadi kapten Pelita Jaya serta telah menjadi legenda kelab lantaran kecemerlangannya.

Jadi sama Piala AFF berada dalam kalendar FIFA atau tidak mahupun mata ranking tidak dikira sekalipun itu merupakan kejohanan penting buat negara Asia Tenggara.

BACA:  Piala AFF 2022: Kesebelasan Utama Malaysia vs Vietnam