Kerana Golongan Kayangan UEFA Tidak Mahu Kuarantin, Final EURO 2020 Mungkin Dipindahkan Keluar Dari England

Badan bola sepak Eropah,UEFA, telah mengugut akan memindahkan tempat perlawanan akhir EUro 2020 ke Hungary melainkan kerajaan United Kingdom membenarkan pengecualian kuarantin kepada 2500 golongan VIP atau dalam bahasa mudahnya, golongan kayangan yang dijemput.

England dijadualkan akan menganjurkan perlawanan separuh akhir dan akhir di Wembley, dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 11 Julai.

Bagaimanapun UEFA dikatakan masih lagi meperhalusi pilihan yang diberikan dengan situasi peraturan kuarantin di UK dan hari ini mereka mengeluarkan kenyataan yang mereka berharap akan menemukan titik persetujuan dengan kerajaan, tetapi pada masa yang sama mereka mengatakan bahawa mereka tetap ada pelan kecemasan.

Difahamkan pihak kerajaan UK juga berharap dapat menemukan keputusan yang memuaskan berkenaan isu ini.

Menurut UEFA, mereka dikatakan bersedia untuk menukar venue perlawanan jika negara penganjur masih di bawah perintah kawalan pergerakan Covid, yang mana boleh menghalang peminat, pegawai dan tetamu kehormat korporat daripada hadir ke stadium.

Menurut laporan The Times, para menteri di UK sekarang ini sedang berbincang untuk mengecualikan pegawai UEFA dan FIFA, ahli politik, penaja dan pihak penyiar daripada menjalani kuarantin kendiri sebaik tiba di negara tersebut.

Setakat ini, mereka yang tiba di UK dari negara yang berada dalam zon perang dan merah perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari, dan lebih memeritkan lagi, setiap negara yang bertanding dalam Euro kali ini berada dalam zon perang, kecuali Turki yang berada di zon merah dan juga Hungary yang sudah pun berada di zon hijau.

Jika pengecualian ini dilaksanakan, ia sekaligus membenarkan golongan kayangan untuk menyaksikan latihan setiap pasukan dan menyertai mesyuarat kerajaan UK tanpa perlu menjalani kuarantin kendiri.

Boris Johnson, PM UK bakal bertemu pegawai tetinggi UEFA untuk berbincang. Gambar : FT

Dalam satu kenyataan, UEFA berkata; “UEFA gembira yang kapasiti di Wembley akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus untuk perlawanan-perlawanan pusingan kalah mati.

“Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan untuk cuba membenarkan penyokong daripada pasukan bertanding untuk menghadiri perlawanan, dengan menggunakan kaedah ujian dan konsep gelembung yang bermaksud keberadaan mereka di UK adalah kurang daripada 24 jam dan pergerakan mereka akan dihadkan kepada pengangkutan dan tempat yang diiktiraf sahaja.

“Kami faham tekanan yang dihadapi oleh kerajaan dan berharap akan menemukan titik persetujuan dalam perbincangan kami tentang perkara ini.

“Pelan perancangan di luar jangkaan sentiasa ada, tetapi kami yakin dan percaya bahawa minggu akhir akan diadakan di London.”

England pernah berhadapan situasi yang sama untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada musim 2020-21.

UEFA telah bersetuju untuk memindahkan perlawanan akhir tersebut keluar dari Turki dan England menjadi pilihan utama kerana perlawanan tersebut melibatkan dua wakil England – Manchester City dan Chelsea.

Bagaimanapun, UEFA, pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak England gagal mencapai persetujuan untuk mengecualikan perintah kuarantin kendiri kepada pada penaja, golongan kayangan dan penyiar lantas menyaksikan venue perlawanan dipindahkan ke Porto, Portugal.

Hasilnya, perlawanan akhir tersebut menyaksikan seramai 6000 penyokong dari setiap pasukan dibenarkan untuk masuk ke stadium.

Pihak kerajaan UK ternyata kecewa dengan kehilangan slot penganjuran perlawanan akhir UCL tersebut dan kini difahamkan mereka tidak mahu mengulangi perkara yang sama.

Jika para menteri gagal untuk mencapai kata sepakat tentang pengecualian tersebut, UEFA bakal memindahkan perlawanan akhir Euro 2020 ke Budapest di Hungary, memandangkan mereka tidak mempunyai had perjalanan untuk negara-negara dari zon Schengen, mulai minggu depan.

Lagi pula Budapest akan membenarkan stadium Puskas Arena dipenuhkan secukupnya dengan para penyokong, berbanding Wembley yang hanya membenarkan separuh kapasiti stadium sahaja.

Kini kerajaan UK sedang bertarung untuk mengawal dan menghapuskan varian Delta dan India virus Covid-19 dan sedang mengkaji kemungkinan untuk melonggarkan peraturan berkenaan kuarantin golongan kayangan ini.

Jika pendekatan ini diambil, ia bakal menyemai api kemarahan di kalangan rakyat tempatan yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan yang telah menghalang mereka daripada cuti-cuti Britain sepanjang tempoh kawalan pergerakan di negara tersebut.

Berita dipetik dari : Daily Mail

BACA:  Liku-Liku Perjalanan England ke Final EURO 2020