Khabib Dakwa Dirinya Sehebat Ronaldo ‘R9’ Selepas Menjaringkan Gol Yang Padu

Khabib Nurmagomedov telah mengeluarkan aura Ronaldo Nazario yang ada dalam dirinya ketika bermain bola sepak.

Khabib mendakwa aksi yang beliau pamerkan sama persis dengan Ronaldo Nazario dengan legenda Brazil itu sendiri bersetuju dengan kenyataan petarung dari Rusia itu.

Bekas Juara dunia UFC kategori Lightweight itu mengakhiri karier MMA beliau dengan mencatatkan rekod bersih 29 kemenangan tanpa kalah.

Selepas bersara dari dunia sukan tempur, beliau telah melibatkan diri dengan sukan bola sepak, dan berminat untuk bermain di tahap profesional.

Dalam satu video terbaru yang dimuat naik olehnya, peminat setia Real Madrid itu telah menunjukkan skill dan ketajaman penyudah beliau ketika bermain bersama rakan-rakannya.

Selepas menjaringkan gol dengan teknik dan penyudah yang mantap, Khabib meraikan jaringan tersebut dengan meniru gaya Ronaldo Nazario.

Beliau meraikan jaringannya dengan gaya memusingkan jarinya seperti keraian ikonik R9, legenda bola sepak yang pernah memenangi dua kali anugerah Ballon D’or sepanjang kariernya.

Khabib memuat naik video tersebut di media sosial miliknya dengan menulis:

“Siapa masih ingat dengan Ronaldo pada tahun 2008, berat badan dia sudah bertambah tapi masih dengan rembatan padunya.”

‘O Fenomeno’ sendiri meninggalkan komen di muat naik tersebut tanda beliau mengagumi aksi yang ditunjukkan oleh Khabib.

Pemain kegemaran arwah ayahnya, Clarence Seedorf turut meninggalkan komen di muat naik tersebut sambil mengusik Khabib.

Pada Januari lalu, petarung kelahiran Dagestan itu telah terlibat dalam aksi perlawanan 11 lawan 11 bersama Seedorf, dengan beliau ketika itu menunjukkan aksi larian pantasnya yang sungguh menakjubkan.

Sahabat karib Cristiano Ronaldo itu juga turut berkunjung ke Nou Camp ketika aksi kemenangan 4-1 Paris Saint Germain menewaskan Barcelona.

Beliau ketika itu berjaya membawa pulang jersi Kylian Mbappe yang mencatatkan hat-trick dalam perlawanan tersebut, dan turut mendapatkan tanda tangan pemain lain di atas jersi tersebut.

Khabib turut sering berkomunikasi dengan Erling Haaland di Instagram dan beliau jelas menunjukkan minatnya untuk melibatkan diri dalam dunia sukan bola sepak ini.

Pengetahuan Khabib tentang bola sepak juga sungguh menakjubkan dengan beliau mampu menamakan kesemua senarai pemenang anugerah Ballon D’or dan Champions League dengan sungguh santai.

Khabib turut pernah ditawarkan untuk bermain secara profesional bersama pasukan dari liga division kedua Rusia, FC Kamaz dan beliau turut berminat dengan tawaran tersebut.

“Untuk bermain bola sepak secara profesional, ia adalah impian saya sejak kanak-kanak.”

Jelas Khabib kepada Match.TV.

“Sudah tentu, saya ada impian seperti itu. Bola sepak adalah raja segala sukan di dunia ini.”

Tambah Nurmagomedov lagi.

“Siapa je yang belum pernah saya ajak berbincang hal ini, saya sudah bercakap dengan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin sendiri, dengan pemilik PSG, ya dan juga dengan Cristiano Ronaldo.”

“Bagi saya, bola sepak adalah sukan nombor satu. Ketika saya masih kecil, saya bercita-cita untuk bermain bola sepak dan saya selalu menonton perlawanan bola sepak.”

“Ada satu hal yang bola sepak lebih bagus berbanding MMA, kamu tak perlu bertumbuk atas hentak seseorang, kamu cuma perlu masuk ke padang dan tunjukkan pada semua orang kemampuan kamu secara profesional.”

“Sudah tentu, ia sangat sukar tapi saya sangat sukakannya, lebih dari UFC, lebih dari MMA.”

BACA:  Reaksi Khabib Mengenai Berita Persaraan Conor McGregor Dari MMA