Khairulazhan, Faisal Halim Dan Quentin Cheng Kembali

Berita gembira yang memberi kelegaan kepada skuad Harimau Malaya terutamanya Tan Cheng Hoe apabila Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng kembali bersama pasukan.

Sebelum ini Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Kemudian Quentin Cheng dan Akhyar Rashid pula disahkan positif dan terpaksa menjalani proses kuarantin sebagaimana ditetapkan oleh pihak berkuasa Singapura.

Kini Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng telah bebas dan perkara ini telah diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia melalui media rasminya.

“Tiga pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu penjaga gol, Khairulazhan Khalid; pemain sayap, Faisal Halim dan pertahanan kanan, Quentin Cheng kembali menyertai aktiviti pasukan di hotel penginapan di Singapura, hari ini.”

Menurut ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe:

“Ketiga-tiga pemain tersebut telah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura, semalam selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani tempoh 10 hari Perintah Pengasingan (Isolation Order) manakala Quentin pula diberi pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari Perintah Pengasingan berdasarkan keputusan ujian PCR yang dijalankan.”

Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng telah menyertai aktivi pasukan dan akan menyertai sesi latihan penuh.

“Ketiga- tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium ini memandangkan hari ini merupakan hari recovery selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam tadi.”

“Mereka selepas ini akan dapat turut kembali menyertai sesi latihan penuh kita di padang bagi persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada Ahad, 19 Disember 2021.”

Mengenai status Akhyar Rashid, Tan Cheng Hoe menjelaskan pemain sayap itu akan kembali selepas melengkapkan tempoh kuarantin selama 10 hari.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang diuji positif COVID-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari Perintah Pengasingan dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh berkenaan.” Jelas Cheng Hoe.

Sementara itu, berhubung status kecederaan dua pemain pertahanan tengah iaitu kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad, pengendali Harimau Malaya itu berkata, kedua-dua pemain tersebut telah mendapat kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan ketika aksi bertemu Vietnam, malam tadi.

“Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kita membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia nanti.”

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.”

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini (16 Disember 2021) untuk mengisi posisi pertahanan tengah ini andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti,” jelas Cheng Hoe.

Selepas kekalahan kepada Vietnam Jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe semakin kusut dan sakit kepala apabila dua pemain pertahanan tengah Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad mengalami kecederaan.

Skuad 24 pemain yang dibawa Tan Cheng Hoe untuk saingan Piala AFF Suzuki 2020 kini hanya tinggal 17 pemain sahaja apabila 7 pemain mungkin tidak dapat beraksi kerana kuarantin dan juga mengalami kecederaan.

Kini dengan kembalinya Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng maka Tan Cheng Hoe mempunyai 20 orang pemain kembali dan berharap Aidil Zafuan dan Shahrul Saad mampu pulih sebelum perlawanan menentang Vietnam.

Khidmat Faisal Halim pasti ditagih lantaran prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh pemain sayap itu musim ini bersama Terengganu FC dan dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Begitu juga Quentin Cheng yang cemerlang bersama Penang FC dan terus mendapat panggilan daripada Tan Cheng Hoe.

BACA:  Indonesia Pasukan Paling Malang Dalam Sejarah Piala AFF