Kisah Brentford dalam bola sepak Inggeris adalah sangat menarik dengan pendekatan ilmu matematik dan stastistik menjadi tunjang utama kelab untuk naik ke Liga Terbaik Dunia iaitu Premier League.
Brentford yang bermain di Liga Perdana Inggeris pada musim ini merupakan kelab yang sememangnya tidak dikenali ramai, melainkan kalau kau adalah penggemar permainan video Football Manager.
Penantian penuh penyeksaan selama 74 tahun akhirnya membuahkan hasil selepas mereka berjaya menewaskan Swansea 2-0 dalam perlawanan play-off kenaikan liga di Wembley, terima kasih kepada jaringan daripada penalti Ivan Toney dan juga gol padu Emiliano Marcondes.
Ini adalah kejayaan kali pertama dalam tempoh 74 tahun kelab ini berjaya bermain di divisyen paling tinggi di England, dan kali pertama sejak EPL ditubuhkan pada tahun 1994.
Kenaikan kelab ini ke liga paling power di dunia ini boleh diangkat sebagai kisah klasik di masa hadapan, apatah lagi pada tahun 2009, mereka masih lagi bermain di League Two, atau divisyen keempat di England.
Dengan kejayaan mendaki liga yang terbaru ini, Brentford bakal menerima kunjungan pasukan-pasukan hebat yang memenangi piala seperti juara liga, Manchester City, juara Eropah Chelsea dan juga pemenang piala FA, Leicester City.
Selain itu, mereka juga bakal berhadapan dua pasukan yang penyokongnya menganggap pasukan mereka hebat sedangkan kedua-duanya mandul – Liverpool dan Manchester United.
Brentford akan menjadi kelab yang paling kecil dalam saingan EPL di mana stadium mereka, Stadium Komuniti Brentford hanya mampu memuatkan seramai 17,000 penonton sahaja.
Jumlah ini jauh lebih sedikit berbanding kelab-kelab lain terutamanya kelab gergasi seperti Manchester United, yang mana stadium mereka mampu memuatkan 76,000 penonton dalam satu-satu masa.
Pada dua musim lalu, Brentford hampir berjaya untuk naik ke EPL, namun dikecewakan oleh Fulham dalam perlawanan play-off.
Tetapi, apakah resipi di sebalik kejayaan ini?
Pihak pengurusan meletakkan kepercayaan mereka kepada model matematik dan statistik dalam urusan pembelian dan penjualan pemain.
Kalau kita tengok kelab lain, biasanya mereka tidak akan berani atau sudi untuk menjual pemain bintang mereka meskipun diberi emas dan permata kerana mereka memilih senyuman penyokong.
Brentford sebaliknya, sering menjual pemain terbaik mereka asalkan kena pada harga dan masanya.
Antara bekas pemain Brentford yang kini mencipta nama di EPL adalah bintang West Ham, James Tarkowski, Andre Gray(Burnley), Ollie Watkins(Aston Villa) dan Neal Maupay(Brighton).
Polisi kelab adalah tidak menangisi pemergian pemain, sebaliknya menggantikan mereka dengan pemain yang lebih tidak dikenali ataupun di luar radar kelab-kelab lain.
Dengan kata lain, Brentford beli pemain dengan harga yang murah dan jual pada harga yang mahal, dan labur kembali untuk pemain yang baharu sehinggalah mereka mencipta kejayaan – mazhab yang sama diamalkan oleh Leicester City.
Beberapa musim lepas, tiada yang pernah dengar nama-anam seperti Bryan Mbeumo atau Mathias Jensen. Orang di UK lah. Orang di Malaysia memang tak kenal lah.
Kini kedua-dua pemain ini adalah bintang kepada pasukan yang digelar The Bees atau Lebah-Lebah Itu dan bersedia untuk mengharungi kempen EPL musim hadapan.
Malah penyerang mereka, Ivan Toney yang berjaya menjaringkan 33 gol sepanjang musim ini, dikatakan sedang berada dalam radar pasukan EPL seperti Burnley dan Arsenal.
Polisi tentang perpindahan pemain ini dipegang jitu oleh pengurusan kelab, tetapi idea ini telah ditentang bekas pengurus mereka, Mark Warburton yang meninggalkan kelab pada tahun 2015 kerana tidak puas hati dengan strategi perpindahan yang dibentangkan.
Katanya pada waktu tu,”Aku tak nak jadi orang jumud. Aku nak teknik dan idea yang baru.
“Benda ni boleh dikatakan mesra tapi ia adala dua falsafah berbeza. Dia adalah pemilik dan itu adalah hala tuju yang dia nak bawa kelab.”
Pemilik kelab, Matthew Benham adalah bekas penjudi professional dan dia pernah bercakap dan membandingkan polisinya dengan konsep Moneyball.
Penjudi professional di sini bukan bermaksud pergi main mesin atau beli nombor dengan memakai kemeja atau blazer, tetapi lebih kepada judi yang main kad tu.
Konsep Moneyball pula lebih kurang begini. Daripada buta-buta percayakan scout yang melihat pemain beraksi sambil pegang tablet dan makan donut, pengurusan kelab mengkaji lebih dalam aspek yang ada pada seseorang pemain dan mengkaji statistiknya dalam perlawanan.
Kadang-kadang kita tengok seseorang pemain tu seperti tiada fungsi pun di atas padang. Jaringkan gol pun tidak, assist pun tidak. Tetapi sebenarnya ada sudut lain yang membuatkan seseorang pemain itu istimewa.
“Label tu(Moneyball) agak mengelirukan sebab orang akan fikir ia guna statistik semata daripada gunanya dengan cara yang lebih saintifik,” ujar Benham suatu ketika dahulu.
Bercakap kepada Mirror awal minggu lalu sebelum perlawanan di Wembley, Warburton yang kini merupakan pengurus QPR, akhirnya mengakui strategi yang dia kecam dulu kini membuahkan hasil.
“Strategi Benham dalam pengambilan pemain adalah jauh dan luas. Bisnes dia yang lain adalah melibatkan analitik dan bertebar di seluruh dunia.
“Apa yang aku suka pasal dia adalah Matthew pernah cakap kalau dia betul, 51 peratus daripadanya adalah dia buat untung.
“Tapi dia tak takut nak buat semua tu. Aku suka tu dan aku rasa banyak benda yang boleh dipelajari daripada tu. Kelab pun berada di tempat yang baik dah.”
Mungkin kini sudah tiba masanya pasukan dari Malaysia menghantar wakil untuk belajar konsep yang diamalkan oleh Brentford ini. Iya lah, daripada bayar gaji tinggi tak tentu hala kepada bekas pemain kebangsaan yang dah berpuluh tahun tak sarung jersi Harimau Malaya, baik pergi cari pemain di liga-liga sosial atau pun M3, kan?
Sumber : Mirror