Kisah Bekas Konduktor Bas dan Nelayan Tiga Kali Juara Europa League Bersama Unai Emery

Di sebuah perkampungan yang terletak di Puerto Colombia, Colombia, tinggal seorang anak muda berusia 20 tahun yang bercita-cita mengubah nasib keluarganya yang miskin.

Pemuda tersebut yang dilahirkan pada 8 september 1986 bernama Carlos Arturo Bacca Ahumada.

Pagi-pagi lagi Carlos Bacca sudah bangun daripada tidur dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Dengan pendapatan sebagai seorang konduktor bas dia menyara kehidupan diri dan keluarganya.

Sumber: FootyRoom

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang pula terpaksa disimpan untuk hari esok. Kadang-kadang dia terpaksa menjadi nelayan untuk mencari rezeki. Menyahut seruan kerajaan, buat dua kerja.

Walaupun sibuk dengan kerja hakiki, minatnya terhadap sukan bola sepak masih terus utuh.

Impiannya bergelar seorang pemain bola sepak masih utuh walaupun menyedari ramai pemain bola sepak yang seusia dengannya sudah pun berjaya mencipta nama sebagai wonderkid dalam kelab-kelab bola sepak utama dunia.

Langkah Pertama Bersama Athletico Junior

Akhirnya ada sedikit sinar untuk Bacca menempa nama dalam dunia bola sepak apabila terpilih untuk menyertai kelab Athletico Junior pada tahun 2006 dan bergelar sebagai pemain profesional pada usia 20 tahun.

Namun langit tidak selalu cerah. Bacca jarang mendapat peluang untuk bermain pada musim pertamanya bersama Junior.

Walaupun sudah bergelar sebagai pemain profesional, Carlos Bacca masih lagi berkerja sebagai konduktor bas bagi meneruskan kelansungan hidup lantaran kemiskinan yang menjadi latar belakangnya.

Dia telah dipinjamkan ke kelab Barranquilla FC dan kelab yang berpangkalan di Venezuela, Minerven sebelum kembali dalam skuad senior di Athletico Junior pada usia 23 tahun.

Tempoh bersama kelab pinjaman digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman. Bacca berjaya menunjukkan ketajamannya di depan gawang gol lawan dengan jaringan demi jaringan.

Dia berjaya membantu Junior menjadi juara Categoría Primera A untuk dua musim berturut-turut. Selain itu dia juga berjaya menjadi penjaring terbanyak liga untuk dua musim tersebut.

Berhijrah Ke Eropah Demi Karier

Prestasi Bacca ketika itu telah menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya. Pada tahun 2012, dia telah berhijrah ke Belgium untuk bersama-sama Club Brugge.

Beberapa bulan pertama Bacca masih bergelut untuk menyesuaikan dengan persekitaran baru di benua Eropah dan jarang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Selepas penghijrahan pemain Nigeria, Joseph Akpala ke Werder Bremen, Bacca memperoleh lebih banyak peluang untuk bermain dan dia memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya.

Dia umpama mesin cetak gol untuk Club Brugge dan berjaya menjadi penjaring terbanyak dan dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Liga Belgium pada musim 2012/2013.

Pada penghujung musim tersebut, Bacca menyatakan hasrat untuk berhijrah ke kelab lain demi masa depan karier bola sepaknya. Kelab yang berjaya mendapat tandatangannya ialah pasukan Sevilla.

Sevilla mendapatkan Carlos Bacca dengan harga €7 juta dan diikat dengan kontrak selama 5 tahun berserta klausa penebusan yang bernilai €30 juta.

Bersama pasukan Sevilla, tahap permainannya meningkat dengan begitu ketara sekali. Bacca berjaya membantu Sevilla menjadi juara Liga Europa untuk dua musim berturut-turut iaitu musim 2013/2014 dan juga musim 2014/2015.

Itulah kali pertama dan kedua Carlos Bacca meraih dan menjulang trofi Europa Leauge bersama Unai Emery yang mencatatkan kejuaraan hatrik ketika itu.

Rekod jaringannya bersama Sevilla ialah 34 gol daripada 72 perlawanan.

Angan-Angan Jadi Impian, Impian Jadi Cita-Cita

Pada musim panas  2015, kelab gergasi Itali AC Milan cuba mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Bacca di San Siro. Tawaran yang dilakukan oleh Milan itu ternyata tidak mampu ditolak oleh Bacca.

AC Milan telah mengumunkan pembelian Bacca secara rasmi dari Villareal dengan mengaktifkan klausa pelepasan yang bernilai €30 juta.

Siapa sahaja yang tidak mahu bermain untuk kelab yang terkenal sejak zaman-berzaman seperti AC Milan walaupun Milan kesenduan ketika itu.

Sumber: Goal.Com

Bacca telah mencipta detik yang diingati bersama Milan dengan menjaringkan gol dengan gaya Rabona dan membawa Milan ke separuh akhir Coppa Italia.

Dalam Derby della Madonnina menentang Inter, Bacca turut mencetak nama selaku penjaring dengan kemenangan 3-0. Hatrik pertama Bacca adalah ketika menentang Torino.

Bacca telah menjaringkan 34 gol untuk Milan sepanjang 76 penampilan sepanjang dua musim.

Pada ogos 2017, Bacca telah dipinjamkan ke Villareal selama semusim dengan pilihan pembelian secara tetap dengan tambahan kos sebanyak €15.5 juta.

Setahun kemudian Bacca telah dijual kepada Villareal dan menjadi salah satu syarat urusniaga ketika AC Milan mahu mendapatkan Samu Castillejo.

Bersatu Kembali dan Mengukir Sejarah Bersama Unai Emery

Pada usia hampir 35 tahun, selepas memasuki musim keempat bersama Villareal, Bacca kembali bersatu bersama Unai Emery yang telah dipecat oleh Arsenal.

Gandingan Bacca dan Unai Emery telah membuahkan hasil apabila telah mendatangkan trofi major yang pertama ke dalam kabinet Villareal selepas menewaskan Manchester United.

Kemenangan ini merupakan trofi Europa League keempat Unai Emery dan ketiga buat Bacca bersama pengurus yang terkenal dengan ucapan good ebening itu.

Dalam perlawanan akhir Bacca telah bermula dari kesebelasan utama sebelum dikeluarkan pada minit ke-60 dan digantikan dengan Francis Coquelin.

Satu momen yang menarik dan indah telah dicipta oleh Bacca dalam perlawanan ini pabila melakukan satu hantran melalui sepakan Rabona.

Detik itu telah menjadi tular dan bualan peminat bola sepak walaupun tidak menghasilkan sebarang gol.

Itulah kisah pemain pemuda dari Puerto Colombia yang memulakan karier profesionalnya pada usia 20 tahun yang bekerja sebagai konduktor bas demi kelansungan hidup kini sudah menggenggam tiga trofi Europa League.

Setiap kejayaan bermula dengan sedikit pengorbanan dan kesabaran. Sebutir beras pula ibarat setitik peluh petani walaupun beras kita beli. 

Bukan senang nak senang brader!

BACA:  Kisah Suka Duka Pasukan Bola Sepak Wanita Jepun Menjuarai Piala Dunia 2011