Kisah Suka Duka Pasukan Bola Sepak Wanita Jepun Menjuarai Piala Dunia 2011

Pada 11 Mac 2011, gempa bumi kuat dengan magnitud 9.0 telah melanda Jepun dan mengakibatkan tsunami yang dasyat melanda bahagian pantai Jepun dengan ketinggian ombak mencecah 100 kaki.

Gempa bumi tersebut merupakan yang terkuat direkodkan di Jepun dan keempat paling kuat direkodkan dalam sejarah gempa bumi di seluruh dunia.

Bencana alam tersebut mengakibatkan lebih daripada 15,000 kematian dan kerugian dianggarkan bernilai $300 billion.

Selain kehilangan nyawa dan harta benda, bencana tsunami ini juga menyebabkan sistem penyejukan di Stesen Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi gagal berfungi.

Akibatnya menyebabkan beratus-ratus tan air yang mengandugi bahan radioaktif mengalir dari stesen tersebut ke dalam Lautan Pasifik.

Membawa Harapan Rakyat Jepun Di Piala Dunia 2011

Malapetaka yang melanda Jepun ketika itu menyebabkan moral seluruh rakyat Jepun jatuh dan situasi ini adalah yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Walaupun negara dan rakyat Jepun masih lagi dalam keadaan berduka akibat bencana tersebut, pasukan bola sepak wanita Jepun yang telah layak ke Piala Dunia Wanita 2011 tetap meneruskan perjuangan mereka dalam kejohanan tersebut.

Pasukan mereka merupakan salah satu pasukan Asia yang layak selain Australia dan Korea Utara. Kejohanan Piala Dunia Wanita 2011 berlangsung di Jerman dari 26 Jun sehingga 17 Julai 2011.

Sumber: TheAtlantic.Com

Perlawanan Peringkat Kumpulan

Pasukan bola sepak wanita Jepun ketika itu tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Mereka tersingkir awal dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini iaitu pada 2007 dan 2003. Mereka telah diundi dalam kumpulan B bersama-sama England, Mexico dan New Zealand.

Permulaan mereka dalam Piala Dunia bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan New Zealand dengan jaringan 2-1 sebelum membelasah Mexico 4-0 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan menentang England, mereka tewas 0-2 namun berjaya layak ke pusingan suku akhir setelah menduduki tempat kedua dalam kumpulan di belakang England.

Perjalanan Ke Perlawanan Akhir Piala Dunia 2011

Mereka akan bertemu Jerman selaku juara bertahan  dan tuan rumah pada peringkat suku akhir. Di sinilah kisah dongeng mereka bermula. Walaupun tanpa harapan yang tinggi, mereka berjaya mengikat pasukan Jerman sehingga memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan, Karina Maruyama berjaya menjaringkan gol untuk pasukan Jepun dan menyingkirkan tuan rumah.

Sumber: Football Manics

Pada perlawanan separuh akhir, Jepun berdepan pasukan Sweden yang menewaskan pasukan Australia. Jepun dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan Sweden namun mereka tidak berputus asa.

Mereka berjaya membalas dengan tiga gol untuk mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali pertama menentang satu lagi gergasi bola sepak wanita, Amerika Syarikat.

Final Menentang Amerika Syarikat

Pasukan Jepun ketinggalan dua kali sepanjang 120 minit perlawanan namun berjaya menjaringkan gol penyamaan pada saat-saat akhir untuk memaksa perlawanan  ditentukan melalui sepakan penalti.

Mereka berjaya membuat kejutan apabila apabila berjaya menjadi juara dengan keputusan penalti 3-1. Lebih manis lagi kapten mereka, Homare Sawa telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Bola Emas dan Anugerah Kasut Emas untuk kejohanan tersebut.

Kejayaan pasukan bola sepak Wanita Jepun ketika Piala Dunia 2011 telah memberi inspirasi kepada jutaan rakyat Jepun untuk bangkit dari kedukaan dan kesedihan yang melanda negara mereka.

BACA:  Pengadil Wanita Dikejarkan Ke Hospital Kerana Ditumbuk Selepas Layangkan Kad Merah