Klopp Mengakui Beliau Sukar Untuk Melihat Minamino Pergi Meninggalkan Kelab

Jurgen Klopp mengakui yang beliau sebenarnya sukar untuk melepaskan pemain sayap, Takumi Minamino pergi meninggalkan Liverpool untuk sertai Monaco.

Minamino melengkapkan perpindahan menyertai kelab dari saingan Ligue 1 itu pada minggu lalu, selepas beliau bergelut untuk mendapatkan minit permainan di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sepanjang dua tahun setengah bersama Liverpool, Minamino jelas sekali sangat sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool.

Musim lalu, pemain kebangsaan Jepun itu hanya membuat 11 penampilan dalam saingan Premier League, walaupun beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

Walau bagaimanapun, pengurus Liverpool tetap menegaskan yang Minamino bukan pemain yang gagal di Anfield dan turut menganggap bintang berusia 27 tahun itu memainkan peranan penting dalam skuadnya.

Minamino berjaya mencatatkan double figures dari semua pertandingan pada musim lalu, termasuk tujuh gol dalam saingan domestik.

Beliau merupakan wira yang membantu Liverpool memenangi gelaran Carabao Cup dan FA Cup dengan The Reds hampir memenangi gelaran quadruple pada musim lalu.

Klopp merasakan yang Minamino bukan pemain yang gagal dan andai ada yang menganggap bekas bintang Red Bull Salzburg itu sebagai pembelian yang gagal, pengurus dari Jerman itu menafikan hal tersebut sekeras-kerasnya.

Bercakap kepada laman rasmi kelab, Klopp mendedahkan bahawa:

“Sangat sukar sebenarnya untuk melihat Taki pergi, tapi ia perpindahan yang terbaik untuk dia dan dia berhak untuk berpindah.”

“Seorang yang luar biasa profesional, pemain yang luar biasa berbakat. Sebagai manusia, dia memiliki penuh kasih sayang dan selalu buat semua orang rasa positif.”

“Impian setiap pengurus, jujur saya katakan. Saya pasti memang akan ada orang yang fikir dia pembelian gagal. Semua yang fikir macam itu salah. Saya tak terima itu.”

Walaupun Minamino dianggap tidak begitu menjadi, namun harus diakui yang beliau merupakan wira tidak didendang kelab.

Minamino wira tak didendang Liverpool

Takumi Minamino secara rasminya telah melengkapkan perpindahan beliau menyertai AS Monaco dengan yuran perpindahan bernilai £15.5 juta.

Beliau merupakan pemain Asia pertama yang beraksi bersama Liverpool dan walaupun kariernya di Anfield tidak panjang, namun Minamino tetap meninggalkan sejarah yang akan terus dikenang oleh peminat.

Beliau ditandatangani dari Red Bull Salzburg pada jendela perpindahan Januari tahun 2020 yang lalu dengan yuran perpindahan bernilai €8.50 juta.

Sepanjang kariernya bersama Liverpool, Minamino telah membuat 55 penampilan dengan beliau turut berjaya menjaringkan 14 gol dan mencatatkan 3 assists sepanjang tempoh tersebut.

Walau nama beliau tidak disebut-sebut seperti bintang penyerang lain, namun harus diakui yang Minamino juga turut memberikan impak yang sungguh dasyat untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Beliau merupakan individu penting yang membantu Liverpool untuk menjuarai dua piala pada musim ini.

Takumi Minamino merupakan wira penting yang membantu Liverpool untuk layak ke perlawanan akhir dalam saingan Carabao Cup dan FA Cup musim lalu.

Beliau juga merupakan penjaring terbanyak dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Memandangkan beliau sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool, maka Minamino lebih memilih untuk meninggalkan Anfield pada musim panas ini.

Beliau berjaya menarik minat beberapa kelab sebelum ini, namun akhirnya bersetuju untuk menyertai Monaco dan urusan perpindahan beliau telah dimuktamadkan pada minggu ini.

Seperti yang ditulis di atas, Minamino sememangnya layak untuk dianggap sebagai antara legenda kelab atas sumbangan dan persembahan yang beliau persembahkan.

Minamino selamatkan maruah Liverpool musim lalu

Liverpool pada musim lalu sebenarnya hampir mencipta sejarah baru dalam dunia bola sepak Inggeris dengan mereka berpotensi untuk menjadi pasukan pertama memenangi gelaran quadruple.

The Reds pada hujung musim berjaya bersaing rapat dengan Manchester City untuk merebut gelaran Premier League dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan jurang satu mata sahaja.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu juga beraksi sangat cemerlang dalam saingan Champions League dengan mereka berjaya untuk layak ke perlawanan akhir.

Minamino dan Origi sementara itu menjadi nadi penting untuk skuad Liverpool di pentas pertandingan domestik dengan gol jaringan mereka berjaya membawa The Reds ke pentas perlawanan akhir kedua-dua Carabao Cup dan FA Cup.

Malang untuk Liverpool, dari kononnya mereka bakal memenangi gelaran quadruple, mereka akhirnya terlepas dua piala utama Premier League dan Champions League.

Mujur saja mereka sudah berjaya mengesahkan dua Piala lebih awal dan jelas sekali kedua-dua piala itu dimenangi hasil usaha dan bantuan dari Minamino dan Origi.

Oleh yang demikian, Liverpool berjaya menutup malu terlepas gelaran quadruple dengan memenangi gelaran double pada musim lalu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sadio Mane Dikatakan Meninggalkan Liverpool Kerana Terkesan Dengan Komen Klopp Yang Menghina Afrika