Komen Brutal Rangnick Hentam Shaw Dan Ronaldo Tersebar Kembali

Beberapa tahun yang lalu Ralf Rangnick pernah menghentam Luke Shaw dan Cristiano Ronaldo dengan satu komen yang agak brutal serta keras seperti kedua-dua pemain itu tidak lagi relevan untuk aksi bola sepak peringkat tertinggi.

Kini Ralf Rangnick dilaporkan telah bersetuju dan mencapai persepakatan untuk menjadi pengurus interim Manchester United sehingga tamat musim 2021/22.

Persetujuan itu merangkumi kedudukan pengurus berusia 63 tahun itu yang akan dilepaskan oleh Lokomotiv Moscow sebagai Ketua operasi sukan dan pembangunan kelab.

Rangnick telah bersetuju dengan kontrak enam bulan yang akan menyaksikan dia mengendalikan kelab Manchester itu sehingga Mei. Rangnick je yang bersetuju, Man Utd tak keluarkan apa-apa kenyataan.

Selepas tamat tempoh selaku pengurus interim, Ralf Rangnick akan dilantik dan berperanan sebagai perunding kelab untuk tempoh dua tahun mendatang.

Bagaimanapun, menurut laporan The Athletic, disebabkan masalah permit kerja bermakna Rangnick tidak akan mengendalikan perlawanan menentang Chelsea hujung minggu ini.

Sebaliknya, Michael Carrick akan berpeluang bersaing dengan bos The Blues, Thomas Tuchel dalam perlawanan kedua sebagai pengurus.

Setakat artikel ditulis, Manchester United masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perlantikan Ralf Rangnick ini selaku pengurus Interim.

Namun cerita tidak enak mengenai komen keras Ralf Rangnick beberapa tahun lalu ke atas pemain bek kiri, Luke Shaw dan Cristiano Ronaldo kini kembali menjadi bualan.

Pada masa komen itu dibuat tidaklah sensasi seperti kini di mana Ralf Rangnick akan membimbing kedua-dua pemain tersebut.

Dalam satu temuramah pada September 2020, Ralf Rangnick telah mempertikaikan prestasi Luke Shaw dan mempersoalkan adakah Luke Shaw masih layak bermain untuk Manchester United?

“Aku juga fikir mereka (Man Utd) perlu lakukan sesuatu di bahagian bek kiri, aku tahu mereka ada Luke Shaw tetapi aku tidak pasti sama ada dia masih berada pada tahap yang sama seperti yang kau perlukan untuk berada di kelab seperti Manchester United,”

Kenyataan ini tidaklah terlalu lama dan dilakukan pada musim lepas, Luke Shaw kemudiaannya bermain dengan cemerlang hingga hujung musim dan membawa prestasinya ke EURO 2020 bersama England.

Kini Luke Shaw dilihat seperti hilang di atas padang dan bermain tanpa pedoman serta kerap mengalami kecederaan sehingga terpaksa digantikan.

Selain itu, Ralf Rangnick juga pernah membuat kenyataan yang agak pedas kepada Cristiano Ronaldo yang dikatakan sebagai punca Ole Gunnar Solskjaer hilang pedoman membawa kepada pemecatannya.

Ketika masih lagi bersama RB Leipzig, Ralf Rangnick ditanya dalam satu sidang media adakah beliau akan mengikat Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi jika berpeluang?

Ini jawapan Ralf Rangnick:

“Adalah tidak masuk akal untuk berfikir bahawa boleh bekerja dengan mereka di sini (RB Leipzig). Mereka berdua terlalu tua dan terlalu mahal.”

Rangnick sangat terkenal kerana mampu mengesan bakat baru muncul dan membangunkan pemain muda, beliau telah bertanggungjawab untuk RB Salzburg menandatangani Sadio Mane.

Dia turut membawa pemain muda berbakat dan membimbing pemain seperti Joshua Kimmich, Naby Keita, Dayot Upamecano dan Timo Werner ke Leipzig.

Untuk bersangka baik dengan kenyataan Ralf Rangnick ini, mungkin beliau sedar RB Leipzig pada ketika itu lebih fokus kepada bakat muda dan tidak mampu untuk mendapatkan Messi dan Ronaldo.

Jika benar menjadi kenyataan Ralf Rangnick akan ke Manchester United maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana Rangnick menggunakan Luke Shaw dan Cristiano Ronaldo.

Adakah kedua-dua pemain ini akan dipinggirkan atau akan bertambah mutu prestasi mereka dengan asuhan Rangnick? Satu perkara menarik untuk dilihat.

Rangnick Dan RB Leipzig

Ralf Rangnick merupakan tunjang dan tulang belakang kepada wujudnya RB Leipzig dan RB Salzburg dalam peta bola sepak Eropah yang sangat terkenal dengan penghasilan bakat muda.

Pada June 2012, Ralf Rangnick telah dilantik sebagai pengarah bola sepak RB Leipzig dan juga RB Salzburg, Rangnick menjadi tunjang dan tulang belakang kepada wujudnya RB Leipzig dan RB Salzburg dalam peta bola sepak Eropah yang sangat terkenal dengan penghasilan bakat muda.

RB Leipzig telah naik ke Bundesliga dan berjaya meraih tempat kedua serta layak ke separuh akhir Champions League. RB Salzburg pula telah beberapa kali menjuarai liga dan piala Austria serta tidak asing lagi di Champions League serta Europa League.

Ralf Rangnick kini telah memilih cabara baru apabila telah menjawat jawatan Pengurus sukan dan pembangunan bersama kelab Russia, FC Lokomotiv Moscow.

Secara Ringkasnya inilah perjalanan RB Leipzig di Bundesliga sebelum memecah masuk ke Eropah.

2009: RB Leipzig ditubuhkan

2010: Dipromosi/Naik ke divisyen keempat

2013: Dipromosi/Naik ke divisyen ketiga

2014: Dipromosi/Naik ke divisyen kedua

2016: Dipromosi/Naik ke Bundesliga

2017: Naib Juara Bundesliga

2020: Berjaya ke separuh akhir Champions League.

2020: Berjaya menghantar Manchester United ke Europa League

RB Salzburg cukuplah sekadar menyebut nama Erling Braut Haaland yang telah mencetak gol bertubi-tubi dipentas Eropah dan kini meneruskan rutin tersebut bersama Borussia Dortmund.

Godfather of Germany Football

Jika hero Arrigo Sacchi digelar ‘The Prophet of Fusignano’, Ralf Rangnick pula mendapat gelaran Godfather of Germany Football dan beberapa gelaran yang lain ekoran sumbangannya kepada bola sepak Jerman.

Selain itu Ralf Rangnick mendapat banyak gelaran di dalam kariernya. Yussuf Poulsen melabel Rangnick sebagai perfectionist, sementara pemain Kevin Kampl menggelarknya ‘bercinta dengan bola sepak’.

Ralf Rangnick seringkali dianggap sebagai godfather of gegenpressing ataupun godfather of Germany Football. Kerana pada hari ini bola sepak Jerman banyak bercorakkan gegenpressing terutama sekali skuad kebangsaan mereka.

Tiga jurulatih Jerman yang berpengaruh pada hari ini, Jurgen Klopp, Thomas Tuchel dan Julian Nagelsmann menjadikan Rangnick sebagai rujukan mereka.

Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel telah membuktikan apa yang mampu dilakukan dengan gegenpressing dengan menraih gelaran juara dan mendominasi bola sepak Eropah.

Pengurus muda Julian Nagelsmann yang merupakan prospek masa depan pengurusan bola sepak pula pernah mengejutkan dunia bola sepak dengan taktikal beliau walaupun memimpin pasukan kerdil.

Rangnick Mahu Hapuskan Sentimental Era Beckenbauer

Bola sepak Jerman pernah melalui apa yang pernah dilalui oleh Manchester United kini yang terperangkap dengan keromantisan era Sir Alex Ferguson dan bola sepak Jerman pula bergelumang dan bersetimental dengan Era FranZ Beckenbauer.

Rangnick menjelaskan bahawa Jerman ada masalah dengan perkembangan taktikal kerana mereka menjadikan Franz Beckenbauer sebagai penanda aras bola sepak mereka. Pemain yang memainkan peranan libero-sweeper dalam sistem klasik back 3.

Jerman sebelum itu mendapat beberapa siri kejayaan di Piala Dunia dan kejohanan Eropah dengan taktikal yang dianggap rigid dan berasaskan fizikal.

Rangnick menambah:

“Franz sendiri berkata pada pertengahan 90-an, kamu tak mampu bermain dengan sistem zonal marking dalam bek berempat kerana pemain pemain Jerman tak tahu cara nak bermain sistem itu.”

“Pada masa itu saya tertanya tanya adakah pemain Jerman ni kurang cerdas berbanding pemain pemain Belgium, Sepanyol dan Belanda? Bagi saya, itu tidak masuk akal.”

Rangnick kemudian menyatakan bahawa dia mendoakan agar bola sepak Jerman ketika itu jatuh agar semua orang mecari pembaharuan.

“Bola sepak Jerman perlu jatuh agar mereka mulai menerima perubahan. Ketika pasukan kebangsaan gagal di Euro 2000, kandas di peringkat kumpulan, itu yang merintis kepada perubahan total dalam kajian semula sistem permainan.”

“Penjaga gol seharusnya menjadi salah seorang pemain paling banyak kontak dengan bola. Hampir di semua kuasa besar dan negara, penjaga gol secara teknikalnya adalah paling terhad aksi dan kita mahu memastikan mereka adalah paling sedikit menyentuh bola dengan kaki mereka.”

“Jadi sekarang kita perlukan pendekatan laju, proaktif, menyerang, counter attacking, pendekatan menghiburkan dan mengujakan dalam bola sepak.”

Jurgen Klopp pernah melabel Rangnick sebagai Godfather bola sepak moden Jerman.

Pemain yang pernah diasuh oleh Rangnick seperti Keita, Mane danTakumi Minamino menjadi bekalan buat Jurgen Klopp yang mengamalkan falsafah bola sepak yang sama.

Roberto Firmino juga pemain diikat Rangnick ketika di Hoffenheim dan Joel Matip pernah diuruskan Rangnick ketika di Schalke.

Rangnick sendiri mengakui merasakan mempunyai sinergi dengan Jurgen Klopp kerana berkongsi pandangan yang sama di dalam bola sepak.

Jika Rangnick hadir ke Manchester United selaku pengurus Interim selama 6 bulan maka tidak banyak yang mampu dilakukan walaupun dilaporkan akan memainkan peranan di sebalik tabir selepas itu.

BACA:  Ralf Rangnick Dedah Situasi Sebenar Insiden Ronaldo Merajuk