Sebab Mengapa Ralf Rangnick Tak Suka Dengan Darren Fletcher

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick dilaporkan tidak gembira dengan salah seorang jurulatih kelab, kerana terlalu kerap menjerit kepada pemain di atas padang.

Ralf Rangnick tidak gemar dengan cara dan tindakan Darren Fletcher yang terlalu kerap menjerit dan beliau tak berselindung tentang perasaannya itu.

Ralf Rangnick sememangnya seorang pengurus yang telus dan jujur dengan beliau tak pernah teragak-agak untuk menghentam atau meluahkan segalanya yang terbuku di hatinya.

Beliau bahkan tanpa berselindung mengaku yang Manchester United sebenarnya jauh ketinggalan di belakang Liverpool selepas kekalahan memalukan 4-0 mereka di tangan seteru utama mereka itu.

Pengurus interim kelab yang bakal digantikan oleh Ten Hag pada Jun nanti itu secara terbuka menyatakan yang Man Utd kini enam tahun dibelakang Liverpool dan mereka berkemungkinan memerlukan 10 pemain baru pada musim panas ini.

Bagaimana kejujuran beliau tentang kelab, begitu jugalah cara beliau menghentam salah seorang jurulatih kelab, Darren Fletcher.

Menurut sumber laporan dari The Telegraph, Ralf Rangnick sempat terkejut dengan cara Fletcher yang suka menjerit ketika memberi arahan kepada pemain.

Beliau juga turut pernah memberi amaran dan meminta agar legenda kelab itu berhenti melakukan hal tersebut.

Fletcher telah di bawa masuk untuk menjadi jurulatih oleh Ole Gunnar Solskjaer pada Januari 2021 dan beliau kemudiannya telah diberi peranan sebagai pengarah teknikal kelab beberapa bulan selepas itu.

Walau sudah ada peranan baru, beliau tetap akan ada duduk di tempat duduk pemain simpanan bersama barisan kejurulatihan kelab yang lain.

Legenda kelab yang kini berusia 38 tahun itu turut terlibat dengan mesyuarat bersama pimpinan kelab ketika mereka bersama-sama mencari pengganti Ralf Rangnick.

Fletcher juga sering turut serta menyertai sesi latihan bersama para pemain ketika skuad kekurangan pemain utama kerana masalah kecederaan dan hal itu juga sepertinya mengejutkan Rangnick.

Walau Ralf Rangnick tak suka dengan Fletcher, namun pemenang lima kali gelaran Premier League itu akan terus kekal di kedudukan beliau selepas ini, sementara Ralf Rangnick tidak lagi akan mengendalikan skuad selepas tamat musim ini.

Manchester United pada hari ini secara rasminya telah mengumumkan perlantikkan Erik Ten Hag sebagai pengurus kelab yang baharu bermula pada Jun nanti.

Ten Hag secara rasminya sah dilantik menjadi pengurus Manchester United

Erik ten Hag telah diberikan kontrak selama tiga tahun yang bermula Jun 2022 sehingga jun 2025 dengan pilihan lanjutan kontrak untuk tahun mendatang.

Dalam kenyataan rasmi itu, Manchester United mengumumkan:

“Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Erik ten Hag sebagai Pengurus Pasukan Utama Lelaki, tertakluk kepada keperluan visa kerja, dari penghujung musim ini hingga Jun 2025, dengan pilihan untuk melanjutkan satu tahun lagi.”

Pengarah bola sepak Setan Merah. John Murtough telah memuji Ten Hag yang telah diskodeng kehebatannya sejak beberapa musim lalu:

“Sepanjang empat tahun lalu di Ajax, Erik telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih yang paling menarik dan berjaya di Eropah, terkenal dengan daya tarikan pasukannya, bola sepak menyerang dan komitmen kepada pemain remaja.”

“Dalam perbualan kami dengan Erik sebelum pelantikan ini, kami sangat kagum dengan visi jangka panjangnya untuk mengembalikan Manchester United ke tahap yang kami mahu saingi, pemacu dan keazamannya untuk mencapai itu.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Erik kerana dia memberi tumpuan untuk mencapai kejayaan akhir musim di Ajax dan tidak sabar untuk mengalu-alukannya ke Manchester United pada musim panas ini.”

Erik Ten Hag juga telah menzahirkan rasa teruja dengan perlantikan ini yang mana bakal menguji tahap karier pengurusannya ke tahap lebih tinggi yang lebih banyak kepada politik:

“Adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya amat teruja dengan cabaran yang akan datang. Saya tahu sejarah kelab hebat ini dan semangat peminat, dan saya benar-benar berazam untuk membangunkan pasukan yang mampu memberikan kejayaan yang sepatutnya.”

“Adalah sukar untuk meninggalkan Ajax selepas tahun-tahun yang luar biasa ini, dan saya boleh memberi jaminan kepada peminat kami tentang komitmen penuh saya dan fokus untuk membawa musim ini ke kesimpulan yang berjaya sebelum saya berpindah ke Manchester United.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rangnick Pernah Hentam Bintang Liverpool Ini Kerana Memiliki Sikap Yang Teruk