Luis Diaz Antara 3 Penyerang Yang United Boleh Tandatangani Pada Januari Lalu

Ralf Rangnick tampil mendedahkan yang beliau sebelum ini pernah menasihati kelab supaya menandatangani pemain penyerang pada hujung-hujung jendela perpindahan Januari lalu.

Rangnick pada ketika itu merasakan yang skuadnya perlukan tambahan pemain di bahagian serangan selepas Anthony Martial menyertai Sevilla sebagai pemain pinjaman.

Ditambah pula dengan kehilangan Mason Greenwood yang sedang menjalani hukuman penggantungan dari pihak kelab, maka Ralf Rangnick yakin skuadnya memerlukan pemain penyerang yang baru.

Walau bagaimanapun, permintaan dari pengurus interim kelab itu telah ditolak mentah-mentah oleh pimpinan kelab dan kerana itu jugalah skuad setan merah dilihat terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo sepanjang musim ini.

Mereka jelas sekali terlalu berharap pada pemain berusia 37 tahun itu hingga membuatkan bintang Portugal itu rasa benar-benar terbeban.

Ketika pihak media menyoal beliau tentang siapa pemain yang beliau mahukan, pengurus dari Jerman itu mendedahkan tentang nama pemain yang sepatutnya United boleh tandatangani pada Januari lalu.

Beliau mendedahkan yang United sepatutnya boleh menandatangani Luiz Diaz, Dusan Vlahovic dan Julian Alvarez sebelum kesemua mereka ditandatangani oleh Liverpool, Juventus dan Man City.

“Mungkin kami sepatutnya mencuba untuk menandatangani pemain dalam tempoh 48 jam selepas kami tahu tentang Mason Greenwood tak tersedia lagi dan Anthony Martial akan pergi sebagai pemain pinjaman.”

Jelas Ralf Rangnick.

“Kami juga sepatutnya sudah sedar yang Edinson Cavani juga berpotensi untuk tak diturunkan untuk tempoh lapan ke sepuluh perlawanan, tapi kami tak perasan. Mungkin saya sepatutnya lebih mendesak mereka untuk mendapatkan pemain penyerang tambahan tapi macam saya kata, kami tak lakukan hal itu dan sekarang masa untuk pandang ke depan.”

“Jawapan mereka pada ketika itu adalah ‘tak’, tak ada pemain tersedia yang boleh betul-betul membantu kelab pada ketika itu.”

“Sebenarnya ada beberapa… Diaz yang sekarang sedang bersama Liverpool… Alvarez yang akan bersama Man City pada musim panas nanti dan Vlahovic yang ketika itu masih bersama Fiorentina. Jadi memang mereka bertiga ini sahaja yang ada dalam fikiran saya sekarang.”

Ketika ditanya jika kelab ada menjawab persoalan dari beliau tentang mengapa mereka tak menandatangani pemain penyerang pada ketika itu, beliau menjawab:

“Saya bercakap dengan board dan beritahu mereka yang kami sepatutnya pergi berunding terlebih dahulu dan analisis serta nilai semula adakah kami boleh dapat setidak-tidaknya seorang pemain, secara pinjaman atau perjanjian tetap.”

“Pada akhirnya jawapan mereka adalah tidak. Mereka memang tak mahu dan mungkin ia kerana mereka tak mahu ada apa-apa urusan pada musim sejuk.”

“Memang notis agak singkat, tapi walau bagaimanapun, 48 jam tetap 48 jam. Ia sepatutnya lebih baik mencuba dan mengadakan rundingan. Berbanding kami tak lakukan apa-apa.”

Manchester United hanya mampu menjaringkan 57 gol sahaja sepanjang musim ini dalam saingan Premier League dengan Liverpool merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan mereka merekodkan 86 gol musim ini.

Cristiano Ronaldo pula merupakan penjaring terbanyak Manchester United musim ini selepas beliau berjaya menjaringkan 24 gol dari semua pertandingan.

Manchester United juga pada ketika ini sedang bergelut untuk merebut tempat ke pertandingan Eropah musim hadapan.

Mereka sepertinya sukar untuk layak ke saingan Champions League musim hadapan kerena mereka sedikit jauh dicicirkan oleh Arsenal dan Tottenham Hotspur.

Man Utd pada ketika ini perlu konsisten mencatatkan kemenangan demi kemenangan dalam usaha mereka mahu beraksi di pentas Europa League musim hadapan.

Mengikut kedudukan semasa pada ketika ini, Man Utd berpotensi untuk sekadar beraksi di pentas Europa Conference League dan mungkin juga tidak akan membuat sebarang kemunculan di pertandingan Eropah.

BACA:  Europa League 2020/21: AC Milan 0-1 Manchester United (Agg. 3-2)