Lewandowski Catat Hat-trick Bantu Bayern Benam Salzburg 7-1

Penyerang handalan Bayern Munich, Robert Lewandowski berjaya mencatatkan hat-trick dalam tempoh 22 minit untuk bantu skuadnya menewaskan Red Bull Salzburg 7-1 di Allianz Arena awal pagi tadi.

Beliau sebelum ini dihentam oleh para peminat kerana gagal mencatatkan sebarang percubaan ketika aksi leg pertama di halaman lawan, dengan Bayern ketika itu hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Salzburg.

Bayern Munich sebelum ini hanya mampu terikat 1-1 bertemu Red Bull Salzburg dalam aksi leg pertama di pusingan 16 terbaik di Red Bull Arena pada bulan lalu.

Walau bagaimanapun, aksi leg kedua jelas sekali berpihak kepada Bayern Munich dengan mereka membelasah pasukan pelawat tanpa belas.

Robert Lewandowski berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 perlawanan selepas beliau cemerlang menyempurnakan sepakan penalti.

Lewandowski kemudiannya berjaya memenangi penalti kedua dan beliau juga cemerlang untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk bantu Bayern mendahului 2-0.

Maximilian Wober menjatuhkan Lewandowski di dalam kotak penalti, dengan VAR kemudiannya mengesahkan penalti kedua untuk Bayern Munich.

Dua minit sahaja selepas beliau menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, Lewandowski berjaya meledak satu lagi gol untuk mencatatkan hat-trick awal dalam perlawanan ini.

Penyerang berusia 33 tahun itu bijak menewaskan Kohn, seterusnya membantu Bayern Munich untuk mendahului perlawanan dengan keputusan 3-0

Lewandowski yang sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Bayern Munich itu kini telah berjaya menjaringkan 40 gol dari semua pertandingan sepanjang musim ini.

Pemain kebangsaan Poland itu berjaya mengekalkan rekod menjaringkan lebih 40 gol semusim selama tujuh musim berturut-turut.

“Saya rasa kehebatan Lewandowski ini perlu difilemkan! Dia terlalu hebat dan sukar untuk ditandingi.”

“Lewandowski berjaya catat hat-trick dengan perlawanan belum melepasi minit ke-25 lagi. Dia betul-betul bukan manusia biasa.”

“Semoga saja Ballon D’or di tidak dirompak lagi selepas ini, dia berhak dan dia sangat layak untuk memenangi bola emas itu.”

“Lewandowski patut dinamakan sebagai penyerang paling tajam dalam sejarah dunia bola sepak. Bukan tak hormat pada legenda lain, tapi dia memang sangat berhak.”

“Lewandowski berada di tahap berbeza, rekod jaringan dia memang betul-betul menakjubkan. Dia penyerang terhebat sepanjang zaman.”

Tidak cukup dengan hat-trick dari Robert Lewandowski, Serge Gnabry berjaya meledak gol keempat untuk Bayern Munich mendahului Red Bull Salzburg 4-0 pada minit ke-31 permainan.

Pada minit ke-54 permainan, giliran Thomas Muller pula mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini untuk Bayern Munich mendahului 5-0.

Maurits Kjaergaard kemudiannya menjaringkan gol pertama Red Bull Salzburg dalam perlawanan ini pada minit ke-70 untuk mengubah kedudukan menjadi 5-1.

Pada minit ke-83 Thomas Muller berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya, seterusnya membantu Bayern Munich mendahului 6-1.

Leroy Sane mengesahkan kemenangan 7-1 Bayern Munich menewaskan Red Bull Salzburg selepas beliau meledak gol cantik pada minit ke-85 permainan.

Bayern Munich berjaya menewaskan Red Bull Salzburg dengan keputusan 8-2 secara aggregate untuk mara ke peringkat suku akhir.

Kenduri gol Bayern Munich juga jelas sekali sebagai satu amaran kepada pasukan lain, yang mereka kini sudah kembali di tahap persembahan terbaik mereka dan bakal menjadi calon kegemaran untuk menjuarai saingan Champions League musim ini.

Julian Nagelsmann berjaya memastikan anak-anak buahnya kembali bangkit selepas mereka sebelum ini mengharungi beberapa perlawanan dengan keputusan yang agak mengecewakan.

Red Bull Salzburg terpaksa akur tersingkir dari kejohanan pada musim ini selepas dibelasah teruk oleh Bayern Munich, walau mereka sudah melakukan yang terbaik ketika aksi leg pertama bulan lalu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kempunan Tidak Dapat Lewandowski dan Bernardo Silva Punca Mbappe Merajuk