Lewandowski Sudah Bersetuju Mahu Sertai Barcelona

Penyerang utama Bayern Munich, Robert Lewandowski dilaporkan sangat berminat untuk menyertai Barcelona pada musim panas nanti.

Media Sepanyol, Sport mendakwa yang Lewandowski telah memberitahu Barcelona yang beliau berminat untuk melengkapkan perpindahan sertai gergasi La Liga itu.

Selepas mendengar Lewandowski sendiri berminat untuk ke Nou Camp, Barcelona pada ketika ini dilaporkan sudah menghantar wakil untuk berunding terus dengan Bayern Munich.

Lewandowski telah berjaya menjaringkan 339 gol dari 366 perlawanan untuk Bayern Munich dengan beliau masih memiliki kontrak bersama gergasi Bundesliga itu sehingga 2023.

Walau Lewandowski dianggap sebagai pemain terpenting kelab, namun hubungan antara kedua-dua kelab dan pemain itu sendiri pada ketika ini nampak agak goyah.

Hubungan mereka dilaporkan mula bermasalah sejak bermulanya rundingan tawaran kontrak baru antara kedua-dua belah pihak.

Sport mendakwa yang Bayern hanya sanggup untuk menawarkan kontrak selama satu tahun sahaja kepada Lewandowski, dengan pemain kebangsaan Poland itu mahu kontrak yang lebih panjang.

Dek kerana pihak kelab tidak mahu memberikan tawaran kontrak yang lebih panjang, maka Lewandowski memutuskan untuk berhijrah ke saingan La Liga.

Barcelona sendiri pula pada ketika ini sememangnya sedang dalam usaha mereka untuk mencari pemain penyerang yang baru.

Mereka sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani pemain penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Walau bagaimanapun juga, Barcelona jelas sekali perlu menyediakan dana yang lebih besar andai mereka berminat untuk mendapatkan Erling Haaland.

Real Madrid dan Manchester City turut sama berminat mahu mendapatkan Haaland dan sepertinya mereka dilihat lebih berkemampuan untuk mendapatkan bintang Norway itu.

Barcelona pada ketika ini sudah memulakan langkah untuk mendapatkan Lewandowski dan memandangkan penyerang Poland itu sendiri sudah menyatakan persetujuan, maka Barca bakal lakukan segalanya untuk pastikan urusan perpindahan itu berlaku.

Lewandowski dilaporkan meminta Barcelona untuk menawarkan kontrak selama tiga ke empat tahun kepadanya.

Laporan sama turut mendakwa yang Bayern berkemungkinan akan meminta yuran perpindahan bernilai £55 juta untuk melepaskan Lewandowski pada musim panas nanti.

Bercakap kepada Sky Sports Germany pada bulan lalu, Lewandowski sebenarnya sudah memberi gambaran yang beliau mahu meninggalkan Bayern Munich pada musim panas ini.

“Saya terbuka untuk segalanya.”

Jelas Lewandowski.

“Saya diam. Adalah sangat penting untuk saya supaya boleh beri tumpuan kepada permainan saya, sentiasa bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya.”

“Semuanya yang patut diutamakan akan saya utamakan dan soal kontrak, ia perkara kedua dan saya akan letak di belakang.”

Barcelona sendiri sementara itu ketika ini sedang melalui fasa perubahan yang sangat positif dengan Xavi Hernandez dipuji atas segala yang beliau lakukan.

Barca sebelum ini dianggap sebagai pasukan yang sudah tidak mempunyai masa hadapan dengan Xavi Hernandez berjaya mengubah pandangan itu, dan membawa kelab kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Barcelona baru-baru ini berjaya mengaibkan Real Madrid 4-0 dan mereka juga sudah berjaya mengukuhkan tempat di kedudukan tiga teratas dalam carta saingan La Liga.

Sepertinya mereka sudah sah untuk layak ke saingan Champions League musim hadapan dengan Barcelona pada ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam carta saingan liga.

Barcelona juga berada di peringkat suku akhir saingan Europa League, dengan para peminat sudah tentu sangat berharap agar Xavi akan mampu memenangi pertandingan tersebut.

Melihat kecemerlangan anak-anak buahnya pada ketika ini, tak mustahil untuk melihat Xavi bakal mampu memastikan Europa League di bawa ke Nou Camp.

Penambahan pemain seperti Robert Lewandowski jelas sekali akan sangat membantu Barcelona untuk lebih berjaya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ballon d'Or : Lewandowski Harap Messi Tidak Sembang Kosong