Lima Pemain Terbaik Dalam Saingan La Liga Musim Ini

Saingan La Liga pada awal musim ini tidak dinafikan sangat sengit dan menarik untuk ditonton, dengan ramai pemain yang menunjukkan tahap prestasi yang sungguh menakjubkan.

Permulaan kempen 2021/22 bolehlah dianggap antara yang paling sengit dalam sejarah saingan La Liga, dengan setiap pasukan bertanding menunjukkan daya persaingan yang dasyat.

Selepas mengharungi lapan perlawanan awal dalam saingan musim ini, masih belum ada skuad yang terlalu mendominasi dan boleh dianggap calon Juara.

Bukan satu dua pasukan, tetapi kesemua 10 pasukan yang berada di kedudukan teratas berpotensi sebenarnya untuk mencabar kejuaraan musim ini.

Real Madrid, Atletico Madrid dan Real Sociedad pada ketika ini sedang mendahului saingan liga, dengan kesemua mereka telah berjaya mengumpul 17 mata setakat ini dari lapan perlawanan.

Di kedudukan keempat pula merupakan Sevilla dengan mereka ketika ini sudah berjaya mengumpul 14 mata, dan mempunyai kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Jelas sekali andai mereka berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan seterusnya, maka Sevilla juga akan berada di kelompok teratas dengan mengumpul 17 mata.

Melihat kedudukan Barcelona pada ketika ini, ia jelas mengejutkan ramai pihak dengan mereka pada ketika ini berada di kedudukan kesembilan dalam carta liga.

Gergasi Catalan itu hanya mampu mengumpul 12 mata sahaja dari tujuh perlawanan awal mereka dalam saingan La Liga musim ini.

Lebih parah lagi, Barcelona hanya mampu mencatatkan dua kemenangan sahaja dari lima perlawanan terakhir dalam saingan La Liga.

Perlawanan terakhir Barca dalam saingan La Liga adalah bertemu Atletico Madrid dengan mereka dikejutkan dengan kekalahan 2-0 di Wanda Metropolitano.

Barca juga kerap mencatatkan keputusan seri ketika bertemu pasukan bawahan liga yang mana mereka sepatutnya boleh mengutip tiga mata penuh.

Hal ini menyebabkan saingan La Liga musim ini dianggap antara yang paling sengit dengan ramai pemain yang menonjol selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Dari kesemua pemain yang sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka pada ketika ini, terdapat lima nama yang dianggap paling berprestasi dalam saingan La Liga pada ketika ini.

Berikut merupakan senarai lima pemain yang paling berprestasi dan terbaik dalam saingan La Liga setakat awal musim ini.

1) Karim Benzema – Real Madrid

Bintang Perancis, Benzema berjaya menjaringkan sembilan gol dan turut mencatatkan tujuh assists dari lapan perlawanan awal dalam saingan La Liga musim ini.

Pencapaian beliau juga berjaya menjadikan dirinya sebagai pemain paling berprestasi dan yang terbaik dari yang terbaik pada ketika ini.

Beliau bukan hanya pemain terbaik dalam saingan La Liga, namun Benzema tidak dinafikan merupakan pemain paling berprestasi dalam kesemua lima liga utama Eropah pada ketika ini.

Dengan bantuan dari Vinicius Junior dan Eden Hazard di bahagian hadapan, Benzema berjaya mempamerkan aksi persembahan cukup mantap sepanjang musim ini.

Pemain penyerang Perancis itu merupakan kunci utama sebalik kejayaan Los Blancos pada ketika ini, dengan beliau cemerlang membawa Real Madrid untuk berada di puncak saingan La Liga.

Beliau bukan hanya tajam untuk menjaringkan gol, Benzema juga sangat merbahaya dalam membuka ruang kepada rakan sepasukannya untuk menghasilkan gol.

Masih tidak pasti adakah beliau mampu mengekalkan tahap persembahan yang sama sepanjang musim ini, atau prestasi beliau akan semakin menurun selepas ini.

Namun satu hal yang pasti, Benzema benar-benar sedang berada di rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan juga pemain terpenting dalam sistem kendalian Carlo Ancelloti.

2) Mikel Oyarzabal – Real Sociedad

Mikel Oyarzabal tidak dinafikan sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan beliau berjaya membantu Sociedad untuk berada di kelompok teratas dalam carta La Liga.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu dilihat sangat berkesan di hadapan gol, dengan beliau setakat ini sudah berjaya menjaringkan enam gol dan turut mencatatkan satu assists dari lapan perlawanan.

Pemain berusia 24 tahun itu konsisten memberi masalah serta ancaman ke kubu pasukan lawan, dengan beliau benar-benar mendominasi bahagian sayap dengan sangat cemerlang.

Kemampuan beliau dalam mencari ruang dan membuat larian merbahaya di sudut sebelah kiri berjaya untuk membantu jentera serangan Sociedad.

Oyarzabal juga turut mempunyai kemampuan hantaran yang sungguh menakjubkan dan dengan segala kelebihan yang beliau miliki, tidak dinafikan beliau antara pemain sayap terbaik yang ada dalam saingan La Liga pada ketika ini.

Para peminat sangat teruja untuk terus melihat Oyarzabal membantu Sociedad untuk pergi lebih jauh pada musim ini, dengan beliau sudah membuktikannya dari lapan perlawanan awal ini.

3) Vinicius Junior – Real Madrid

Vinicius Junior sedang menikmati permulaan musim yang terbaik dalam kariernya pada ketika ini, dengan bintang muda Brazil itu berada di kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak saingan La Liga.

Beliau berjaya menjaringkan lima gol, dan pemain penyerang kedua terbaik Real Madrid itu juga turut cemerlang mencatatkan tiga assists setakat ini.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya membentuk gandingan yang sangat mantap bersama Karim Benzema di bahagian jentera serangan Real Madrid.

Kedua-dua mereka berjaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding musim sebelum ini. Kelajuan dan tenaga yang Vinicius miliki membantu beliau untuk dominan di bahagian sayap kiri.

Melihat kepada aksinya pada musim ini, Real Madrid sepertinya sudah tidak perlu memikirkan masalah di posisi tersebut untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Kesemua gol dan assists yang beliau catatkan adalah ketika beraksi dalam enam perlawanan awal saingan La Liga, dengan dua perlawanan terakhir ini, beliau sedikit lemau.

4) Marcos Acuna – Sevilla

Marcos Acuna telah menjadi antara pemain terpenting untuk skuad kendalian Julen Lopetegui dalam saingan La Liga pada musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu turut dianggap sebagai pemain left-back terhebat dalam saingan bola sepak Sepanyol pada ketika ini.

Acuna sangat kental di posisi pertahanan dengan beliau berjaya membantu Sevilla untuk mencatatkan empat clean sheet dari tujuh perlawanan dalam saingan liga.

Kecemerlangan pemain kebangsaan Argentina itu berjaya membantu Sevilla untuk hanya bolos tiga gol sahaja setakat ini.

Barisan pertahanan Sevilla dianggap yang terbaik secara keseluruhannya pada musim ini dengan Acuna menjadi kunci sebalik kejayaan mereka.

5) Jose GImenez – Atletico Madrid

Atletico Madrid merupakan sebuah pasukan yang dianggap paling kental dalam saingan La Liga kerana memiliki pemain pertahanan yang hebat.

Musim ini, ia jelas tiada bezanya dengan musim-musim sebelum ini, dengan Jose Gimenez berjaya mengetuai barisan pertahanan Los Rojiblancos dengan sangat cemerlang.

Skuad kendalian Diego Simeone itu hanya bolos enam gol sahaja dari lapan perlawanan terakhir mereka dalam saingan La Liga, dengan Gimenez memainkan peranan penting sebalik kejayaan tersebut.

Kehadiran Gimenez sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada barisan pertahanan Atletico Madrid, dengan beliau juga sangat bagus dalam perebutan bola di udara.

Gimenez juga mempunyai kemampuan tackle yang cukup menakjubkan dan tidak dinafikan beliau pakar dalam menutup ruang untuk pasukan lawan masuk ke kawasan bahaya.

Dengan Savic dan Hermoso berada di sisi beliau, Gimenez dilihat seperti semakin bagus dan tenang pada musim ini berbanding musim sebelum ini.

Pemain kebangsaan Uruguay itu jelas sekali merupakan antara pemain terbaik Atletico Madrid pada ketika ini, dan beliau bakal menjadi kunci kepada kejayaan kelab musim ini.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Pemain Bola Sepak Terkenal yang Menukar Kerakyatan