Manchester United Digesa Menandatangani Leroy Sane Dari City

Legenda Manchester United mencadangkan agar setan merah mencuba nasib untuk menandatangani Leroy Sane dari persaing sebandar mereka, Manchester City.

Pemain antarabangsa Jerman itu dijangkakan akan meninggalkan Manchester City panda jendela perpindahan musim panas ini selepas menolak tiga tawaran baru dari kelab.

Sane sendiri dalam beberapa musim terakhir ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Negara asalnya untuk beraksi bersama Bayern Munich.

Tetapi legenda Manchester United, Dwight Yorke telah mencadangkan kepada setan merah supaya mencuba nasib mereka untuk mendapatkan khidmat dari Sane.

United kini sering dikaitkan dengan bintang Borussia Dortmund Jadon Sancho tetapi mungkin perpindahan tersebut sukar untuk diteruskan memandangkan kepada nilai beliau yang terlalu tinggi.

Setan merah mungkin boleh mendapatkan Leroy Sane dengan nilai lebih rendah memandangkan kontrak pemain tersebut bakal berakhir pada tahun hadapan.

“United kini mempunyai ramai pemain yang bagus di posisi serangan, pemain-pemain muda mereka luar biasa.”

Jelas Yorke kepada Stadium Astro.

“Ditambah Sancho, saya lebih suka Sane. Sekiranya saya diberi pilihan untuk memilih, saya lebih memilih Sane dari City.”

“Kita tidak mempunyai pemain sayap yang mempunyai kelebihan kaki kiri. Pemain muda seperti Mason Greenwood mula mempamerkan aksi yang menarik tetapi saya lebih memilih Sane.”

“Saya sangat yakin Sane antara pemain yang sangat berkualiti dan pantas antara kesemua pemain yang ada di premier league sekarang dan apa yang penting beliau juga seorang pemain yang sangat berdisiplin.”

“Saya tahu dia juga ada mengalami kecederaan dan sekiranya saya berani serta sekiranya saya pengurus Man United saat ini, Leroy Sane memang antara pemain yang sangat perlu untuk kita dapatkan.”

Yorke kemudian turut menegaskan bahawa memilih Sane berbanding Sancho turut memberi lebih banyak kelebihan kepada United.

Hal ini kerana Sane jelas mempunyai lebih banyak pengalaman beraksi di pentas premier league sehingga berjaya membantu City menjuarai dua kali gelaran liga sejak ketibaannya pada tahun 2016, berbanding Sancho.

“Dia mempunyai lebih banyak pengalaman beraksi di pentas premier league, saya sendiri sudah melihat beliau bermain di hadapan mata, dia jenis pemain yang saya sangat suka.”

“Pemain muda seperti Sancho sudah jelas sedang menguasai nilai pasaran pemain terkini, sudah tentu sukar untuk mendapatkan beliau, jadi mengapa tidak memberanikan diri untuk mendapatkan pemain yang sudah biasa dalam liga ini.”

“Kita cuma perlu bangkitkan semangat dan kembalikan persembahan beliau seperti dahulu. Sane cuma perlu diberikan suntikan semangat untuk beliau kembali.”

Pep Guardiola pada minggu lalu telah mendedahkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu akan meninggalkan Etihad selepas kontrak beliau tamat pada 2021 atau mungkin lebih awal dari itu.

“Leroy sendiri sudah menjelaskan bahawa dia tidak mahu melanjutkan kontraknya. Dia mahu pergi.”

Jelas Pep.

“Ianya akan berlaku sama ada musim panas nanti atau ketika kontraknya sudah tamat nanti.”

“Kelab sudah beberapa kali berbincang dengan Leroy untuk melanjutkan kontraknya. Tetapi dia tetap menolak. Dia mahu bermain bersama pasukan lain.”

“Sekiranya tamat musim ini dan ada pasukan yang mahu mendapatkan beliau maka dia akan pergi, sekiranya tidak maka dia akan bertahan di sini satu tahun lagi dan akan pergi sebaik kontraknya tamat pada 2021.”

BACA:  Hummels: Sane Belum Lagi Capai 'Level' Muller & Ozil Dalam Skuad Jerman