Mane Bakal Jadi Gandingan Baru Ronaldo Di Al Nassr

Sadio Mane dikhabarkan telah membuat pusingan u apabila menukar hasratnya untuk tidak beraksi di Liga Arab Saudi sebelum bersetuju secara lisan untuk menyertai Al Nassr.

Menurut laporan oleh 90 min, bekas penyerang Liverpool itu kini menjadi pemain berprofil tinggi terkini dari Eropah yang akab berhijrah ke negara Timur Tengah.

Mane melalui musim yang mahu dilupakan bersama Bayern Munich selepas berhijrah ke kelab Bavarian itu dari Liverpool pada musim panas lalu, termasuk insiden bertumbuk dengan rakan sepasukan Leroy Sane.

Perkhabaran Mane ke Arab Saudi bukanlah berita baharu apabila pemain itu mulai dikaitkan dengan perpindahan ke Al Nassr sejak Mei lalu.

Pemain yang menjaringkan 12 gol daripada 38 penampilan untuk Bayern pada musim lalu itu bagaimanapun menafikan niat untuk mengikuti jejak langkah Cristiano Ronaldo pada ketika itu.

Steven Gerrard yang dilantik sebagai pengurus di Al Ettifaq turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan Mane.

Tetapi sumber kepada 90min mendedahkan pemain itu kini telah memberi persetujuan untuk beraksi bersama Ronaldo di Al Nassr.

Perpindahan Mane ke Al Nassr dijangka tidak akan mempunyai sebarang masalah kerana Bayern turut terdesak untuk melepaskan pemain itu.

Kelab Bavarian itu bagaimanapun pasrah akan menanggung kerugian dan tidak akan mampu mendapatkan kembali pelaburan £35 juta yang dibayar kepada Liverpool ketika mendapatkan penyerang antarabangsa Senegal itu sebelum ini.

Di pihak Bayern, Mane perlu dilepaskan segera untuk kelab itu menampung kos membawa masuk penyerang Tottenham, Harry Kane di jendela perpindahan musim panas ini.

BACA:  Cristiano Ronaldo Pemain Bola Sepak Pertama Bergelar Billionaire