Mbappe Meraikan Kontrak Barunya Bersama PSG Dengan Mencatat Hat-trick Bertemu Metz

Kylian Mbappe meraikan kejayaan beliau dilantik sebagai pemilik projek sukan PSG dengan mencatatkan hat-trick bertemu Metz dalam aksi saingan Ligue 1 awal pagi tadi.

Pertama kali dalam sejarah yang mana sebuah kelab yang kononnya elite telah menawarkan jawatan pengurusan kepada pemain berusia 23 tahun hanya kerana mahu memujuknya supaya kekal.

Kylian Mbappe turut menerima bonus yang sungguh luar biasa dasyat selepas beliau bersetuju untuk terus kekal bersama Paris Saint Germain.

Hal itu telah diumumkan secara rasmi sebelum aksi sepak mula bertemu Metz dalam aksi terakhir saingan Ligue 1 awal pagi tadi.

Kylian Mbappe meraikan hal tersebut dengan mencatatkan hat-trick untuk membantu PSG menewaskan Metz 5-0.

Ketika ramai yang berteka-teki ke mana destinasi pilihan Mbappe pada musim panas ini, Presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi bersama Mbappe sendiri tampil mengumumkan hal itu.

Mbappe dilaporkan sudah sah menandatangani kontrak baru bersama kelab selama tiga tahun, seterusnya menamatkan rumours yang beliau akan ke Santiago Bernabeu.

Real Madrid sendiri sudah sangat yakin yang Kylian Mbappe akan menjadi pemain mereka pada musim panas ini, namun dek kerana mendapat tawaran yang terlalu dasyat, maka pemenang Piala Dunia itu memilih untuk kekal.

Kylian Mbappe bukan hanya akan terus berkhidmat bersama PSG, beliau bahkan akan turut berkuasa di Parc des Princes sehingga tahun 2025.

Ketika Mbappe bersama Nasser Al-Khelaifi masuk ke padang, para peminat sudah mula bersorak kerana mereka yakin yang akan ada pengumuman baik bakal didengari.

Tidak mungkin Mbappe dan Presiden kelab mahu keluar untuk memberitahu yang beliau akan ke Santiago Bernabeu, sudah tentu berita baik yang akan diumumkan oleh pemilik kelab itu.

Kedua-dua mereka turut memegang jersi yang bernombor 2025 sebagai simbolik kontrak barunya hingga tahun 2025.

Sebaik perlawanan bermula, Mbappe segera membuktikan kemampuan sebenar beliau dan mengapa PSG benar-benar terdesak mahu beliau kekal.

Beliau bahkan turut membuka tirai jaringan pada minit ke-25 permainan untuk Paris Saint Germain yang sudah sah menjuarai saingan Ligue 1 itu.

Mbappe bijak melepaskan diri dari penjaga gol Metz, Marc Aurele Caillard sebelum memastikan bola berakhir dalam jaring gawang gol lawan.

Empat minit selepas itu, Kylian Mbappe berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya, seterusnya membantu PSG untuk mendahului permainan 2-0.

Sebelum tamat aksi babak pertama, Neymar cemerlang menambah satu lagi gol untuk PSG seterusnya mengubah kedudukan menjadi 3-0.

Masuk aksi babak kedua, walau sudah sah bergelar Juara saingan Ligue 1 dan sudah mendahului 3-0, PSG sepertinya tidak mahu memperlahankan rentak permainan mereka.

Lima minit sahaja selepas sepak mula aksi babak kedua, Kylian Mbappe berjaya melengkapkan hat-tricknya dalam perlawanan ini, seterusnya membantu PSG mendahului 4-0.

Beliau tenang memanfaatkan kesilapan dari pemain pertahanan lawan sebelum sekali lagi memperdaya Caillard untuk meledak gol ketiganya dalam perlawanan ini.

Gol tersebut merupakan gol ke-39 beliau sepanjang musim ini dari semua pertandingan dan ia jelas sekali satu rekod yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Di Maria kemudiannya menambah garam pada luka di hati pemain Metz selepas beliau meledak gol kelima PSG dalam perlawanan ini.

Gol itu berkemungkinan akan menjadi gol terakhir Angel Di Maria bersama PSG kerana kontrak beliau bersama kelab akan tamat pada penghujung musim ini.

Beliau kemudiannya turut dikeluarkan pada minit ke-75 permainan, dengan Di Maria turut menangis selepas melihat rakan sepasukannya memberikan guard of honour ketika beliau berjalan meninggalkan padang.

Para penyokong seluruh stadium turut memberikan standing ovation kepada Di Maria dengan bintang Argentina itu dilihat sukar untuk mengawal emosinya.

Walau ia dianggap detik paling dramatik untuk Di Maria, namun harus diakui, semalam adalah hari Kylian Mbappe.

Berjaya mencatatkan hat-trick, sambung kontrak bersama kelab, menerima tawaran gaji luar biasa dasyat dan bakal menjadi pemain merangkap pengarah kelab pada musim hadapan.

Bercakap menjelang sepak mula perlawanan, pemain kebangsaan Perancis itu tampil menyatakan bahawa:

“Saya mahu mengumumkan yang saya memilih untuk menyambung kontrak di Paris Saint Germain, dan sudah tentu saya sangat berbangga.”

“Saya sangat yakin yang di sini saya boleh terus berkembang bersama kelab dan berikan segalanya yang perlu untuk beraksi di tahap tertinggi.”

“Saya juga sangat gembira untuk terus bermain di Perancis, di negara di mana saya dilahirkan, di mana saya membesar dan di mana saya mula mencipta nama saya.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  [VIDEO]'Rainbow Flick' Dari Neymar Yang Hampir Hasilkan Gol Bertaraf Puskas