Mehmet Bangga Dengan Semangat Juang Anak Buah Ketika Tumpaskan Terengganu

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 sudah pasti lebih meriah berbanding tahun-tahun lalu kerana menemukan dua pasukan yang sudah agak lama tidak mara ke final dan keterujaannya pasti lebih.

Lihat sahaja isu tiket dan kesempatan diambil ulat sehingga harg tiket melambung sehingga RM150 sekeping yang membuatkan Yahudi menggaru kepala melihat harga itu.

Perak kali terakhir mendakap Piala Malaysia pada edisi tahun 2000 iaitu 18 tahun yang lalu dan itu merupakan Piala Malaysia ketujuh didakap Perak selepas melakukannya pada tahun 1926, 1931, 1957, 1967, 1970 dan 1998.

Manakala Terengganu menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun 2001 dengan menumpaskan Perak 2-1. Itu merupakan satu-satunya gelaran Juara Piala Malaysia diraih Terengganu setakat ini.

Perak terpaksa berjuang sehingga ke titisan peluh yang terakhir sebelum dapat menjulang trofi Piala Malaysia 2018 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas 120 minit permainan.

Ia merupakan final yang akan kekal di ingatan peminat bola sepak tanah air buat satu tempoh yang lama kerana ia mempunyai segala-galanya. Dari kontroversi pengadil sehingga gol sendiri pada waktu kecederaan, Piala Malaysia membuktikan statusnya sebagai kejohanan terulung di Malaysia sejak diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1921.

Mehmet hanya mampu memuji semangat anak buahnya yang tidak pernah kenal erti putus asa

Sebelum perlawanan bermula, Perak dan Terengganu dilihat mempunyai peluang sama rata dengan kedua-dua pasukan pernah bertembung ketika peringkat kumpulan. Terengganu berjaya menjinakkan Perak di Ipoh tetapi dalam perlawanan di Kuala Terengganu, giliran Perak pula menjinakkan pasukan tuan rumah.

Perlawanan final Piala Malaysia edisi kali ini telah berlangsung di Stadium Shah Alam sambil disaksikan lebih 90,000 peminat yang memenuhi segenap ceruk stadium, sehingga ada penyokong yang memanjat bumbung stadium.

Terengganu bermula garang dengan menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Kipre Tchetche yang bijak menghidu kesilapan yang dilakukan pemain pertahan Perak, Idris Ahmad.

Satu lagi kesilapan dari penjaga gol Perak, Hafizul Hakim pada penghujung babak pertama menyebabkan Perak ketinggalan 2-0 sebelum rehat separuh masa. Kipre sekali lagi menjadi hero skuad Penyu apabila mudah menolak masuk bola yang gagal disepak baik oleh Hafizul.

Hafizul Hakim tebus kesilapan awal dengan menepis dua sepakan penalti Terengganu

Babak kedua bermula dengan Perak melancarkan serangan bertali arus. Hasilnya, skuad Seladang berjaya memperolehi gol pertama menerusi Firdaus Saiyadi. Separuh masa kedua berlangsung dalam keadaan panas yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan kad merah kepada Gilmar dan Lee Tuck.

Serangan bertali arus Perak akhirnya membuahkan hasil apabila bekas pemain Kelantan, Brendan Gan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung babak kedua. Stadium meletup dengan sorakan penyokong Perak manakala penyokong Penyu terduduk diam mengenang nasib mereka yang malang.

Perlawanan memasuki masa tambahan dan kali ini giliran pemain kecik molek Terengganu, Faiz Nasir mencatat nama selaku penjaring melalui jaringan cantik dari bucu kotak penalti.

Disaat perlawanan memasuki minit ke-120, satu hantaran dari sebelah kanan padang gagal ditahan dengan baik pemain pertahanan Terengganu, Igor Zonjic yang menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri. Sekali lagi stadium meletup dengan sorakan ‘Kejor Yop Kejor’ manakala ada penyokong Terengganu yang terduduk seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dan perlawana terpaksa dibawa ke penentuan sepakan penalti. Seperti dijangka, moral pemain pemain Terenganu yang jatuh teruk menyebabkan mereka gagal menyempurnakan dua sepakan penalti awal.

Hafizul berjaya menebus kesilapan gol kedua Terengganu dengan menepis dua sepakan penalti Terengganu untuk diangkat menjadi hero perlawanan. Perak menang 4-1 penentuan sepakan penalti seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia 2018.

Ketika berucap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, jurulatih Perak Mehmet Durakovic hanya mampu memberi pujian kepada para pemainnya kerana tidak pernah kenal putus asa walaupun pada satu masa Terengganu sangat hampir untuk membawa pulang trofi Piala Malaysia tahun ini.

CHAMPION. Perak, Juara Piala Malaysia 2018

“Perlawanan ini akan masuk dalam catatan sejarah. Untuk bangkit dari kedudukan 2-0 dan juga ketika kedudukan 3-2, pemain-pemain saya tidak pernah menyerah kalah. Mereka wajar diberi pujian.”

“Saya cuma jurulatih, para pemain yang bekerja keras di atas padang. Saya sangat gembira melihat pemain dan keluarga, penyokong, seluruh staff dan juga keluarga saya.”

“Pada rehat separuh masa, saya hanya beritahu mereka supaya percaya pada diri sendiri. Kesilapan memang akan berlaku dalam bola sepak tetapi ia perlu dilupakan secepat mungkin dan kembali bermain.”

“Saya tidak boleh minta lebih lagi dari pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya. Walaupun ketika bermain 10 orang, saya tahu pemain saya akan terus berjuang.”

“Mereka bermain mengikut perancangan dan berhak menerima kejayaan ini.”

BACA:  Final Piala Malaysia 2022: JDT 2-1 Selangor