Mengapa Atlet Terjun Cari Shower Selepas Keluar Kolam?

Terdapat banyak aspek dalam dunia sukan yang tidak semua orang akan faham dan bakal membuatkan mereka bingung memikirkan hal-hal tersebut.

Apa lagi untuk mereka yang langsung tak faham dan minat dengan sukan, tetapi kebetulan menonton acara sukan tersebut di temasya seperti Olimpik ini.

Satu hal yang sering menjadi isu dan persoalan di kalangan mereka-mereka ini adalah berkait acara terjun, yang mana atlet selepas melakukan terjunan, akan terus pergi ke air pancut terlebih dahulu.

Hal itu sering menimbulkan persoalan di kalangan peminat yang merasakan mereka sudah mandi, mengapa perlu mandi lagi? Mengapa tidak sekadar mengelap badan masing-masing menggunakan kain?

Ya, persoalan itu sering timbul, mengapa tidak mereka mendapatkan kain yang hangat atau secawan kopi panas berbanding terus pergi mandi sekali lagi di air pancut di tepi kolam.

Hakikat yang sebenarnya, air pancut tersebut merupakan air panas dan sudah menjadi kewajipan untuk setiap penerjun pergi memanaskan badan sebaik mereka keluar dari kolam.

Sebenarnya ada alasan mengapa mereka mengamalkan hal tersebut, dan ia bertujuan untuk menjaga keselamatan atlet dan mengelak mereka dari ditimpa kecederaan.

Tujuan utama para atlet perlu mandi air panas itu adalah untuk melindungi dan memastikan otot mereka berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi setiap terjunan mereka selepas itu.

Setiap penerjun akan membuat beberapa terjunan dalam sesebuah pertandingan itu, dan mereka perlu menunggu kesemua penerjun selesai terjun sebelum beralih ke pusingan seterusnya.

Dek kerana tempoh waktu untuk setiap atlet menghabiskan terjunan itu agak lama, ia sangat penting untuk para atlet memastikan otot mereka sentiasa hangat dan bersedia untuk kembali melakukan terjunan.

Adalah sangat tidak bagus buat seseorang itu keluar dari kolam dan terus berada di kawasan terbuka yang sejuk untuk cool down dan mengulang semula rutin tersebut hingga tamat pertandingan.

Jadi dengan mereka terus mendapatkan air panas, secara tidak langsung para atlet telah menjaga otot mereka supaya sentiasa hangat dan bersedia.

Ia juga bertujuan untuk mengurangkan risiko para atlet mengalami kekejangan yang tentunya akan membawa kesan yang sangat tidak baik untuk para penerjun meneruskan acara tersebut.

Bercakap kepada New York Times pada tahun 2008 yang lalu, penerjun Canada, Arturo Miranda telah menyatakan bahawa:

“Shower itu sangat panas, dan ia akan memastikan badan kamu sentiasa dalam keadaan hangat.”

“Kamu seharusnya memastikan suhu badan kamu sentiasa dalam keadaan yang panas, jadi otot kamu secara tidak langsung bersedia untuk terus berfungsi.”

Kristin Wingfield, yang juga merupakan seorang bekas atlet penerjun dari Canada, dan kini telah bekerja sebagai doktor dalam bidang sukan di San Francisco, telah menyatakan bahawa:

“Ia akan menjadi rutin kebiasaan.”

“Kamu akan berlari ke shower untuk memastikan otot kamu sentiasa hangat.”

Bengt Saltin, salah seorang professor berkait fisiologi manusia di Copenhagen Universiti, yang juga merupakan pakar tentang bagaimana otot berfungsi telah menyatakan:

“Pemanasan secara pasif merupakan salah satu cara untuk pastikan otot kamu segar ketika kamu mahu mula untuk beraksi.”

Selain shower, terdapat juga arena yang menyediakan jakuzi untuk para atlet gunakan ketika mereka menanti giliran untuk melakukan terjunan.

Bercakap kepada Aqua Magazine pada tahun 2012 yang lalu, jurulatih athletic, Ralph Reiff telah menyatakan bahawa ia merupakan cara yang mudah untuk memanaskan badan.

“Ia sebenarnya tidak ada perbezaan dengan acara padang dan balapan, yang mana para atlet akan memakai sweater dan kemudian berjoging keliling padang.”

“Ia sangat membantu untuk memastikan otot dia berada dalam keadaan baik dan ia jelas merupakan salah satu rutin yang wajib diamalkan.”

Sukan terjun menjadi sukan yang terkenal di negara ini memandangkan ramai atlet berbakat yang sudah mengharumkan nama negara menerusi sukan ini.

Selain badminton dan berbasikal, sukan terjun juga merupakan salah satu prospek untuk atlet Malaysia mendapatkan pingat.

Senyuman Dhabitah mampu ceriakan bumi yang sedang berduka

Semalam Malaysia hampir saja menambah koleksi pingat gangsa kedua selepas regu badminton memenangi pingat gangsa pertama sehari sebelum itu.

Dhabitah Sabri sudah melakukan yang terbaik dan turut mempamerkan persembahan yang sungguh menakjubkan.

Beliau berada di kedudukan keempat, 17 mata sahaja dipisahkan dari kedudukan pingat gangsa. Walau bagaimanapun, di usia masih muda, ramai peminat yakin beliau akan bawa pulang pingat di temasya akan datang.

Sumber: SB

BACA:  Thompson-Herah Cipta Sejarah Baru Dalam Sukan Olimpik