Thompson-Herah Cipta Sejarah Baru Dalam Sukan Olimpik

Elaine Thompson-Herah berjaya mencipta sejarah baru dalam temasya Sukan Olimpik selepas kejayaannya memenangi pingat emas acara 200m wanita.

Pelari pecut Jamaica, Thompson-Herah berjaya menuju ke garisan penamat sebagai wanita kedua terpantas sepanjang zaman dengan catatan masa 21.53 saat.

Beliau berjaya menewaskan pesaing terdekatnya, Namibia Christine Mboma, individu yang berjaya mencipta rekod dunia (junior) 21.81 saat.

Atlet berusia 18 tahun itu sebenarnya merupakan atlet untuk acara 400m, namun kerana gagal menepati peraturan ‘Difference of Sexual Development’ (DSD) beliau hanya dibenarkan untuk beraksi dalam acara 200m.

Peraturan DSD ini mula diperkenalkan selepas Olimpik Rio, namun begitu, apa maksud sebenarnya Difference of Sexual Development ini?

Seorang DSD atau inteseks atlet merupakan atlet perempuan yang mempunyai level testosterone menyamai lelaki dan mempunyai keupayaan untuk menggunakan testosterone dalam peredaran badan mereka.

Gabrielle Thomas pula berjaya memenangi pingat gangsa dalam perlumbaan ini selepas beliau sampai ke garisan penamat dengan catatan masa 21.87 saat.

Walaupun sekadar memenangi pingat gangsa, namun ia sudah cukup untuk menggembirakan atlet Amerika Syarikat yang ketika ini berusia 24 tahun itu, kerana ini merupakan debutnya dalam temasya Sukan Olimpik.

Thompson-Herah berjaya memenangi pingat emas kedua beliau di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini selepas beliau sebelum ini turut memenangi pingat emas acara 100m.

Nama Thompson akan kekal dalam sejarah sebagai atlet wanita pertama memenangi emas berganda dalam dua temasya berturut-turut

Kejayaan beliau memenangi kedua-dua acara ini menjadikan beliau atlet wanita pertama yang berjaya mempertahankan pingat emas acara 100m dan 200m dalam dua temasya Sukan Olimpik.

Selain Thompson-Herah, rakan senegaranya, Usain Bolt juga merupakan individu yang mampu untuk melakukan hal yang sama dalam kategori lelaki.

Atlet berusia 29 tahun itu jelas sekali merupakan manusia terpantas dalam acara 200m di temasya Olimpik kali ini, beliau mara ke peringkat separuh akhir dengan catatan masa 22.86 saat.

Beliau kemudiannya mencatatkan catatan masa yang lebih baik di peringkat separuh akhir dengan merekodkan 21.66 untuk mara ke peringkat akhir sebagai pemegang masa terpantas.

“Jujurnya saya sekarang perlu tidur, saya tidak tidur sejak acara 100m, jujur badan saya dalam keadaan terkejut, tapi saya masih mempunyai ketenangan untuk teruskan hari ini.”

“Saya tahu catatan masa saya tak akan pantas, kerana semalam kami lari dua pusingan, yang mana saya menggunakan banyak tenaga untuk itu, saya berjaya menyamai catatan terbaik saya semalam. Jadi untuk hadir dan memecahkan rekod kebangsaan dan menjadi pemenang Olimpik berganda sudah cukup menggembirakan saya.”

“Saya tak sabar nak ke garisan penamat, tapi kamu perlu gunakan segala teknik untuk sampai. Saya tahu nenek saya tengah meraikan kejayaan saya sekarang.”

“Ia merupakan satu rasa yang sangat hebat untuk ada dalam lipatan sejarah, untuk menetapkan standard kepada generasi seterusnya, kerana akan lebih ramai atlet dari Jamaica selepas ini, ia sangat bermakna untuk saya kerana dapat menetapkan standard ini.”

Para peminat di media sosial turut memberikan pujian yang menggunung pada Thompson-Herah atas kejayaan penuh bersejarah itu.

Para peminat bahkan menganggap Thompson sebagai salah seorang pelari pecut wanita terhebat sepanjang zaman.

Beliau bahkan turut dibandingkan dengan rakan senegaranya, Usain Bolt yang memenangi pingat emas acara 100m dan 200m di temasya Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Pakar penyelidik Olimpik, Alex Azzi turut kagum dengan pencapaian Thompson-Herah dengan beliau telah menyatakan bahawa:

“Wow!”

“Tujuh orang atlet wanita pernah memenangi emas acara 100m dan 200m di satu temasya Olimpik yang sama, tapi Thompson-Herah melakukannya di dua temasya berbeza secara berturut-turut.”

“Hanya seorang lelaki yang berjaya mencapai tahap sama seperti itu, Ya. Dia adalah Usain Bolt.”

Sumber: GMS

BACA:  Mensah-Stock Jadi Tokoh Inspirasi Atlet Amerika Syarikat