Mesut Ozil Disingkirkan Dari Skuad Fenerbahce Berkuatkuasa Serta Merta

Mesut Ozil bersama bintang kebangsaan Turki, Ozan Tufan telah disingkirkan dari skuad utama Fenerbahce berkuat kuasa serta merta.

Gergasi saingan Super Lig itu telah mengeluarkan kenyataan pada petang semalam, untuk mengesahkan yang bekas bintang Arsenal, Ozil tidak akan bermain untuk Fenerbahce lagi di masa hadapan.

“Pemain dari kelab bola sepak kami, Mesut Ozil dan Ozan Tufan telah disingkirkan dari skuad berkuat kuasa serta merta. Hal ini kami dedahkan kepada umum untuk pengatahuan penyokong.”

Ozil telah diturunkan ketika aksi kemenangan 2-1 Fenerbahce bertemu Konyaspor dengan beliau ketika itu beraksi sebagai ketua pasukan.

Ozil walau bagaimanapun telah di bawa keluar pada aksi babak kedua permainan dalam perlawanan tersebut.

Alasan sebenar tentang mengapa Fenerbahce memutuskan untuk menyingkirkan Ozil dan Tufan masih belum diumumkan secara rasmi sehingga sekarang.

Menurut laporan dari media Turki, Aksam, Ozil dikatakan tidak cukup cergas dari segi fizikal dan bergelut dengan intensiti dalam perlawanan terakhir bertemu Konyaspor minggu lalu.

Beliau pada musim ini telah terlepas lapan perlawanan pada tahun 2022 ini dek kerana masalah sakit belakang.

Ozil menyertai Fenerbahce pada Januari 2021 selepas beliau diketepikan dari skuad Arsenal yang dikendalikan oleh Mikel Arteta.

Ozil mula diketepikan selepas beliau terlalu lantang bersuara untuk membela nasib suku kaum Uighur di China dan menyebabkan beliau dihentam teruk oleh pelbagai pihak.

Kelab sendiri sama sekali tidak menyebelahi beliau, dengan Arsenal bahkan mengetepikan Ozil dari bermain sebarang perlawanan untuk kelab.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Jerman itu merupakan penerima gaji tertinggi kelab, namun nama beliau disingkirkan dari skuad utama Premier League dan Europa League sebelum beliau akhirnya meninggalkan Emirates.

Arsenal kononnya mengatakan yang Ozil tak sehaluan dengan bekas rakan sepasukannya yang ketika ini merupakan pengurus Gunners, Mikel Arteta.

Namun kenyataan sebenarnya semua tahu apa punca Arsenal melepaskan Ozil untuk sertai Fenerbahce pada ketika itu.

Bersama Fenerbahce, Mesut Ozil memulakan kariernya dengan sangat baik dan beliau turut menjadi antara nadi terpenting kelab.

Pada musim ini, beliau telah berjaya menjaringkan lapan gol dan turut mencatatkan 2 assists dari 22 penampilan dalam saingan liga.

Sementara Tufan pula beliau baru sahaja kembali sertai Fenerbahce pada Februari lalu, selepas menghabiskan masa sebagai pemain pinjaman dalam saingan Premier League.

Pemain midfield itu menghabiskan separuh musim bersama Watford sebagai pemain pinjaman namun selepas dua kali kelab menukar pengurus, beliau memilih untuk kembali ke kelab asalnya.

Ketika artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang maklumat lanjut tentang mengapa Ozil dan Tufan disingkirkan dari pihak kelab.

Satu hal yang pasti, Fenerbahce sendiri sememangnya sudah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mereka telah menyingkirkan kedua-dua pemain tersebut.

Sebelum ini, kelab bola sepak milik manusia terkaya Indonesia Raffi Ahmad dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Mesut Ozil.

Mungkin dengan keputusan Fenerbahce melepaskan beliau, ia bakal memberi ruang kepada pelakon, pengacara, youtuber dan ahli perniagaan terkenal Indonesia itu untuk membawa Ozil ke bumi Indonesia.

Dari segi ekonomi, jelas sekali Raffi Ahmad tidak berdepan masalah untuk mendapatkan khidmat Ozil, namun semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri sama ada beliau mahu atau tidak untuk berkelana jauh ke Asia bagi meneruskan kariernya.

Seandainya Raffi Ahmad benar-benar membawa Ozil untuk sertai kelabnya, adakah ia satu keputusan yang baik? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Boateng Kecam Pihak Yang Mengkritik Ozil Berikutan Prestasi Hambar Jerman