Mourinho Anggap Deschamps Punca Kekalahan Perancis Di Tangan Switzerland

Jose Mourinho telah mengenal pasti masalah dan kesilapan terbesar yang dilakukan oleh Didier Deschamps ketika kekalahan di tangan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti semalam.

Beliau menganggap Deschamps adalah punca sebenar mengapa Perancis tersingkir dari saingan Euro 2020.

Switzerland terlebih dahulu mendahului perlawanan selepas Haris Seferovic membuka tirai jaringan pada aksi babak pertama permainan.

Babak pertama berakhir dengan Switzerland mendahului Perancis namun ketika masuk aksi babak kedua permainan, skuad kendalian Didier Deschamps itu berjaya melakukan aksi comeback.

Karim Benzema berjaya meledak dua gol dalam masa yang singkat untuk membantu Perancis mendahului permainan dengan keputusan 2-1.

Bintang Manchester United, Paul Pogba kemudiannya berjaya menewaskan Yann Sommer dengan menjaringkan gol yang cukup padu dan menakjubkan untuk meletakkan Perancis 3-1 di hadapan.

Walau bagaimanapun, dalam 10 minit terakhir, Perancis dikejutkan dengan comeback semula dari Switzerland yang berjaya mengejar mereka untuk menamatkan aksi 90 minit dengan keputusan 3-3.

Seferovic dan Mario Gavranovic menjadi wira kebangkitan Switzerland dengan menjaringkan gol yang membawa Perancis untuk beraksi ke masa tambahan.

Keputusan terikat 3-3 kekal sehingga tamat aksi masa tambahan dengan pemenang akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pogba, Olivier Giroud, Marcus Thuram dan Presnel Kimpembe masing-masing berjaya menyempurnakan tugas mereka dengan cemerlang ketika sesi penentuan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, tendangan Kylian Mbappe berjaya diselamatkan oleh Yann Sommer seterusnya memberikan kemenangan yang begitu bermakna kepada Switzerland.

Mbappe tentunya kecewa dengan hal tersebut memandangkan beliau merupakan nadi penting dan juga pemain harapan untuk skuad Perancis.

Bercakap selepas tamat perlawanan yang memperlihatkan tersingkirnya Perancis dari saingan Euro 2020, Mourinho telah menegaskan bahawa Deschamps telah melakukan kesilapan terbesar selepas mengeluarkan Antoine Griezmann dan memasukkan Moussa Sissoko pada penghujung aksi babak kedua permainan.

Pengurus berasal Portugal yang ketika ini berusia 58 tahun itu mengakui bahawa beliau memikirkan kesalahan seperti itu berulang-ulang kali terutama ketika perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan.

Mourinho telah mendedahkan kepada talkSPORT bahawa:

“Saya percaya Perancis telah terlebih bergembira, yang mana dalam bola sepak saya rasa kamu harus ada bola sepak selepas perlawanan, bukan ketika perlawanan. Mereka bergembira terlalu awal.”

“Mereka bermain dengan sangat hebat, cara bagaimana mereka mengubah keputusan perlawanan, menakjubkan, gol pertama Benzema mengagumkan, gol ketiga Pogba luar biasa. Tapi apa pun saya rasa mereka bergembira terlalu awal.”

“Saya juga percaya Deschamps telah melakukan satu kesilapan yang membuatkan saya berfikir hal tersebut berulang-ulang kali.”

“Ketika kamu dalam satu perlawanan yang berkemungkinan akan dilanjutkan ke masa tambahan, kamu perlu lebih berhati-hati terhadap pertukaran yang kamu buat.”

“Ketika kamu menukar pemain pada minit ke-89 dan kamu keluarkan salah seorang pemain terbaik kamu, Griezmann, yang telah bermain dengan sangat baik, dan kamu tukarkan Griezmann kepada Sissoko.”

“Jika ini perlawanan yang mengutip mata tanpa ada masa tambahan, saya rasa ia tiada masalah. Tetapi ketika ada kemungkinan untuk perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan, ia merupakan perlawanan yang besar, kerana jika kamu membuat pertukaran, kemudian mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-91 atau 92, kamu perlu bermain di masa tambahan, itu keputusan bunuh diri kerana kamu sudah keluarkan Griezmann untuk situasi penting seperti itu.”

“Ketika perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan, kamu tak tahu tentang situasi tidak baik, seperti Benzema tiba-tiba mengalami kecederaan dan kamu sudah hilang dua penyerang utama skuad.”

“Dan ketika masa tambahan berlangsung semua orang tahu Perancis tidak mampu untuk menang kerana mereka tiada kekuatan untuk lakukan itu.”

“Saya rasa dalam hal seperti ini, Deschamps sendiri sedar yang dia sudah buat silap, yang mana kesilapan itu boleh berlaku pada sesiapa sahaja antara kita, tapi pengalaman seperti ini sangat membantu.”

“Ketika kamu merasakan yang perlawanan boleh dilanjutkan sehingga ke masa tambahan, janganlah kamu keluarkan pemain terbaik yang kamu ada.”

Deschamps ketika temu bual selepas tamat perlawanan, beliau mendedahkan yang Mbappe benar-benar terkesan dengan kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Pengurus berusia 52 tahun itu menyatakan bahawa:

“Tidak ada yang boleh marah dengan dia. Ketika seseorang pemain itu sanggup memikul tanggungjawab tersebut, hal seperti ini boleh berlaku. Dia jelas sekali terkesan dengan hal tersebut.”

LIoris sendiri menegaskan yang tidak perlu menyalahkan sesiapa dalam hal tersebut dengan beliau mahu semua pihak bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.

“Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama.”

Macam Ola bola bukan? Tapi memang itulah apa yang dikatakan oleh LIoris berkait kekalahan Perancis di tangan Portugal awal pagi tadi.

“Kita semua bertanggungjawab jawab atas kegagalan ini. Tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan.”

Mbappe kemudiannya turut memuat naik status di laman twitter miliknya untuk meminta maaf kepada para peminat atas kegagalannya itu.

“Saya mintak maaf atas penalti ini, saya mahu membantu pasukan tapi saya gagal.”

“Mesti sukar untuk saya lelapkan mata, tapi sayangnya inilah risiko yang perlu saya ambil dalam dunia sukan yang sangat saya cintai ini.”

“Saya tahu kamu peminat semua tentu kecewa, tapi saya tetap ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan kamu semua dan terima kasih kerana sentiasa mempercayai kami.”

“Apa yang penting kami berjanji untuk kembali bangkit dan menjadi lebih baik di masa akan datang.”

Legenda bola sepak, Pele juga turut memuat naik status di laman twitter untuk memastikan Mbappe tidak begitu terkesan dengan kesilapannya dan mahu bintang muda itu terus bangkit.

Legenda Brazil yang kini berusia 80 tahun itu menulis:

“Terus bangkit semula Kylian! Esok merupakan hari pertama untuk perjalanan yang baru, @KMbappe.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Mourinho Gembira Dengan Kemenangan United Walaupun Pemainnya Melakukan Banyak Kesilapan