Neville: Kritikan Terhadap Sterling ‘Menjijikan’, Berhak Dapat Lebih Kredit

Bekas pemain antarabangsa England, Gary Neville percaya kritikan yang diterima Raheem Sterling di laman sosial ketika rehat separuh masa pertama sebagai ‘menjijikkan’ dan tidak berasas.

Gol dari pemain pertahanan Leicester City, Harry Maguire dan bintang Spurs, Dele Alli sudah cukup untuk England mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sweden seterusnya menghantar Three Lions ke peringkat separuh akhir sejak tahun 1990.

Walaupun England beraksi cemerlang untuk layak ke separuh akhir, Sterling menerima kritikan kerana gagal bermain di tahap sebenar

Sterling sering menjadi mangsa peminat England yang krikal berikutan persembahan ala kadar beliau dalam pasukan England sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung. Ramai yang mahu Southgate menurunkan Marcus Rashford atau Jamie Vardy bermain di posisi Sterling berikutan sumbangan pemain Manchester City itu yang tidak seberapa.

Walaupun demikian, Neville percaya larian yang dilakukan Sterling di belakang pertahanan Sweden merupakan aspek yang penting dalam membantu England mencatat kemenangan, cuma beliau tidak bernasib baik gagal menjaringkan gol.

“Layanan yang diterima Sterling pada rehat separuh masa pertama di laman sosial amatlah menjijikkan, dan tidak berpatutan dengan apa yang telah dipamerkan Sterling.”

Sterling terlepas peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0

“Beliau melakukan larian di belakang Granqvist [pemain pertahana Sweden], dan melakukannya berulang-ulang kali. OK, mungkin beliau gagal menjaringkan gol tetapi beliau telah mempamerkan persembahan yang cukup cemerlang.”

Selepas dipaksa berhempas pulas oleh Colombia pada perlawanan sebelum ini, England tampil dengan persembahan lebih tersusun menentang Sweden dan hasilnya mereka tidak memerlukan penentuan sepakan penalti untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Bekas pemain Manchester United yang kini bekerja sebagai penganalisa bola sepak di Sky Sports itu turut berpendapat skuad England kali ini merupakan skuad yang paling tersusun sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan memuji persembahan Jordan Pickford, John Stones, Jordan Henderson dan Harry Kane.

“Sangat mengagumkan dan luar biasa. Saya boleh katakan sepanjang 25 tahun kebelakangan ini, apabila England sedang mendahului kita akan bermain lebih ke bawah untuk melindungi kelebihan itu, dan apabila kita sedang kalah, seluruh pasukan bermain dalam cara yang terdesak.”

England akan bertemu Croatia awal pagi Jumaat nanti untuk merebut satu slot di final

“Walaubagaimanapun, pasukan ini telah menunjukkan perkara yang sebaliknya. Dalam setiap perlawanan England yang saya lihat dalam kejohanan ini, mereka bermain dalam cara yang terkawal dan tersusun.”

“Ketika bertemu Colombia, ia merupakan persembahan yang sempurna sehingga minit ke-90. Ya, mereka melepaskan satu gol dan hilang arah selama 10 minit selepas itu, tetapi mereka kembali mengawal perlawanan tidak lama kemudian.”

“Ia merupakan persembahan paling matang dan tenang yang pernah saya lihat dari pasukan England. Saya tidak pernah melihat persembahan setenang ini dari pasukan England.”

BACA:  Pemain England Bakal Berkongsi Bonus RM70J Jika Muncul Juara Euro