Neville Bidas Tindakan Kurang Cerdik Antony Yang Koyak Terhadap Doku

Gary Neville tidak teragak-agak membidas penampilan singkat Antony dalam perlawanan derbi Manchester pada malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut Manchester City dengan mudah menewaskan seteru setempat Manchester United 3-0 di Old Trafford, hasil dua jaringan Erling Haaland pada setiap babak perlawanan.

Ketika perlawanan masih berbaki 10 minit menuju masa tamat sebenar, giliran Phil Foden menamatkan riwayat Setan Merah dengan jaringan ketiga perlawanan.

Kekecewaan yang menyelubungi Old Trafford selepas itu boleh difahami, dan ia turut dicemari insiden pada masa kecederaan oleh Antony.

Pemain dari Brazil itu dimasukkan sebagai pemain gantian dilihat sengaja menampilkan aksi kasar terjadap Jeremy Doku pada minit ke-92 perlawanan.

Ketika pemain muda Belgium itu tampil mempersoalkan tindakan pemain tuan rumah itu, Antony dengan koyaknya menampar tangan Doku.

Antony dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana tindakannya itu, tatkala netizen rata-rata berpendapat kad merah seharusnya diberikan kepada pemain itu.

Turut kecewa dengan sikap Antony adalah Gary Neville, bekas bek kanan United yang bertugas sebagai pengulas untuk Sky Sports untuk perlawanan tersebut.

“Antony jelas menyepak Doku. Man Utd kehilangan disiplin mereka dan semua itu berpunca daripada kapten mereka.

“Ia tindakan yang menjengkelkan dan memalukan daripada Antony. Kalau saya pengadil, saya akan layangkan kad merah.

“United jelas hilang di babak kedua. Separuh daripada penyokong mereka sudah meninggalkan stadium kerana menyedari apa yang berlaku.”

Kemenangan tersebut meletakkan City di kedudukan ketiga, manakala United terperosok di kedudukan kelapan – lapan mata perbezaan untuk tempat ke Champions League musim hadapan.

United akan melayan Newcastle di Old Trafford di pertandingan Piala Carabao selepas ini, sebelum bertandang ke Craven Cottage bertemu Fulham untuk saingan Premier League.

Pada masa yang sama City akan melayang Bournemouth di tempat sendiri di dalam aksi Premier League sebelum mengalihkan fokus menentang Young Boys di pentas Champions League.

BACA:  Mikel Arteta Calon Pilihan Gantikan Tempat Arsene Wenger