Pandangan Sudut Taktikal Pecutan Ronaldo Yang Mencipta Rekod Larian Terpantas Euro

Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, tidak bernasib baik apabila pasukannya Portugal tewas berat 4-2 kepada juara Euro 1996, Jerman, dalam perlawanan di Stadium Allianz Arena semalam.

Penyerang lagenda tersebut membuka jaringan seawal minit ke-15, apabila dia memulakan dan menyudahkan gerakan serangan balas yang padu.

Bagaimanapun, dua gol sendiri yang pantas daripada pemain pertahanan Ruben Dias dan Raphael Guerreiro, mengubah rentak perlawanan sekaligus menyaksikan Jerman tampil mendahului 2-1 ketika masa rehat.

Selepas separuh masa kedua dimulakan, Kai Havertz tidak menunggu lama untuk meletakkan Jerman lebih selesa di depan, sebelum Robin Gosens dengan selambanya meletakkan Jerman mendahului 4-1 ketika perlawanan memasuki minit ke-60.

Adik angkat Ronaldo, Diogo Jota, merapatkan jurang pada minit ke-75 selepas menjaringkan gol hasil daripada aksi akrobatik cantik Ronaldo ketika dia mengawal bola.

Portugal cuba mengasak gol Jerman selepas itu namun gagal menambah sebarang jaringan dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.

Perlawanan tersebut boleh dikatakan sebagai perlawanan Euro 2020 yang paling menarik setakat ini kerana bukan sahaja gol yang banyak dihasilkan, tetapi juga aksi kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan.

Menariknya, aksi Ronaldo sebelum menjaringkan gol pertama telah menarik perhatian ramai dan seperti biasa, Ronaldo akan dipuji dan disanjung.

Apa yang berlaku?

Pasukan Jerman berjaya mendapatkan tendangan sudut, dan diambil oleh pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos yang kemudiannnya melencongkan bola ke dalam kotak penalti Portugal.

Ketika pemain Jerman seakan segan untuk mencabar bola, Ronaldo melompat tinggi dan menanduk bola ke luar kotak penalti dan disambut baik oleh bintang Manchester City, Bernardo Silva.

Tanpa melengahkan masa kerana masa itu emas, Ronaldo terus memecut laju ke atas untuk melakukan serangan balas, ketika bola masih di kaki Silva.

Silva kemudiannya melambung bola kepada Jota yang berada di sebelah kiri padang. Bola disambut dengan kemas oleh Jota, yang kemudiannya mengawal bola dengan kemas seketika lalu membuat cut-back kepada Ronaldo di dalam kotak 6-ela penalti Jerman.

Dengan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, sudahpun termati langkah daripada gerakan Jota tersebut, Ronaldo dengan mudah menolak masuk bola ke gawang meskipun cuba dicabar oleh pertahanan Jerman.

Nampak biasa, kan?

Gol tu nampak biasa tetapi apa yang berlaku sebelum tu luar biasa.

Pecahan detik pecutan Ronaldo

Tempoh masa yang diambil untuk serangan balas tersebut, bermula daripada tendangan sudut Kroos, adalah selama 17 saat sahaja!

Yang tambah menariknya adalah pecutan Ronaldo dari kotak penaltinya sendiri sehingga ke kotak penalti Jerman mengambil masa selama 14 saat, dan kelajuan yang direkodkan penyerang Juventus ini adalah 32km/j!

Laju tu sobat!

Ramai peminat bola sepak yang meracau apabila penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe merekodkan kelajuan 36km/j dalam perlawanan menentang Marseille awal musim lalu, dan kali ini, reaksi sama juga berlaku di kalangan peminat.

Menurut ITV Football, larian Ronaldo tersebut adalah sejauh 92 meter dan mengambil masa selama 14.2 saat sahaja, itu pun dia ada memperlahankan larian di tengah-tengah padang.

Malah ada yang tanpa segan menciap di Twitter dengan mengatakan Ronaldo dengan selambanya membuli pasukan Jerman (Ciapan itu dimuat naik ketika separuh masa pertama, sebelum Jerman jaringkan gol. Jangan marah dia).

Malah, seorang jurnais Bein Sports, Richard Keys telah membandingkan pecutan Ronaldo tersebut dengan kelajuan manusia terpantas di dunia, Usain Bolt.

Selepas The Sukan melakukan semakan, kelajuan Usain Bolt pada tahap terbaiknya adalah 44.72km/h, bukan 37.85km/h seperti Richard cakap tu.

Kalau ikutkan, tak pelik pun kenapa Ronaldo boleh melakukan larian sepantas itu. Memang satu dunia tahu yang Ronaldo ni sangat menjaga fizikal dia, walaupun sudah berusia 36 tahun. Tengoklah hari tu, dengan air Coca Cola pun dia nak gaduh.

Tetapi selain daripada menjaga fizikal, apa yang utama ada dalam diri Ronaldo ini adalah semangat dan iltizam yang tinggi untuk mencapai kejayaan, walaupun dia sudahpun mengecap pelbagai nikmat dalam bola sepak.

Berkenaan kelajuan Ronaldo 32km/j tu, sebenarnya bukanlah rekod Euro secara keseluruhan. Tetapi ia adalah rekod kelajuan yang dicipta oleh pemain yang berusia 36 tahun dan ke atas dalam kempen Euro.

Jangan lah marah. Gurau sikit pun tak boleh.

Sumber : GMS, sportBIBLE

BACA:Β  Apakah Yang Cuba Dilakukan Ronaldo?