Pasukan Impian De Beek Jika Bermain Lima Sebelah

Donny Van de Beek telah menamakan pasukan lima sebelah impian beliau dari kalangan pemain Manchester United ketika ditemu bual oleh Rio Ferdinand.

Pemain midfield dari Belanda itu sebenarnya tidak begitu bersinar di Old Trafford pada ketika ini kerana beliau tidak mendapat minit permainan yang mencukupi.

Beliau ditandatangani dari Ajax dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta pada musim panas tahun 2020, namun sehingga kini masih belum mampu untuk memenangi hati Ole Gunnar Solskjaer.

Dalam temu bual terbarunya bersama Rio Ferdinand di podcast FIVE, Van de Beek telah mendedahkan tentang beberapa hal yang menarik.

Di pertengahan jalan sepanjang 55 minit perbualan antara mereka, Van de Beek telah diminta untuk memilih lima pemain yang beliau mahu jadikan rakan sepasukan dalam perlawanan lima sebelah.

Bintang berusia 24 tahun itu kemudiannya telah menamakan barisan pemain yang agak mengejutkan dan tak ramai yang menjangkakan beliau akan menyebut nama-nama tersebut.

Ferdinand bahkan mengulang semula soalan beliau kerana bimbang Van de Beek tidak faham dengan kehendak soalan, namun bintang Belanda itu jelas gembira dengan pilihan beliau.

“Itu soalan yang bagus.”

Jelas bekas bintang Ajax itu.

“Saya rasa saya akan pilih Raphael Varane. Saya juga merupakan peminat setia Juan Mata.”

“Kamu perlu pilih Bruno Fernandes kerana dia menjaringkan banyak gol dan banyak mencatatkan assists. Saya akan turut memilih Luke Shaw dan Nemanja Matic.”

Ferdinand yang terkejut dengan jawapan tersebut mengulang semula soalannya dengan bertanya:

“Ini lima sebelah pilihan kamu? Lima sebelah yang kamu rasa akan menang?”

“Okay, wow. Agak mengejutkan kamu tak pilih Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho, Edinson Cavani, Marcus Rashford.. kamu buat keputusan berdasarkan taktikal, ia bagus, jangan risau.”

Van de Beek kemudian menyatakan:

“Saya rasa skuad ini akan menang. Kita ada ramai pemain, saya perlu buat keputusan berdasarkan taktikal. Pemain terbaik tak selalunya menang, sebuah pasukan itu yang akan menang.”

Van de Beek setakat ini masih belum diturunkan untuk beraksi untuk Manchester United sepanjang musim ini, namun Ole Gunnar Solskjaer menegaskan yang beliau ada rancangan tersendiri untuk bintang Belanda itu.

Solskjaer juga merupakan individu yang menggagalkan urusan perpindahan De Beek menyertai Everton sebagai pemain pinjaman, kerana beliau mahu gunakan bintang Belanda itu untuk perancangan masa depannya.

“Ia sangat jelas mereka mahu saya kekal di sini. Pengurus sangat positif tentang saya dan dia kata, ‘saya perlukan kamu dan saya mahu simpan kamu di sini.”

Tambah De Beek lagi.

“Sudah tentu, apa yang saya nampak di sini sejak awal mula musim ini adalah sangat sukar, kerana saya masih belum bermain walau satu minit, tapi dia (Solskjaer) kata, ‘ apa yang saya nampak di padang latihan setiap hari adalah Donny yang berbeza.”

“Dia sangat positif tentang saya dan saya rasa gembira. Saya berada di tahap terbaik dan saya harap saya boleh buktikan pada semua orang saya sudah bertambah bagus.”

Sumber: GMS

BACA:  Rakaman Aksi Meyakinkan Van De Beek vs Aston Villa