Pasukan Yang Berpotensi Menjadi Lawan Manchester United dan Liverpool Dalam Pusingan Kalah Mati UCL

Peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA telah pun melabuhkan tirainya dengan kesemua pasukan yang layak ke pusingan kalah mati sudah pun disahkan.

Kalau ikutkan, tiada kejutan sangat pun kalau dilihat kepada senarai pasukan-pasukan yang berjaya layak ke pusingan 16-pasukan ini.

Liverpool memperlihatkan bahawa mereka adalah pasukan yang sempurna dan cukup sifat dalam pertandingan ini di mana mereka telah muncul juara kumpulan dengan memenangi kesemua perlawanan, sekaligus muncul sebagai pasukan Inggeris yang pertama berjaya berperangai sedemikian rupa.

Lebih hebat lagi, Liverpool dilihat dengan mudah dapat membinasakan lawan dalam kumpulan yang layak digelar kumpulan maut UCL 2021-22!

Selain itu, pasukan adik-beradik dari Manchester, City dan United, turut muncul juara kumpulan.

Manchester City mengenepikan mengenepikan pencabar utama, Paris Saint Germain, meskipun kelab ibu kota Perancis tersebut memiliki pemain yang memenangi Ballon d’Or paling kerap, Lionel Messi. Dalam pertemuan kedua-dua pasukan, mereka bergilir-gilir menang di laman sendiri masing-masing.

Manchester United pula, meskipun dengan aksi sekejap okay sekejap tak okay, masih mampu muncul juara selepas berjaya menang kesemua pertemuan menentang kelab Sepanyol, Villareal dan juga wakil Itali, Atalanta.

Walaubagaimanapun, United gagal memenangi kedua-dua pertemuan menentang sekumpulan Budak Muda dari Switzerland.

Chelsea, mewakili bangsa bola sepak dari seluruh London, sekadar menamatkan saingan kumpulan di tangga kedua di belakang Juventus. Meskipun mendahului kumpulan sejak awal, Chelsea terkulai dalam perlawanan terakhir apabila mereka sekadar seri 3-3 menentang lawan dari Russia, Zenit St Petersburg.

Juventus pula bergelar juara kumpulan selepas mengalahkan wakil Sweden, Malmo.

Selain Liverpool, Ajax Amsterdam yang dibimbing oleh bakal pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, turut memenangi kesemua perlawanan dalam peringkat kumpulan. Namun perlu diingat, Ajax tidak sehebat Liverpool kerana Ajax tidak berada dalam kumpulan maut.

Mengiringi Ajax adalah wakil dari Portugal, Sporting CP.

Walaupun pernah tewas kepada lawan yang entah datang dari mana, Real madrid tetap muncul juara kumpulan dengan rekod lima kemenangan. Andai mereka berjaya menewaskan FC Sheriff di Santiago Bernabeu, pasti mereka juga mampu untuk tampil sehebat Ajax – memenangi kesemua perlawanan.

Wakil Itali, Inter Milan, muncul naib juara kumpulan dan menempah tiket untuk ke pusingan berikutnya.

Bekas seteru utama Real Madrid, Barcelona, terus menghadapi musim yang malang apabila mereka menamatkan saingan awal UCL di tangga ketiga, sekaligus membawa kelab yang pernah ditakuti di seluruh Eropah ini ke lembah Liga Europa.

Pendahulu kumpulan, Bayern Munich, langsung tidak beri peluang kepada kelab Catalan ini untuk mengutip mata dalam perlawanan terakhir mereka yang dimainkan di dalam stadium yang kosong di Munich. Satu lagi wakil Portugal, Benfica, berjaya mencelah dan menendang bekas juara La Liga itu di tangga kedua.

Antara pasukan yang langsung tidak dijangka akan layak ke pusingan kalah mati adalah Red Bull Salzburg yang muncul naib juara kumpulan di belakang juara Ligue 1 musim lalu, Lille.

Berikut adalah senarai pasukan yang layak ke pusingan kalah mati.

Kumpulan A – Manchester City dan Paris Saint Germain

Kumpulan B – Liverpool dan Atletico Madrid

Kumpulan C – Ajax Amsterdam dan Sporting Lisbon

Kumpulan D – Real Madrid dan Inter Milan

Kumpulan E – Bayern Munich dan Benfica

Kumpulan F – Manchester United dan Villareal/Atalanta

Kumpulan G – Lille dan Red Bull Salzburg

Kumpulan H – Juventus dan Chelsea.

Undian akan dilangusngkan pada hari Isnin, 13 Disember 2021 pada pukul 11 pagi waktu United Kingdom (pukul 7 petang lah kot waktu Malaysia), di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland.

Syarat utama undian adalah :

1 – Juara kumpulan tidak akan bertemu sesama juara kumpulan
2 – Tiada pertemuan antara pasukan dari kumpulan yang sama
3 – Pasukan dari negara/liga yang sama tidak boleh bertemu sesama mereka.

Berikut adalah potensi lawan untuk pasukan-pasukan utama.

Manchester United – Paris Saint Germain, Atletico Madrid, Sporting, Inter Milan, Benfica, Red Bull Salzburg

Chelsea – Bayern Munich, Ajax, Real Madrid, Lille

Liverpool (bakal juara) – Paris Saint Germain, Sporting, Inter Milan, Benfica, Red Bull Salzburg dan Atalanta/Villareal

Manchester City – Sporting, Atletico Madrid, Inter Milan, Benfica, Red Bull Salzburg dan Atalanta/Villareal

Real Madrid – Paris Saint Germain, Sporting, Benfica, Red Bull Salzburg dan Atalanta/Villareal

Paris Saint Germain – Liverpool, Ajax, Real Madrid, Bayern Munich, Manchester United dan Juventus.

Barcelona – #Error404

Secara komersialnya, lebih elok kiranya Manchester United bertemu dengan Paris Saint Germain kerana ini akan membawa kepada pertemuan semula antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Tapi tak tahu lah, kan?

Sumber : Goal

BACA:Β  Senarai Pemain Terbaik UCL Setakat Musim Ini Didedahkan