UCL: Keputusan Kontroversi VAR Bantu PSG Rompak Kemenangan Newcastle

Kylian Mbappe menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada minit akhir perlawanan untuk menafikan Newcastle kemenangan dalam pertandingan UEFA Champions League (UCL) yang berlangsung di Parc des Princess pada awal pagi tadi.

Keputusan seri itu bagaimanapun membenarkan Newcastle untuk terus bersaing merebut tempat ke pusingan kalah mati.

Aleksandr Isak meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada babak pertama perlawanan selepas pemain penyerang itu menyempurnakan bola muntah hasil percubaan awal Miguel Almiron.

Newcastle kemudiannya bertahan habis-habisan dengan penjaga gol Nick Pope menjadi pemain paling sibuk di atas padang menafikan percubaan daripada Bradley Barcola dan Kylian Mbappe.

Kekentalan benteng pertahanan Newcastle bagaimanapun punah pada babak akhir masa kecederaan apabila Tino Livramento dipersalahkan pengadil kerana menyentih bola di dalam kawasan kotak penalti.

Mbappe kemudiannya mengambil peluang tersebut sepenuhnya untuk memastikan perlawanan berakhir dengan satu mata.

Keputusan tersebut bermakna Newcastle kini berada di kedudukan kedua, dua mata di belakang PSG.

Skuad kendalian Eddie Howe itu harus menewaskan AC Milan di perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan berharap Borussia Dortmund turut mampu mendapatkan keputusan positif menentang PSG.

Newcastle mungkin bernasib baik tidak dibolosi lebih awal terutama melalui peluang terbuka dimiliki PSG melalui Mbappe dan Barcola.

Perlawanan tersebut bagaimanapun dibayangi dengan kontroversi oleh VAR yang memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah di minit akhir perlawanan.

Ia dianggap kontroversi kerana bola hantaran lintang Ousmane Dembele jelas mengenai dada Livramento sebelum ia melantun ke arah tangan pemain itu. Di dalam situasi tersebut, jelas tiada apa yang boleh dilakukan oleh Livramento.

Insiden tersebut telah disemak oleh VAR dan pengadil utama Szymin Marciniak, sebelum keputusan memberikan sepakan penalti kepada Newcastle.

Keputusan tersebut sudah pasti mengecewakan Newcastle dan penyokong mereka selepas Marciniak terlebih dahulu menidakkan permintaan PSG untuk sepakan penalti – sebelum campur tangan VAR.

BACA:  Liverpool Sudah Rancang Perarakan Kemenangan Liga Juara-Juara Eropah